Tolak pemimpin pilih perang selesai konflik
YOGYAKARTA 4 Sept. - Masyarakat antarabangsa perlu memanfaatkan proses demokrasi untuk menolak pemimpin yang memilih perang sebagai penyelesaian kepada sebarang masalah atau konflik.Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kuasa memilih pemimpin yang dimiliki oleh rakyat sesebuah negara boleh menjadi penentu kepada usaha menjadikan perang sebagai satu jenayah.
''Rakyat perlu menyokong calon pemimpin yang membuat akuan tidak akan berperang, menentang peperangan atau menjadikan perang sebagai satu jenayah.
"Dengan itu, negara-negara akan mempunyai pemimpin yang bersetuju untuk menolak peperangan," katanya.
Beliau yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) berkata demikian ketika berucap menyampaikan ceramah bertajuk Kedamaian Sejagat dan Kriminalisasi Perang: Inisiatif Serantau sempena kempen Perang Adalah Jenayah di Universiti Muhammadiyah di sini hari ini.
Kunjungan PGPF ke kota Yogyakarta dalam usaha meluaskan kempen Perang Adalah Jenayah turut diisi dengan pameran perang di kampus utama universiti itu.
Matlamat pengisian pameran berkenaan ialah untuk memperlihatkan kesan buruk peperangan terhadap nilai-nilai kemanusiaan sejak perang dunia pertama hingga kini.
Kempen itu yang digerakkan oleh PGPF sejak tahun 2005 mula diperluaskan ke Indonesia iaitu sebuah negara yang dihuni oleh penduduk Islam teramai di dunia.
Kempen kemanusiaan ini mendapat komitmen baru daripada gerakan Islam terbesar Indonesia, Muhammadiyah yang berikrar untuk menyokong PGPF memastikan kedamaian sejagat dikekalkan.
Ikrar ini dilafazkan oleh Ketua Umum Pusat Muhammadiyah, Dr. Din Syamsudin. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment