Saturday, March 1, 2014

MASIH INGAT LAGI PAGI 1 MAC 2013..????

Al Fatihah untuk anggota pasukan keselamatan kita yang sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan negara...!!!!











Dua anggota keselamatan terkorban, 12 penceroboh maut


LAHAD DATU 1 Mac - Dua anggota keselamatan negara maut, dua cedera parah manakala 12 anggota penceroboh yang menggelar diri mereka sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu terbunuh dalam pertempuran kira-kira pukul 10 pagi di Kampung Tanduo di sini hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pasukan penceroboh itu yang terlebih dahulu memulakan tembakan setelah terserempak dengan pasukan keselamatan negara yang memasuki kawasan itu bagi memperketatkan kepungan.
Tegas beliau, apabila penceroboh melepaskan tembakan, pasukan keselamatan negara terpaksa membalas baik untuk mempertahankan diri.
"Pertempuran itu mengambil masa kira-kira antara 20 dan 30 minit itu menyebabkan tiga daripada anggota keselamatan negara meninggal dunia.
"Kita berjaya mengeluarkan kesemua anggota kita yang terkena tembakan sementara 12 ahli kumpulan penceroboh itu masih berada di kawasan kampung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Hamza, dalam pertempuran itu, pasukan keselamatan telah merampas pelbagai senjata dan barangan milik kumpulan terbabit, antaranya masing-masing dua laras M16, dua laras rifle semi-auto, dua pucuk pistol, peluru pelancar roket, megazzin peluru dan beg pakaian.
Tegas beliau, pertempuran yang berlaku itu bukan bermakna operasi telah berakhir, namun pihaknya telah mempersiapkan pasukan sehingga kumpulan itu berundur atau menyerah kalah.
"Keadaan masih terkawal, kepungan masih diteruskan. Kita yakin kumpulan itu dalam keadaan genting kerana kita telah menguasai kawasan-kawasan utama sementara kumpulan itu hanya berada dalam kedudukan kecil.
"Kita tidak mempunyai pilihan lain kerana kita telah memberi peluang kepada mereka untuk menyerah diri, tetapi mereka tetap berkeras," katanya. - UTUSAN


Kg. Tanduo bermandi darah



Anggota tentera bergerak ke Kampung Tanduo untuk menghadapi penceroboh yang masih berkubu di kampung itu, semalam. - BERNAMA
LAHAD DATU 1 Mac - Selepas hampir tiga minggu kerajaan membuka pintu rundingan kepada kumpulan bersenjata yang mendakwa Tentera Diraja Kesultanan Sulu, penceroboh itu hari ini memulakan serangan dengan menembak mati dua anggota komando polis dari pasukan VAT 69 dan menyebabkan tiga lagi cedera.
Dua anggota komando VAT 69 yang terkorban ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud manakala mangsa yang cedera pula ialah Koperal Mohd. Tarmizi Hashim (tangan dan kaki), Koperal Azman Ampong (paha dan punggung) serta Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli (bahu kanan dan kedua-dua belah kaki).
Pertempuran meletus pada pukul 10 pagi apabila pasukan keselamatan negara yang bersiap melancarkan operasi menangkap anggota kumpulan penceroboh diserang ketika berada berdekatan sebuah surau lama di Kampung Tanduo menyebabkan mereka terpaksa melakukan serangan balas untuk mempertahankan diri.
Kejadian berbalas tembakan itu berlaku selama setengah jam dan membunuh 12 anggota kumpulan Tentera Diraja Kesultanan Sulu, seorang cedera dan 10 lagi menyerah diri.
Walaubagaimanapun, baki anggota penceroboh lain berpecah sebelum melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berdekatan.
Utusan Malaysia difahamkan, selain ditembak pada jarak dekat, salah seorang anggota VAT 69 yang sedang mendapat rawatan lanjut di Hospital Lahad Datu dan Hospital Sandakan turut ditikam menggunakan parang oleh anggota kumpulan penceroboh ketika berlaku pergelutan berhampiran surau tersebut.
Dalam pada itu, sehingga pukul 11.45 malam ini, dipercayai terdapat sekumpulan lagi anggota kumpulan penceroboh tersebut bertindak menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Namun, tiada sebarang pengesahan dibuat pihak keselamatan negara mengenai perkembangan terbaharu itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dalam sidang akhbar tergempar di Felda Sahabat, dekat sini berkata, pasukan penceroboh terlebih dahulu melepaskan tembakan setelah terserempak dengan anggota pasukan keselamatan negara yang memasuki kawasan tersebut bagi memperketatkan kepungan.
Katanya, sebaik pertempuran berhenti pasukan keselamatan diketuai VAT 69 dan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas dua laras raifal M-16, dua laras raifal semi auto, dua pucuk pistol, peluru pelancar roket (dipercayai dari jenis RPG), kelopak peluru serta beberapa beg pakaian milik anggota penceroboh.
"Apabila mereka terlebih dahulu melepaskan tembakan, pasukan keselamatan negara terpaksa membalas balik untuk mempertahankan diri. Pertempuran tersebut yang mengambil masa antara 20 hingga 30 minit menyebabkan dua daripada anggota keselamatan negara meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera.
"Kesemua anggota keselamatan kita yang cedera dan terbunuh akibat terkena tembakan tersebut berjaya dikeluarkan, tetapi mayat 12 anggota kumpulan penceroboh yang terbunuh masih berada di kawasan Kampung Tanduo," katanya sambil menegaskan pertempuran itu bukan bermakna operasi tersebut telah berakhir.
Mengulas lanjut, Hamza berkata, meskipun keadaan selepas pertempuran terkawal, pihaknya kini bersiap sedia melaksanakan operasi seterusnya bagi memastikan kumpulan penceroboh yang masih berdegil menyerah kalah kepada pihak keselamatan negara.
"Kepungan diteruskan dan kumpulan itu kini dalam keadaan genting kerana kita telah menguasai kawasan-kawasan utama manakala mereka hanya berada dalam kedudukan kecil. Kita tidak mempunyai pilihan lain kerana telah memberi banyak peluang untuk menyerah diri, tetapi mereka tetap berkeras," katanya.













No comments:

Post a Comment