Hari-hari terakhir seorang Anwar
NAMA Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki kembali popular. Sejak beberapa hari ini, namanya terus disebut-sebut bukan atas alasan kewibawaan atau karismanya. Tetapi jalan politik yang beliau tempuh yang mahu disamakan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.Erdogan, pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki ini pernah dipenjara selama 10 bulan. Tetapi bukan atas tuduhan liwat tetapi dakwaan menanam kebencian dalam beragama kerana mengubahsuai sajak nukilan Ziya Gokalp.
Abdullah Gul yang menjawat jawatan Perdana Menteri sementara, kemudiannya meminda undang-undang untuk membolehkan Erdogan kembali menyertai politik dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Sebuah kisah happy ending yang menarik bagi seorang politikus.
Memang Erdogan sudah kepalang popular di Malaysia. Erdogan pun menjadi label untuk kumpulan pro Anwar dalam saf kepimpinan Pas. Anwarlah yang menggamatkan nama Erdogan apabila beliau tiba-tiba menyusup ke Kedutaan Turki di Kuala Lumpur atas alasan diancam bunuh pada Jun 2010.
Ini sehinggakan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turki pada Mac tahun lalu dilihat ada kaitan dengan tindakan Anwar itu. Ada yang melihat lawatan itu bakal dihantui dengan isu Anwar.
Tetapi layanan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Erdogan serta Abdullah (atas kapasitinya sebagai Presiden) tidak membayangkan ada rasa curiga dan kecewa. Malah stesen telivisyen Turki membuat siaran langsung pertemuan Najib-Erdogan.
Kedua-duanya membahasakan diri sebagai 'brother'. Erdogan sendiri menyifatkan lawatan rasmi Najib sebagai sesuatu yang dinanti-nantikan setelah tempoh 28 tahun. Kedua--dua pemimpin dalam majlis formal dan tidak formal sangat akrab. Itulah realitinya.
Kini menjelang 9 Januari, gamat lagi kisah Erdogan yang kononnya telah mempelawa Anwar untuk mendapatkan perlindungan di Turki. Entah benar, entah tidak. Ramai yang percaya tanpa memeriksa fakta bahawa antara Anwar dan Erdogan itu jauh berbeza, macam langit dengan bumi.
Malah Anwar menyebut, bukan sahaja Turki tetapi beberapa negara Arab yang lain telah mempelawanya tempat perlindungan. Dalam ceramahnya beliau juga menyebut telah mendapat pelawaan untuk berucap di Istana Turki dan acara tajaan cucu Mahatma Ghandi.
Dulu semasa isu liwat mulai hangat, Anwar turut menggunakan nama ulama Dr. Yusuf Qardawi. Kemudian bekas peguam beliau sendiri, Zulkifli Noordin mendedahkan bahawa fatwa ulama terkenal itu tidak tepat kerana dipengaruhi oleh maklumat yang hanya menyebelahi Anwar.
Kenyataan syok sendiri menjual nama pemimpin dan tokoh-tokoh terkenal dunia memang sudah biasa dilakukan Anwar, sama juga kali ini dalam ceramah jelajah seluruh negara untuk kempen bebaskan Anwar.
Apa yang mahu dihairankan kerana beliau pernah mahu disamakan dengan Mahatma Ghandi, Aung Suu Kyi dan banyak lagi pejuang rakyat tersohor dunia. Lebih mengejutkan, ada pengikutnya mahu menyamakan Anwar dengan Imam Mahdi.
Memang Anwar terlalu bagus dalam hal mempromosi dan mengagung-agungkan diri. Kisah beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet semasa memangku jawatan Perdana Menteri sentiasa diulang-ulang dalam ceramahnya.
Kedudukan sebagai ahli lembaga pengarah sebuah perbadanan di Bahrain, sentiasa menjadi ulam ucapannya untuk menunjukkan betapa pentingnya peranan beliau di dunia Arab. Cuma yang jarang didengar ialah peranannya sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
Ramai orang bukan sahaja terpikat tetapi juga terpukau. Mereka tak peduli dengan fakta. Karakter sesumpahnya terlalu halus untuk disedari oleh orang kebanyakan sehinggakan suara kesedaran dari ramai kenalan lamanya yang mahu membetulkan keadaan pun tidak didengar.
"Anwar memang hebat tapi mungkin ini ceramah yang terakhir. Tak rugi kita berjaga sampai pagi," luah seorang hadirin sebaik sahaja Anwar menghabiskan ceramahnya di kawasan perumahan padat penduduk di Subang Jaya pada Jumaat.
Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 12.20 pagi, tetapi Anwar tidak terlihat keletihan. Semangatnya luar biasa dengan ucapan yang berapi-api. Tenaganya tahap super kerana mampu berdiri berjam-jam dan bergerak pula sekurang-kurangnya ke tiga lokasi ceramah pada satu malam.
Mungkin terinspirasi dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang, Anwar begitu bersemangat berkeluh-kesah mengenai nasib dirinya. Anwar hanya menghentikan ceramahnya apabila beberapa kumpulan mula meninggalkan majlis kerana sudah terlalu lewat.
Kempen bebaskan Anwar ini akan bersambung di Terennganu, Pahang, Pulau Pinang dan berakhir di tiga lokasi di Kuala Lumpur pada malam Ahad. Daripada kempennya ini, Anwar menjangkakan dapat mengumpul 100,000 orang.
Hasilnya nanti Anwar mahu memperlihatkan kebangkitan rakyat, sama seperti kebangkitan rakyat yang memenangkan Parti AK dalam pilihan raya seterusnya membebaskan Erdogan dan mengangkatnya sebagai Perdana Menteri.
Sebab itu, beliau bersungguh-sungguh mempromosikan idea Perdana Menteri sementara. Sebab itu, beliau bermati-matian mahu seberapa ramai rakyat dikumpulkan di Kuala Lumpur. Melalui bantuan Pas, angka itu memang boleh dicapai.
Perhimpunan itu diharap oleh Anwar menjadi titik-tolak untuk kebangkitan rakyat, apatah lagi beliau tahu dirinya akan disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara. Sekurang-kurangnya pada peringkat ini (dipenjara), sepintas lalu nasibnya seakan-akan sama dengan Erdogan.
Untuk kisah seterusnya, apa pula yang akan dilakukan oleh Ketua Pembangkang ini? "Anwar di dalam penjara, Anwar di luar penjara, ia tidak penting. Yang paling penting, rakyat perlu tumbangkan UMNO," katanya yang sentiasa diulang-ulang dalam setiap ceramahnya.
Anwar bukan saja-saja mahu memetik dan mempopularkan kisah perjuangan Erdogan itu. Beliau bukan saja-saja berbaik-baik dengan Erdogan. Strategi ini mungkin telah lama diatur tetapi apakah rakyat Malaysia akan membenarkannya?
Beliau tahu sama ada dipenjara atau tidak, ia tidak menguntungkan Barisan Nasional (BN). Lantas, apa untungnya BN kalau benar pendakwaan kes liwat ke atas pembantunya sendiri ini satu konspirasi kerajaan?
Dan soalan lebih penting, apakah nanti kita akan mempunyai bekas banduan sebagai Perdana Menteri, yang dibebaskan daripada penjara atas campur tangan politik bukan kerana prinsip keadilan?
No comments:
Post a Comment