Majlis Peguam perlu lebih adil
KEPUTUSAN mahkamah Tinggi membebaskan Datuk
Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat sememangnya agak
mengejutkan. Setelah lebih tiga tahun perbicaraan itu berlangsung dengan
penangguhan sebanyak 55 kali, satu rekod yang tersendiri, namun semua
pihak harus menerima keputusan itu dengan tangan terbuka.
Dengan keputusan ini, pasti akan ada pihak yang gembira dan di satu
pihak lagi mengeluh bahawa tidak ada keadilan untuk pengadu, Saiful
Bukhari Azlan.
Namun bagi Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) PROF. MADYA DR. SHAMRAHAYU ABDUL AZIZ, beliau melihat pertuduhan tersebut sebagai satu pertuduhan jenayah namun terdapat masyarakat melihatnya sebagai satu pertuduhan politik.
Ini kerana menurut beliau, adalah jelas terdapat elemen-elemen pertuduhan jenayah wujud di situ namun keputusan yang dibuat oleh hakim adalah bebas dan bersandarkan ilmu perundangannya.
Dalam wawancara melalui e-mel bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID beliau juga turut tidak bersetuju dengan langkah Majlis Peguam yang dilihat mempunyai agenda tersendiri dalam menyatakan pendirian terhadap kes ini.
MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membebaskan Anwar daripada
pertuduhan meliwat?Namun bagi Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) PROF. MADYA DR. SHAMRAHAYU ABDUL AZIZ, beliau melihat pertuduhan tersebut sebagai satu pertuduhan jenayah namun terdapat masyarakat melihatnya sebagai satu pertuduhan politik.
Ini kerana menurut beliau, adalah jelas terdapat elemen-elemen pertuduhan jenayah wujud di situ namun keputusan yang dibuat oleh hakim adalah bebas dan bersandarkan ilmu perundangannya.
Dalam wawancara melalui e-mel bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID beliau juga turut tidak bersetuju dengan langkah Majlis Peguam yang dilihat mempunyai agenda tersendiri dalam menyatakan pendirian terhadap kes ini.
SHAMRAHAYU: Pertama sekali, pada pemerhatian saya, ramai yang yang mengatakan bahawa pertuduhan ke atas Datuk Seri Anwar adalah pertuduhan politik walaupun ia bukan melibatkan soal atau masalah politik. Namun, saya melihat pertuduhan tersebut sebagai satu pertuduhan jenayah. Ini kerana elemen-elemen pertuduhan jenayah wujud di situ. Contohnya ada aduan, pengadu yang dikenal pasti, ada kesalahan yang diadu dan sebagainya. Pada pemerhatian saya juga, bagi sesetengah pihak, pembebasan Anwar adalah juga pembebasan politik atau membersihkan kedudukan Anwar dalam politik. Sebagai ahli akademik, saya melihat penghakiman yang dibuat oleh Yang Arif Datuk Mohamad Zabidin adalah satu keputusan atau tindakan yang mesti dibuat oleh mahkamah setelah menjalankan proses perbicaraan dan setelah menilai dan menimbangkan apa juga keterangan-keterangan yang telah dibawa oleh kedua-dua belah pihak, iaitu pihak pendakwa dan tertuduh. Bagi saya, ia adalah tugas biasa para hakim. Hakim harus membuat keputusan bersandarkan ilmu perundangannya.
Keputusan tersebut telah memberi indikator bahawa, kerajaan tidak berkonspirasi dan tidak mengongkong mahkamah. Mahkamah bebas daripada tekanan pihak kerajaan. Saya lihat apa yang berlaku dalam pertuduhan, perbicaraan dan seterusnya penghakiman kes Anwar ini ialah, ia merupakan masalah antara Anwar dan Saiful Bukhari sebagai pengadu, melalui pejabat Peguam Negara. Kalaupun ia dikatakan sebagai konspirasi politik, kerana tuduhan jenayah telah dibawa ke atas seorang ahli politik, tuduhan konspirasi tersebut tidak dapat dibuktikan. Dan saya tidak cenderung untuk mempercayai tuduhan itu. Oleh itu, saya melihat pertuduhan Anwar adalah satu proses atau prosedur jenayah, lebih kurang sama dengan kes-kes lain, yang banyak juga melibatkan ahli politik seperti kes-kes rasuah dan khalwat.
