Tuesday, February 1, 2011

INILAH AKIBATNYA BERKAWAN DENGAN SYAITAN!!!!!

Pas bukan parti alternatif Islam

HARI demi hari orang Melayu disajikan dengan pelbagai tingkah laku memalukan dan fatwa yang mengelirukan oleh parti Pas, hal ini bukan sahaja berlaku setiap kali menjelang sesuatu pilihan raya bahkan berlaku sepanjang tahun.
Daripada perbuatan khianat, berbohong, sanggup menjadi pecacai DAP untuk menindas orang Melayu sehinggalah insiden mengkafirkan orang Islam lain hatta sanggup membiarkan rakan politik bukan Islam mereka mengkafirkan orang Islam yang berbeza pandangan politik!
Lihat sahaja 'tingkah laku islamik' yang dibawa oleh Pas sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas.
Itupun nasib baik PKR, sibuk berkempen di Batu Sapi, jika tidak, aksi kolaborasi Pas dan PKR setiap kali melakukan jimak politik akan menyaksikan kebangkitan yang akan memberahikan penyokong-penyokong mereka yang mampu mencetuskan politik ala rimba!

Ada sesuatu yang tidak kena dengan Pas, jiwanya sakit, hatinya penuh dengan dendam malahan nafsu Qarunnya semakin membuak-buak.
Malangnya sebagai sebuah parti yang mengakui berlandaskan Islam, Pas mengubati jiwa, hati dan nafsunya dengan berpeleseran bersama rakan-rakan politik syaitannya yang suatu ketika dahulu hendak direjam oleh Pas sendiri menyebabkan sehingga kini Pas kabur akan identitinya.

Kalaulah Pas masih di bawah jagaan Almarhum Ustaz Datuk Fadzil Noor, Pas masih lagi sebuah parti Islam dan bukannya bertukar menjadi sebuah parti kebajikan sehingga para pemimpinnya sanggup menjadi boneka kepada sebuah parti yang terang-terang anti-Islam.
Almarhum Ustaz Fadzil pasti tidak rela menyaksikan bagaimana pemimpin sebuah parti Islam menjadi pak turut dalam suatu agenda memusnahkan bangsa dan agamanya sendiri hanya kerana dendam dan gilakan kuasa!

Kalaulah Pas mendalami apa yang telah digariskan oleh para fuqaha Islam berkaitan sistem politik dan pemerintahan Islam, tidak mungkin Pas akan menderhaka kepada ketua agama Islam dengan membiarkan penyokong-penyokongnya menimbulkan huru-hara sehingga mengaibkan ketua agama Islam demi mengembirakan hati rakan-rakan politik kafirnya!

Kalaulah Pas berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar, mana mungkin ada pemimpin bukan Islam sebuah parti politik yang cukup tebal semangat anti-Islamnya berani mempergunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk memburuk-burukkan saudara seislam yang lain yang berbeza pandangan politik! Pasti terkencing pemimpin-pemimpin bukan Islam itu diherdik dan disergah oleh ulama-ulama besar Pas kerana sewenang-wenangnya memperkotak-katikkan ayat-ayat suci demi kepentingan politik.
Kalaulah Pas mendalami pengertian bahawa seorang khalifah hanya menjadi khalifah yang sah selama mana dia benar-benar mengikuti hukum-hukum Allah, tidak mungkin Pas akan sanggup menobatkan seorang kafir anti-Islam sebagai khalifah setaraf Khulafa al-Rasyidin! Sanggup Pas menyamatarafkan Khulafa al-Rasyidin dengan seorang khalifah kafir yang 'memerangi' dan menganiaya umat Islam bahkan sanggup menyuap dan menutup mulut orang Islam dengan hasil sumber judi!

Kalaulah Pas masih perjuangannya berlandaskan Islam, mungkin runtuh bangunan ibu pejabat Majlis Peguam Malaysia diserbu pejuang-pejuang Pas kerana kedegilan majlis itu untuk terus menganjurkan Forum Memeluk Islam 2008. Sebaliknya Pas membisu membiarkan Majlis Peguam terus-terusan mempertikaikan hal ehwal berkaitan agama Islam sehingga menyebabkan perasaan masyarakat Islam negara ini amat tersinggung!
Kalaulah Pas ada sedikit lagi perjuangan Islamnya, tidak akan ada ahli politik anti-Islam nombor wahid yang berani mencemarkan ruang solat umat Islam. Akan turun berduyun-duyun kader-kader Pas berdemonstrasi mengutuk tindakan ahli politik tersebut memperlekehkan institusi masjid dengan nilai bantuan RM1,000 sahaja!

Kalaulah Pas masih kental jiwa Islamnya pasti bergegar bumi Tanah Melayu ini dek gara-gara tuntutan hak menggunakan nama Allah oleh penganut agama Kristian. Laungan Allahuakhbar pasti bergema di seluruh pelosok negara membantah ahli-ahli politik Islam yang bersubahat; 'melacurkan' nama Allah demi untuk meraih sokongan politik!

Kalaulah Pas masih sayangkan Islam, kewujudan negara Islam adalah keutamaannya. Walaupun digertak oleh DAP, Pas tidak akan gentar melafazkan negara Islam adalah matlamatnya sebagaimana beraninya Tun Mahathir mengisytiharkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam!

Tetapi kalaulah Pas masih mempunyai roh Islam, mahukah DAP menjadikan Pas kuda kayu tunggangannya?

Sayang sekali Pas kini tidak seperti dahulu lagi, ia kini dalam genggaman DAP! Pas tidak lagi berani memperjuangkan Islam malah langsung tidak berani mengaku keislamannya di hadapan DAP. Malahan kadang- kadang apabila Pas terlupa menyembunyikan keislamannya, DAP dengan pantas menyentap 'kerandutnya', Pas akan serta-merta menikus kembali!

Hakikatnya Pas kini bukanlah parti alternatif kepada orang Melayu sebaliknya adalah sebuah parti yang kebingungan.

NORHISYAM MOHAMAD
Kuala Kedah

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

 

Penyelewengan biasa berlaku dalam Pas – Nakhaie

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad mendedahkan penyelewengan biasa berlaku di dalam parti itu kerana wujud segelintir pemimpin yang tidak amanah selain ketiadaan sistem pemantauan wang keluar masuk terutama membabitkan derma.
Sehubungan itu, beliau tidak hairan dengan penerbitan sebuah buku bertajuk: Mohd. Sabu Air Mata di Bumi Memali karangan Zainon Ismail atau nama penanya C.N Al-Afghani kerana perbuatan menyeleweng wang sememangnya berlaku di dalam parti berkenaan.
Ujarnya, selama beliau berada di dalam parti tersebut, itulah yang berlaku malah dalam satu peristiwa iaitu selepas berlakunya kejadian Memali pada November 1985, anak- anak Allahyarham Ibrahim Libya telah diusung ke mana-mana bagi tujuan mengutip derma.
‘‘Malangnya saya difahamkan wang itu tidak sampai kepada keluarga Ibrahim Libya tetapi telah disapu oleh pihak tertentu. Saya bercakap atas pengalaman saya di dalam Pas selama 12 tahun dan inilah kebenaran yang berlaku.
‘‘Oleh itu saya tidak hairan dengan pendedahan yang dibuat melalui buku ini. Saya yakin pendedahan ini adalah berdasarkan bukti dan asas yang kuat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas forum pembaca hari ini yang menyiarkan tulisan Zainon sendiri apabila penulis buku Mohd. Sabu Air Mata di Bumi Memali itu mempersoalkan akhbar Harakah melalui kolumnisnya Zulkifli Yahaya, keluaran 29 November-2 Disember 2010.
Di dalam keluaran itu, Zulkifli mempertikaikan kononnya C.N Al-Afghani menggunakan akhbar musuh menghentam kawan dalam mengulas buku tersebut sedangkan kolumnis Harakah itu mengakui yang dia belum membaca buku itu sepenuhnya.
Buku tersebut mengundang kontroversi apabila penulisnya mendedahkan wujud penyelewengan dan penipuan berjuta ringgit milik berpuluh orang anak yatim, 14 balu dan 200 mangsa Memali oleh pihak Pas.
Akibatnya seperti ada arahan rasmi, buku tersebut dilarang daripada dijual ketika berlangsungnya Majlis Memperingati 25 Tahun Memali, November tahun lalu.
Mengulas lanjut, Nakhaie percaya penulis buku tersebut cuba mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku di dalam Pas dan bukannya sengaja mereka-reka cerita atau menimbulkan fitnah.
‘‘Apa yang cuba disampaikan oleh penulis ini ada kaitannya dengan kredibiliti Pas sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam. Beliau mahu memberitahu rakyat dengan ikhlas hati bahawa inilah rupanya Pas yang sebenar.
‘‘Sekiranya Pas menjadikan Islam sebagai pegangan sudah pasti tidak akan berlaku perkara-perkara sebegini. Ini tidak, penyelewengan tetap berlaku di dalam Pas,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau juga percaya pucuk pimpinan Pas akan marah kepadanya ekoran kenyataan tersebut kerana ia boleh mencalar imej parti itu di mata rakyat.
‘‘Saya bercakap atas kebenaran dan saya sedia kemukakan kebenaran itu sekiranya diminta. Realitinya, Pas tidak boleh menafikan wujudnya penyelewengan ekoran adanya segelintir pemimpin yang tidak amanah di dalam parti itu.
‘‘Ini ditambahkan lagi dengan ketiadaan sistem pengurusan yang bersistematik hingga menyebabkan penyelewengan berlaku dengan mudah,’’ katanya
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pucuk pimpinan Pas akan berusaha menyembunyikan kebenaran itu tetapi mereka jangan lupa bahawa sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha melihat setiap perlakuan mereka.
‘‘Seperkara lagi saya ingin nasihatkan Pas, sekiranya tidak mampu memelihara nama baik Islam, gugurkan sahaja nama Islam pada nama Pas. Jangan gunakan nama Islam sekiranya mereka tidak mampu menjaganya dengan baik,’’ katanya lagi.

No comments:

Post a Comment