Tuesday, September 25, 2012

KITA TAK PERNAH DI JAJAH ORANG CINA..SEJARAH TAK BERULANG...!!

Kita belum pernah dijajah oleh orang Cina, jadi sekiranya kita diperintah oleh DAP, bukan bermakna kita dijajah kembali..dan sejarah tak berulang...Apa salahnya kita merasa pula nikmat dijajah oleh Cina DAP ni...



KUALA LUMPUR 23 Sept. - Sejarah pahit yang pernah ditempuh orang Melayu semasa negara dijajah kuasa-kuasa asing boleh berulang sekiranya mereka tersalah percaturan dalam gelanggang politik.
Pengkaji sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, gejala perpecahan yang sedang melanda orang Melayu amat membimbangkan kerana pada masa sama, kaum-kaum lain di negara ini semakin teguh bersatu memperjuangkan kepentingan mereka.
Jelasnya, keadaan bertambah buruk dengan sikap segelintir generasi muda Melayu yang terpengaruh dengan fahaman liberalisme dan budaya materialisme yang bercanggah dengan jati diri Melayu dan Islam.
''Golongan tersebut tidak peduli pihak mana yang memegang tampuk pemerintahan negara dan kesannya kepada nasib orang Melayu di negara ini.
''Nilai-nilai murni budaya Melayu seperti menghormati dan taat kepada pemimpin semakin terhakis oleh golongan yang terlalu mementingkan diri sendiri itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas luahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Mingguan Malaysia hari ini yang bersimpati dan sedih orang Melayu akan mengalami masa depan yang gelap sekiranya terus membenci pemerintahan oleh bangsa sendiri.
Dr. Mahathir turut menyatakan kebimbangannya terhadap sikap orang Melayu yang semakin melupakan sejarah perjuangan bangsa dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah serta hilang jati diri semata-mata kerana tamakkan kuasa.
Dalam pada itu, Pengarang Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Mohd. Misan Mastor memberitahu, luahan Dr. Mahathir itu perlu diberi perhatian serius oleh semua orang Melayu di negara ini.
Kata beliau, segala kebimbangan yang disuarakan bekas Perdana Menteri itu adalah berdasarkan fakta yang benar-benar berlaku sepanjang negara dijajah oleh kuasa-kuasa asing sejak 1511 sehingga 1957.
''Yang menjadi masalahnya, bukan golongan muda sahaja yang tidak faham sejarah, malah pemimpin-pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan juga begitu," ujarnya.
Jelas Mohd. Misan, pemimpin-pemimpin politik Melayu terlalu ghairah untuk merebut kuasa pada masa ini tanpa mengambil kira kesannya terhadap generasi Melayu akan datang.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, tumpuan hendaklah diberikan kepada usaha penyatuan orang Melayu dengan penekanan terhadap aspek kesetiaan dan persaudaraan sesama bangsa.
Menurut beliau, buat permulaan, orang Melayu boleh berganding bahu dalam bidang pendidikan, khususnya berhubung usaha memartabatkan bahasa Melayu.
''Kita berharap orang Melayu yang sekarang ini terpecah kepada tiga parti politik utama dapat duduk semeja untuk berbincang tentang masa depan bangsa tanpa meletakkan sebarang syarat," katanya.
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa pula menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu sebagai realiti sejak kebelakangan ini, khususnya oleh mereka yang terlalu gilakan kuasa.
''Sejak akhir-akhir ini, ada pemimpin Melayu yang sanggup menghina bangsa sendiri secara terbuka hanya kerana merebut kuasa sehingga menjual apa sahaja termasuk harga diri dan agama.
''Mungkin sudah tiba masanya orang Melayu bangkit daripada terus ditipu dan menjadi alat kepada sesetengah individu yang tamakkan kuasa dan kedudukan sehingga bangsa kita terus berpecah menjadi lemah," ujarnya.
Bagi Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar pula, generasi baru perlu melihat kedudukan serta survival orang Melayu yang disampaikan Dr. Mahathir itu bukan sekadar dari sudut sekarang, tetapi ia perlu melangkaui masa dan zaman.
''Kekuatan asas Islam mampu membawa kepada keadaan lebih baik kepada bangsa Melayu serta perlu mengenepikan segala persengketaan politik dalam usaha memastikan kejayaan kita pada masa akan datang.
''Penuhkan asas agama Islam dalam diri agar kita mampu menjadikan keluarga, jiran dan seterusnya masyarakat Islam lebih kuat. Apabila ini berlaku, maka kedudukan agama, bangsa dan negara juga akan lebih kuat," katanya.

No comments:

Post a Comment