Keputusan Hakim Mohamad Zabidin mungkin terlalu singkat untuk dianalisis kerana tiada penghakiman bertulis. Pada pandangan Dr. adakah keputusan ini berbeza atau lari daripada kebiasaan amalan hakim-hakim terdahulu?
SHAMRAHAYU: Saya tidak pasti, apa yang dimaksudkan berbeza atau lari daripada amalan hakim-hakim terdahulu. Dari sudut prosedur perundangan, saya lihat ia tiada beza. Mahkamah mulanya mendengar keterangan serta saksi-saksi pihak pendakwa. Setelah Mahkamah mendapati pendakwa telah berjaya membuktikan secara prima facie, maka tertuduh dipanggil untuk membela diri. Menerusi peluang ini keterangan tertuduh hendaklah menangkis keterangan pendakwa dengan mendatangkan keraguan kepada kes pendakwa. Ringkasnya, setelah itu berdasarkan keterangan yang dibawa oleh tertuduh kehadapan mahkamah, maka mahkamah hendaklah menimbang keterangan-keterangan pihak-pihak. Akhirnya mahkamah harus menentukan sama ada pendakwa telah berjaya membuktikan kes ke tahap melangkaui keraguan munasabah atau pun tidak. Sekiranya pendakwa telah berjaya, tertuduh akan disabitkan, dan sekiranya mahkamah mendapati pendakwa telah tidak berjaya, maka mahkamah merekodkan pelepasan dan pembebasan tertuduh. Itulah ringkasnya yang telah berlaku dalam perbicaraan Anwar.
Dalam penghakiman yang singkat itu Yang Arif Hakim telah menyatakan pendirian mahkamah bahawa mahkamah tidak boleh menerima 100 peratus DNA yang dibawa oleh pendakwa dan tidak dapat menjadikan DNA itu sebagai alasan pensabitan. Mungkin ada antara khalayak yang mendapati DNA adalah bukti yang jelas dan boleh menjelaskan sesuatu pertuduhan. Memang benar DNA adalah satu bentuk pembuktian. Tetapi, kita perlu ingat juga bahawa, mahkamah perlu membuat penelitian dan perincian kepada sampel DNA tersebut. Kerana apa yang telah disebut di dalam banyak penghakiman terdahulu, di dalam dan di luar negara, bahawa, walaupun DNA adalah satu bukti kukuh, dan ini diterima oleh pihak-pihak, mahkamah harus pastikan tiada pencemaran atau persoalan yang timbul dalam proses teknikal DNA itu diambil, dianalisis dan seterusnya di serahkan keputusan analisis kepada mahkamah. Sekiranya mahkamah ragu-ragu dengan integriti sampel DNA yang diserahkan, dalam mana-mana proses, sama ada dalam proses pengambilan atau proses analisisnya, maka mahkamah berhak untuk menolak DNA tersebut daripada dijadikan bukti yang boleh mengikat hakim. Umumnya, pihak pendakwaraya bukan sahaja perlu membuktikan adanya DNA, tetapi mereka perlu juga membuktikan bahawa sampel DNA itu tidak hilang integritinya.
Apa pun, kita tunggu alasan penghakiman yang penuh, kita juga mahu mahu tahu, mengapakah hakim mengambil pendapat sedemikian dan meragui integriti sampel DNA tersebut. Saya fikir ramai yang berharap supaya alasan penghakiman akan menghuraikan perkara ini. Hakim juga menyatakan bahawa dalam kes-kes berkaitan seksual sebegini, mahkamah keberatan untuk mensabit tertuduh dengan hanya bergantung kepada keterangan seorang saksi pendakwa sahaja. Mahkamah menyatakan bahawa keterangan saksi pendakwa yang seorang itu, iaitu Mohd Saiful Bukhari, tidak disokong oleh keterangan saksi lain. Itu adalah pendekatan dan pendapat mahkamah. Sebagai ahli akademik, mungkin apa yang saya mahu lihat dalam alasan penghakiman nanti ialah pandangan mahkamah tentang apakah sepatutnya jenis-jenis keterangan yang boleh dijadikan sandaran penghakiman dalam kes-kes seksual ini atau dalam keadaan yang bagaimanakah kesaksian seorang saksi boleh diterima sebagai bukti.
Bagaimana Dr. melihat peranan Majlis Peguam dalam isu pembebasan Anwar?
SHAMRAHAYU: Saya tidak mahu membuat ulasan panjang mengenai peranan yang dimainkan oleh Majlis Peguam dalam kes ini kerana saya tidak nampak secara nyata mengenai peranan mereka. Namun, saya melihat dalam beberapa kenyataan mereka selepas pengumuman penghakiman Anwar. Beberapa kenyataan Majlis Peguam saya lihat sebagai begitu gembira dengan keputusan dalam kes ini. Sebagai contoh, Majlis Peguam seolah-olah mendesak Pejabat Peguam Negara untuk tidak memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Saya tidak setuju dengan kenyataan ini. Peguam Negara, sebagai pihak yang mewakili Saiful secara khusus dan masyarakat secara umum, telah tewas dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Peguam Negara secara prinsipnya tidak membawa kepentingan Saiful secara peribadi, tetapi mewakili kepentingan masyarakat umum. Kepercayaan perlu diberikan kepada pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan, sama ada untuk memfailkan rayuan atau pun tidak. Biarlah mereka meneliti kekuatan kes atau kelemahan kes untuk membuat keputusan untuk merayu atau pun tidak.
Sebagaimana kita tahu, Majlis Peguam terdiri daripada mereka yang bijaksana dan mempunyai kepakaran dalam undang-undang. Oleh itu mereka adalah pihak yang begitu arif dengan hak-hak pihak-pihak dalam proses keadilan. Sistem kita membenarkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan perbicaraan mempunyai hak untuk merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi. Cadangan supaya peguam negara menumpukan kepada kes-kes lain yang lebih penting itu bukan suatu cadangan atau usul yang baik. Setiap perlakuan yang dijadikan sebagai perlakuan jenayah mempunyai sebab dan musabab mengapakah ia dijadikan jenayah. Implikasi kepada setiap perlakuan jenayah sangat rapat dengan masyarakat. Semangat undang-undang jenayah di sini ialah, ia menjaga kepentingan masyarakat, bukan individu semata. Perbuatan jenayah tetap perbuatan jenayah, walau kecil, walau besar, ia tidak boleh dipandang remeh. Benar kita membahagikan kes jenayah kepada besar atau kecil implikasinya. Mungkin pada pandangan badan peguam, implikasi pertuduhan seksual begini adalah kecil. Tetapi kalau kita teliti, sebahagian besar masyarakat yang hidup kekal berpegang kepada agama, kes sebegini amat besar kesannya kepada masyarakat. Selain daripada itu, kita juga perlu ingat pihak Peguam Negara juga adalah peguam yang bijaksana seumpama mereka di dalam Majlis Peguam juga. Mereka bukan calang-calang juga. Mereka tahu dan fasih undang-undang sebagaimana peguam-peguam di dalam Majlis Peguam juga. Mereka juga terdiri daripada pegawai-pegawai yang profesional, mereka tahu tugas mereka. Jadi, apa yang disuarakan oleh Majlis Peguam itu adalah sesuatu yang tidak kena pada tempatnya. Dengan sistem yang ada, serta kelengkapan dan prasarana yang dibekalkan, serahkanlah tugas dan urusan tersebut kepada Pejabat Peguam Negara.
