• Yusof: Saya tiada hubungan politik dengan Anwar Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden
1 / 1
KUALA LUMPUR - Bekas Peguam Cara  Negara, Datuk Mohd Yusuf Zainal Abiden yang mengepalai pasukan pendakwa raya dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyertai pasukan peguam bela Ketua Pembangkang itu, yang dikenakan tuduhan berhubung perhimpunan Bersih 3.0.

Mohd Yusuf merupakan ketua pendakwa raya kes liwat Anwar, yang diputuskan tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi Januari lalu.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang ketua pendakwa raya selepas selesai satu kes (pihak pendakwa raya),  terus menyeberang menjadi peguam bela," kata Anwar kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pagi ini.

Salah seorang peguam bela Anwar, Sankara Nair berkata, Yusof secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi salah seorang peguam bela dalam kes perbicaraan itu.

“Beliau telah dihubungi Anwar semalam dan membuat keputusan untuk menyertai perbicaraan hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, penyertaan Yusof dalam barisan peguam bela Anwar satu perkara yang baik kerana beliau seorang yang berpengalaman dalam bidang perundangan.

Peguam lain yang berada dalam kumpulan Anwar ialah peguam utama Anwar, Karpal Singh dan anak Karpal, Ram Karpal Singh Deo.

Anwar bersama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Badrul Hisham didakwa secara berasingan menyertai satu protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret ketika perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.