PKR tetap teruskan kempen tanpa permit
04/01/2012 6:01pm
SHAH ALAM 4 Jan. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap ingin meneruskan demonstrasi Kempen “Bebaskan Anwar 901” walaupun permit tidak dipohon untuk menganjurkan kempen itu.
"Memang kita tidak berhasrat untuk memohon permit kerana kita tahu permit untuk penganjuran ini tidak akan dikeluarkan (oleh polis) seperti mana yang berlaku,” kata Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie.
Perhimpunan yang dirancang pada Isnin ini dikatakan bertujuan menuntut keadilan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual memberi penghakiman berhubung kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu pada hari tersebut.
Ditanya mengenai 336 laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh negara sehingga semalam bagi mendesak agar kempen itu dihentikan, Shuhaimi berkata, PKR tidak akan tunduk atas desakan itu.
Katanya, selain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beberapa lokasi di sekitar ibu negara juga akan dijadikan tempat untuk mengadakan kempen itu namun lokasinya masih belum diputuskan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment