Mungkin ada beberapa 'kerat' rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Justeru itu berbagai kata nista dan sumpah seranah dilemparkan terhadap kepimpinan UMNO dan orang Melayu seperti yang tersiar di dalam blog dan media massa. Namun itu hanyalah segelintir rakyat yang terhasut oleh mainan politik kotor pembangkang yang cuba untuk mengekalkan kuasa mereka! Bagaimanapun ternyata masih ada yang tidak membenci 'kita'!!!!
Jumpa PM kesempatan paling manis
KUALA LUMPUR 21 Feb. - Peluang terindah.Itulah yang boleh dirumuskan daripada pengalaman beberapa rakan dalam talian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpilih menghadiri majlis minum petang bersama beliau semalam.
Malah, mereka juga melahirkan rasa bertuah dan terharu kerana Perdana Menteri sanggup meluangkan masa menganjurkan majlis itu di sebalik kesibukan beliau serta komitmen lain yang lebih penting.
Tenaga pengajar di sebuah institut latihan swasta, Mohd. Hanafi Mahamud, 26, berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menerima jemputan menghadiri majlis bersama-sama Perdana Menteri dan jauh sekali untuk bertemu secara empat mata dengan Najib.
Sambil melahirkan rasa gembira yang tidak dapat digambarkan, Mohd. Hanafi yang menggunakan nama samaran "Penternak Kecil" di laman sosial Facebook menambah, kesempatan pertama kali bertemu dengan Najib itu juga membolehkannya melihat sendiri keikhlasan Perdana Menteri terhadap rakan-rakan dalam talian beliau.
"Saya berharap Perdana Menteri sentiasa tabah dan kuat dalam menjaga keamanan dan ekonomi negara selain dapat menyelesaikan semua masalah dengan baik," katanya kepada Utusan Malaysia menerusi ruangan sembang Facebook di sini hari ini.
Semalam, Najib meraikan lebih 600 rakan dalam talian beliau di Majlis Jamuan Minum Petang Perdana Menteri Bersama Rakan-Rakan Dalam Talian di Seri Perdana, Putrajaya.
Majlis kali kedua di bawah program Mari Berjumpa, Mari Berhubung itu diadakan selepas kejayaan pertemuan kali pertama pada Mac tahun lalu yang dihadiri lebih 300 orang.
Setakat ini, Najib sudah mempunyai 560,000 rakan dalam laman sosial Facebook dan lebih 80,000 rakan di dalam Twitter.
Sementara itu, eksekutif di sebuah syarikat swasta, Jooven Lee, 33, pula menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang yang merendah diri dan tidak memperlihatkan diri beliau sebagai seorang pemimpin yang sukar untuk didekati.
Ini kerana, katanya, Perdana Menteri masih sudi meluangkan masa melayan rakan-rakan Facebook untuk menurunkan tandatangan dan bergambar meskipun majlis itu sudah berakhir.
"Ini menunjukkan bahawa beliau benar-benar seorang Perdana Menteri yang mengambil berat perasaan rakyat," katanya yang turut berkongsi kegembiraan kerana terpilih ke majlis tersebut daripada ribuan rakan Facebook Najib.
Perasaan serupa dikongsi oleh seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Peter Meredan, 22, yang menyifatkan kesempatan berbual dengan Perdana Menteri meskipun tidak sampai 20 saat adalah pengalaman yang cukup berharga.
Anak kelahiran Sarawak yang menggunakan nama Jason Peter di Facebook itu menambah, dia juga berasa bangga kerana sepanjang pengetahuannya, Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri di dunia yang menganjurkan majlis khusus untuk rakan-rakan dalam talian.
"Perjalanan dari UMP semalam bagi saya sangat berbaloi dan saya berharap negara di bawah pimpinan Perdana Menteri akan kekal makmur dan harmoni dengan kehadiran rakyat yang berbilang kaum dan agama," katanya.
Sementara itu, laman sosial Facebook Najib hari ini juga dipenuhi dengan pelbagai komen dan pendapat daripada rakan-rakan dalam talian beliau berhubung majlis yang diadakan petang semalam.
Antara komen yang dominan ialah permintaan rakan-rakan dalam talian Perdana Menteri supaya majlis serupa diadakan dengan lebih kerap dengan jemputan yang lebih ramai.
Malah, rakan-rakan dalam talian beliau di Sabah dan Sarawak juga berharap Perdana Menteri dapat menganjurkan majlis yang serupa di kedua-dua negeri tersebut.
No comments:
Post a Comment