Anwar tidak nafi berada di kondominium
KUALA LUMPUR 13 Dis. – Senjata makan tuan. Itulah yang berlaku kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila keterangan membela diri dari kandang tertuduh yang dibuat sebelum ini tidak langsung menafikan kehadirannya di unit kondominium tempat kejadian liwat didakwa berlaku.Tidak cukup dengan itu, keterangan tanpa sumpah itu yang lebih banyak menyalahkan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang mendengar kesnya tidak langsung menyentuh mengenai sakit belakang yang membataskan pergerakannya sekali gus menidakkan keupayaannya untuk meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Tertuduh juga pada bila-bila masa tidak pernah membuat sebarang cubaan untuk menjelaskan bagaimana air maninya boleh ditemui di dalam dubur Mohd. Saiful Bukhari.
Perkara tersebut merupakan antara keterangan yang langsung tidak dinafikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh dan dinyatakan oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden selama hampir tiga jam di Mahkamah Tinggi di sini pada penggulungan hujah di akhir kes pembelaan.
Keterangan yang tidak dinafikan antara lainnya adalah Anwar telah menghubungi Ketua Staf beliau, Ibrahim Yaakob supaya sekeping sampul surat diserahkan kepadanya di kondominium itu. Mohd. Saiful Bukhari telah menyerahkan sampul surat itu kepada tertuduh di unit 11-5-1 antara pukul 3.01 dan 4.30 petang pada hari tersebut dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh tiba serta meninggalkan tempat berkenaan selepas kejadian.
“Selain daripada komen dan kritikan yang diberikan oleh tertuduh mengenai keterangan pengadu dan lain-lain saksi pendakwaan, adalah penting untuk menyatakan bahawa tertuduh tidak pernah memberikan versinya mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada 26 Jun 2008 di antara 3.01 dan 4.30 petang di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, tempat kejadian itu didakwa berlaku,” hujahnya.
Mengenai isu konspirasi pula, Mohd. Yusof berhujah, Anwar sendiri, dalam afidavit yang difailkan sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan permohonan mengetepikan sapina, menyatakan bahawa tujuan beliau memanggil pasangan itu bukanlah untuk menuduh mereka terlibat dalam konspirasi.
Secara keseluruhannya, hanya sedikit keterangan Anwar dari kandang tertuduh yang mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi olehnya.
Sementara itu, menurut Mohd. Yusof, saksi penyanggah, Dr. S. Jeyaindran sewaktu disoal balas oleh peguam bela, Sankara Nair menyatakan Anwar tidak langsung menunjukkan rasa sakit sewaktu pemeriksaan doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 16 Julai 2008 malah mampu menanggalkan pakaiannya dan duduk di meja pemeriksaan tanpa bantuan mahupun dibatasi rasa sakit.
“Ini adalah penting kerana pemerhatian ini dibuat oleh seorang doktor yang telah membuat pemeriksaan ke atas tertuduh pada 16 Julai 2008 iaitu kurang sebulan dari tarikh kejadian didakwa berlaku berbanding Dr. Thomas Hoogland yang tidak pernah berjumpa dengan tertuduh untuk tempoh enam tahun selepas pembedahannya pada 2004,” kata Mohd. Yusof.
Mengenai seorang lagi saksi pakar luar negara, Dr. Brian McDonald, Mohd. Yusof menyifatkan saksi tersebut adalah saksi pakar berbayar yang tidak mempunyai pengalaman langsung dalam menjalankan pelbagai ujian analisis asid deoksiribonukleik (DNA) berbanding pakar kimia tempatan Dr. Seah Lay Hong.
Tindakan pakar luar negara itu memberikan komen-komen liar dan menyatakan bahawa langkah-langkah yang dibuat oleh Lay Hong dalam menjalankan analisis DNA adalah kerja-kerja yang hanya dilakukan oleh robot di negaranya adalah satu perkara yang sangat dipertikaikan dan menyeleweng.
“Bukan sahaja dalam kes kita, malah kes-kes lain juga kredibiliti, kepakaran, kelayakan dan objektiviti Dr. McDonald telah dipertikaikan. Antaranya dalam kes Robert Charles Bropho apabila hakim Goetze DCJ telah menolak keterangannya,” kata Mohd. Yusof.
Timbalan Pendakwa Raya itu untuk beberapa minit yang berikutnya menyenaraikan beberapa lagi kes luar negara yang mana hakim-hakim yang mengendalikan kes tersebut mempertikaikan ‘kepakaran’ McDonald.
“Atas segala bukti yang dikemukakan oleh pembelaan di akhir kesnya, adalah jelas bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Kesalahan melakukan hubungan seks luar tabii yang dilakukan oleh tertuduh telah berjaya dibuktikan melangkaui keraguan munasabah. Tertuduh perlu disabitkan dengan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan,” kata Mohd. Yusof.
Sebelum mengakhiri hujahnya, Peguam Cara Negara II itu memetik kata-kata seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang antaranya menyebut bahawa keterangan tertuduh yang dibuat melalui kandang tertuduh, yang tidak boleh disoal balas oleh sesiapa tidak boleh diberi beban pembuktian yang sama dengan seseorang yang memberi keterangan dari kandang saksi.
Sejurus selepas Mohd. Yusof selesai berhujah, peguam bela utama tertuduh, Karpal Singh memohon agar pihaknya diberi masa untuk membuat hujah balas.
Mahkamah menetapkan Khamis ini untuk barisan pembelaan berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment