KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) hari ini mengulangi kenyataan bahawa lafaz Allah merupakan
kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh
diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, perkara itu sudah
diputuskan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008.
"Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan
sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap
kalimah terbabit, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan
undang-undang yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,"
katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Othman berkata,
kalimah Allah merupakan kalimah suci yang perlu dijaga dan berkait
dengan akidah dan oleh itu umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab
dalam isu ini.
Katanya, sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan
kalimah terbabit semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan
agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama
Islam, umat Islam dan rakyat Malaysia.
"Semua pihak seharusnya
memaklumi bahawa kes berkaitan penggunaan kalimah Allah yang bermula
pada tahun 2009 yang lalu masih belum selesai dan masih dalam peringkat
rayuan ke Mahkamah Rayuan.
"Oleh yang demikian membicarakan isu
berkaitan sama ada penganut Kristian Sabah dan Sarawak dibenarkan
menggunakan kalimah 'Allah' dalam bible Bahasa Melayu dilihat
seolah-olah mendahului mahkamah sendiri dan bersifat 'subjudis'",
katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia bertanggungjawab memberi
sepenuh kebebasan kepada mahkamah untuk membuat penghakimannya dan Jakim
berpegang kepada semangat patuh kepada undang-undang sedia ada iaitu
biarlah mahkamah membuat keputusan yang benar-benar adil dan mengambil
kira keharmonian semua kaum dan agama di negara ini.
Katanya,
tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan pendapat sendiri dan
mendahului mahkamah dan mengkucar-kacirkan keharmonian antara kaum dan
agama demi meraih keuntungan politik sempit amat dikesali.
Justeru,
Jakim menggesa semua pihak supaya kembali menghayati semangat kedaulatan
undang-undang yang dilaung-laungkan selama ini untuk memastikan
keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara dan dijamin di bawah
Perlembagaan Persekutuan.
"Semua pihak harus menyokong keputusan
yang dibuat oleh kerajaan yang bermatlamat untuk mengekalkan keharmonian
antara kaum dan agama," katanya.
No comments:
Post a Comment