Wednesday, April 28, 2010

Guru Ingin Tahu Perkembangan Jawatankuasa

Berita Harian : Guru ingin tahu perkembangan jawatankuasa


2010/04/28
SUDAH hampir sebulan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan ditanggung guru di seluruh negara seperti diumumkan sebelum ini. Ia perkhabaran gembira buat warga guru, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan berkaitan penubuhan jawatankuasa khas itu.

Guru ingin tahu apakah metadologi kajian yang akan digunakan jawatankuasa khas itu dan mengharapkan mereka dibabitkan secara langsung supaya permasalahan guru sebenar sampai ke jawatankuasa khas ini.

Permasalahan ini seharusnya diselesaikan segera berikutan ia merugikan guru dan pelajar. Justeru, guru seluruh negara amat mengharapkan transformasi dalam profesyen perguruan akan diumumkan.

NORHISYAM MOHAMAD,
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Kedah.

Monday, April 26, 2010

Inilah Politikus Melayu

ADUN Kubang Rotan mempertikaikan kuasa Sultan sebagai ketua Agama Islam. Inilah politik orang Melayu, disebalik kaum India dan Cina meletakkan calon cerdik pandai untuk mewakili mereka dalam perjuangan politik, orang Melayu pula terus seronok dengan "calon entah apa-apa". Perkara ini berlaku di dalam UMNO, PAS mahupun calon Melayu PKR, maka terhasillah pemimpin-pemimpin politik orang Melayu yang ideanya entah apa-apa, percakapannya entah apa-apa, tingkah lakunya entah apa-apa, tindakannya entah apa-apa dan memang tak tahu apa-apa.

Saturday, April 10, 2010

PROJEK BAIKPULIH RUMAH MANGSA RIBUT DI KAMPUNG BANGGOL OSMAN, KOTA SARANG SEMUT

Baru - baru ini rumah Encik Mansor bin Md Ali hampir menyembah bumi dalam satu kejadian ribut di Kampung Banggol Osman, Kota Sarang Semut. Keadaan rumah mangsa rosak teruk.
Pengerusi JKKKP Kota Sarang Semut, Cikgu Abd Latiff bin Basri memaklumkan kejadian tersebut kepada Penyelaras Parlimen Kuala Kedah, Tuan Syed Zainuzman Syed Yahya dan Penyelaras DUN Pengkalan Kundur, Encik Kamaruzaman bin Mohd Amin.
Kehadiran mereka telah memberi sinar baru kepada Encik Mansor bin Md Ali. Atas inisiatif JKKKP Kota Sarang Semut dengan kerjasama Unit Penyelarasan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICUJPM), peruntukan sebanyak RM18,000.00 diluluskan untuk tujuan baikpulih rumah mangsa yang di dalam kategori “ miskin tegar “.
Kini rumah baru Encik Mansor sedang dibina dan dipantau selia oleh JKKKP Kota Sarang Semut.
Terima Kasih, 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.




Keadaan rumah mangsa , batu dan pasir


Rumah mangsa, Tiang Batu dan Dawai









Rumah baru Encik Mansor yang sedang dibina semula

Tuesday, April 6, 2010

Beban tugas guru SK elok diketahui umum

BERITA HARIAN 2 APRIL 2010

SAYA menyambut baik penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan ditanggung guru sekolah di seluruh negara, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebenarnya masalah beban kerja guru berlebihan atau lebih tepat lagi kerja-kerja perkeranian yang langsung tiada kaitan dengan tugas mengajar guru, sudah lama disuarakan. Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan pengetua saling berganding bahu mendidik guru menjadi kerani profesional tanpa memerlukan kos tambahan.

Malang buat guru di sekolah kebangsaan (SK) apabila sesi pengajaran dan pembelajaran sering terganggu akibat menurut kehendak pengetua yang begitu dedikasi melayan tuntutan keperluan data, borang, kertas kerja, segala dokumentasi, pertandingan keceriaan dan kebersihan daripada pelbagai pihak.

Lebih malang lagi apabila setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan, guru SK akan dibandingkan dengan pencapaian guru sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC). Perbandingan yang menjatuhkan moral guru SK tanpa membabitkan penilaian beban kerja guru SK dengan SJKC secara adil.

Penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung guru sekolah di seluruh negara harus disambut baik agar keadilan untuk guru dapat ditegakkan dan seterusnya mengembalikan profesyen perguruan ke landasan profesionalismenya dalam erti kata sebenar.

Untuk menyempurnakan hasrat murni ini, jawatankuasa khas ini harus berdepan sendiri dengan guru untuk mencungkil beban tugas sebenar guru. Jangan hanya mendapat laporan daripada Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan pengetua dengan menggunakan teknik ‘remote control’ kerana mereka ini langsung tidak mengerti, malah tidak tahu apa beban ditanggung guru.

Kumpul guru dan dapatkan permasalahan dan pandangan mereka secara terus tanpa melalui pihak perantaraan. Seluruh insan bergelar guru amat berharap penubuhan jawatankuasa khas ini akan memulakan siri baru pengkisahan guru kembali berkobar untuk mengajar, bukannya terus dipaksa menjadi kerani kepada ketua kerani sekolah.

NORHISYAM MOHAMAD,
Pemuda Umno
Bahagian Kuala Kedah.