Kenyataan Majlis Peguam bahawa undang-undang liwat ini adalah lapuk dan perlu dihapuskan. Bagaimana Dr. melihat perkara ini?
SHAMRAHAYU: Ini satu lagi kenyataan yang saya tidak gemar. Sebagai badan yang secara umumnya adalah sebahagian daripada peneraju kepada kelangsungan sistem perundangan negara, saya tidak tahu mengapa kenyataan tersebut perlu dibuat oleh Majlis Peguam. Ada agenda lain ke? Pada pengamatan saya, ramai ahli Majlis Peguam yang aktif dalam program Seksualiti Merdeka. Adakah kenyataan ini ada kaitan dengan Seksualiti Merdeka? Saya tidak tahu, tetapi ia nampak seolah-olah wujud kaitan.
Suka saya sebut bahawa, Majlis Peguam mempunyai pengaruh tersendiri - dengan bidang kerjayanya yang profesional dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Peguam adalah profesion kelas tinggi. Masyarakat sudah tentu memandang tinggi dan percaya kepada kerjaya ini. Bila begitu, badan ini sudah tentu mampu menarik perhatian masyarakat dengan kenyataan-kenyataannya. Sekiranya kenyataan sebegini disebarluas, ia sudah tentu boleh menarik masyarakat untuk mempercayainya dan bersetuju dengan idea tersebut. Pada saya kenyataan sebegini mengajak masyarakat untuk tidak menghormati undang-undang. Ini berbahaya kepada sistem perundangan kita. Majlis Peguam seharusnya mengajak masyarakat untuk menghormati undang-undang, bukan mengajak masyarakat menidakkan undang-undang yang masih kekal di dalam buku secara jelas dan nyata.
Dari segi lain, pandangan mengenai status undang-undang sebagai lapuk dan perlu dihapuskan adalah pandangan di bawah perjuangan hak asasi Majlis Peguam. Saya tidak boleh menerima pandangan ini. Selagi masyarakat berpegang kepada agama, kelakuan sebegini dan jenayah ini tidak lapuk. Bercakaplah kita dari segi agama mana sekalipun. Tidak ada agama yang benar membenarkan perbuatan ini. Ia sangat jelas. Tetapi sekiranya kita bercakap mengenai amalan dan hak asasi yang disandarkan kepada amalan sekularisme, humanisme dan liberalisme, itu yang membuat Majlis Peguam menyatakan ia adalah undang-undang lapuk dan perlu dihapuskan. Saya tidak fikir majoriti masyarakat kita setuju. Majoriti kita, saya masih lagi berpegang kepada prinsip moral dan agama -yang memberi kita nilai. Bukan hak asasi sebegini. Hak asasi dalam sistem itu bukan sahaja meminggir, tetapi menafikan agama serta moral. Manusia dalam sistem ini hidup tanpa tujuan lain, kecuali mengikut kehendak hati yang tiada nur keimanan. Hati-hati yang sakit. Inilah yang dibawa dalam pengucapan undang-undang lapuk dan perlu dihapuskan itu. Ia bukan saja berkait dengan Islam sebagai agama negara, tetapi ia juga berkait dengan nilai moral dalam budaya dan agama lain juga. Saya perlu tegaskan bahawa, sekiranya undang-undang itu lapuk, kita bahas di Parlimen. Parlimen yang berhak untuk menghapus sesuatu undang-undang sekiranya dipersetujui. Parlimen mewakili majoriti.
Malangnya Majlis Peguam pula seolah-olah bias dan terlalu 'melindungi' Anwar. Tidakkah ini menunjukkan ia bersikap prejudis terhadap pihak seperti Saiful yang juga mahu menuntut keadilan bagi pihaknya?
SHAMRAHAYU: Majlis Peguam seharusnya menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak. Barulah konsep asal tugas peguam untuk membantu mahkamah mencapai keputusan yang adil kepada kedua-dua belah pihak itu boleh dibanggakan. Bukan mendesak mana-mana pihak untuk memberi keadilan kepada sebelah pihak sahaja. Saya juga terfikir tentang elemen prejudis itu.
Hakim telah membuat penilaian maksimum dan mendapat ada kes prima facie dalam pertuduhan liwat, pada pandangan Dr. mengapa keputusan kelmarin berubah sama sekali?
SHAMRAHAYU: Dalam prosedur jenayah, prima facie bukan tahap pembuktian yang boleh dijadikan alasan untuk pensabitan. Prima facie tidak boleh dijadikan alasan pensabitan kes jenayah. Tahap pembuktian bagi tujuan pensabitan bagi sesuatu pertuduhan jenayah ialah 'beyond any reasonable doubt', dalam bahasa mudah, ia adalah, pembuktian atau keterangan yang dibawa oleh pendakwa kehadapan hakim hendaklah melangkaui atau melampaui keraguan munasabah. Maksudnya, bukti pendakwa hendaklah kukuh, bukan sepintas lalu sahaja. Prima facie cuma menunjukkan secara sepintas lalu bahawa ada kes yang perlu dibahas atau dijawab oleh orang tertuduh. Walaupun umumnya dalam amalan kehakiman, hakim menggunakan terma prima facie sebagai telah dibuktikan secara kukuh, ia bukan lagi mencapai tahap melangkaui atau melampaui keraguan munasabah, yang begitu kukuh sebagaimana dikehendaki dalam pensabitan kes jenayah.
Sekiranya kes prima facie telah dibuktikan oleh pendakwa, ia mungkin telah berjaya digugat oleh keterangan atau saksi yang dibawa oleh peguam tertuduh. Sekiranya bukti pendakwa berjaya digugat oleh keterangan atau saksi bagi pihak tertuduh maka, itulah yang menjadikan penghakiman yang berbeza. Mungkin ini agak teknikal untuk orang awam, tetapi saya fikir, masyarakat harus mula belajar untuk memahaminya.
Bagaimana Dr. melihat dalam soal kredibiliti hakim yang sering dituduh pihak tertentu bahawa mereka ini sudah dibeli oleh BN dan sebagainya?
SHAMRAHAYU: Ya, saya mendengar dan banyak membaca komen-komen sebegini. Itulah yang telah saya sebut tadi, ada segelintir ahli masyarakat atau golongan tertentu yang menganggap pertuduhan Anwar adalah konspirasi politik. Malah ada juga yang dengan lantang menyatakan bahawa perbicaraannya juga dipenuhi konspirasi. Mungkin pembaca boleh ingat Anwar pernah memohon untuk menukar hakim perbicaraan kerana ragu-ragu dengan kredibilitinya. Tetapi tidak berjaya mengenepikan hakim yang telah membebaskannya. Setelah hakim membebaskannya tidak pula saya mendengar tentang persoalan kredibiliti hakim. Mengapa jadi begini? Tidak lain tidak bukan, inilah dia hujah politik. Ia tidak rasional. Kes ini antara Anwar, Saiful (menerusi Pejabat Peguam Negara).
Tuduhan hakim dibeli oleh parti politik pemerintah adalah tuduhan berat. Sangat berat sebenarnya. Tuduhan ini bukan sahaja meruntuhkan maruah peribadi hakim terbabit, ia melibatkan maruah badan kehakiman, maruah kerajaan BN dan yang lebih berat lagi ia juga melibatkan maruah negara di mata dunia. Bagi saya ia tuduhan yang rakus. Mungkin ada tujuan di sebalik tuduhan itu. Mungkin bukan sahaja penyokong Anwar yang percaya kepada tuduhan ini, tetapi ada juga badan-badan berkaitan di peringkat antarabangsa yang percaya kepada tuduhan ini. Antaranya, sebab itulah kita lihat media asing begitu ghairah membuat liputan mengenai kes ini dan kita lihat komen-komen yang dibuat media antarabangsa mengenai keputusan kes ini. Saya sentiasa memandang serius tuduhan sebegini.
No comments:
Post a Comment