KR1M bukan milik saya
HEBOH wakil-wakil pembangkang membangkitkan
perihal Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Dakwa Tony Pua, barangan di KR1M
tidak semurah yang dijanjikan kerajaan.
Begitu juga dengan kualiti barangan. Kata Setiausaha Publisiti DAP itu, ada barangan jenama 1Malaysia rendah kualitinya.
Menganggap dakwaan tersebut sebaga berniat jahat, Pengarah Urusan Mydin, DATUK AMEER ALI MYDIN menegaskan bahawa KR1M menitikberatkan harga dan kualiti barangan. Katanya, amanah kerajaan yang tergalas di bahunya adalah memastikan barangan jenama 1Malaysia murah serta kualiti menyamai jenama lain. ‘‘Tidak ada untung tetapi jangan rugi,’’ katanya ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia NORAINI ABD. RAZAK dan jurugambar SAFRIZAL AZMI di Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
MINGGUAN: Pembukaan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) mendapat perhatian
pembangkang terutama dari sudut harga dan kualiti barangan, apa
pandangan Datuk? Menganggap dakwaan tersebut sebaga berniat jahat, Pengarah Urusan Mydin, DATUK AMEER ALI MYDIN menegaskan bahawa KR1M menitikberatkan harga dan kualiti barangan. Katanya, amanah kerajaan yang tergalas di bahunya adalah memastikan barangan jenama 1Malaysia murah serta kualiti menyamai jenama lain. ‘‘Tidak ada untung tetapi jangan rugi,’’ katanya ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia NORAINI ABD. RAZAK dan jurugambar SAFRIZAL AZMI di Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
AMEER ALI: KR1M diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan objektif untuk mengadakan satu pasar raya mini yang menjual barangan harian pada harga lebih murah untuk mengurangkan beban rakyat. Tentunya kalau hanya dengan kerajaan bagi tahu kedai runcit supaya jual murah semua orang tak akan buat macam itu, sebab orang berniaga nak untung. Pihak Mydin ditanya sama ada kita boleh mengendalikan Kedai Rakyat atau tidak. Sememangnya kami tahu jika buka Kedai Rakyat ada cara untuk menjual barangan dengan harga yang murah iaitu dengan mengeluarkan produk generik yang dipanggil 1Malaysia. Produk generik ini bukan sesuatu yang baru, malah sudah ada dalam pasaran. Misalnya di Mydin produk generik kita guna jenama Myrasa, di Carrefour ada Carrefour Big Savers. Kebanyakan pasar raya ada produk generik dengan jenama sendiri yang dijual lebih murah daripada barangan berjenama. Bagaimanapun mereka menyimpan margin yang tinggi untuk cari untung. Dalam pasar raya besar apabila kita jual barangan berjenama memang tidak ada untung sebab semua orang jual barngan yang sama. Hanya dengan menjual produk generik ini kita boleh buat untung kerana kos produk yang murah.
Jadi bagaimana KR1M dapat menjual produk generik ini dengan harga lebih murah sebanyak 30 hingga 40 peratus berbanding pasar raya lain?
AMEER ALI: Ingin saya jelaskan satu persatu bagaimana KR1M berperanan. Produk generik di KR1M yang kita panggil produk 1Malaysia mesti lebih murah daripada produk generik di tempat lain termasuk di MyMydin sendiri. Bukan itu saja, produk berjenama seperti Milo pun kita tak boleh jual mahal sebab jenama Kedai Rakyat itu sendiri. Semuanya kena murah sebab nak bantu kurangkan beban rakyat. Jadi macam mana bisnes nak viable? Kedai Rakyat pula ada tiga saiz berbeza misalnya 500 kaki persegi, 3000 kaki persegi dan 5000. Kos ubah suai kedai pula puratanya adalah RM500,000 dan ia berbeza mengikut lokasi.
Adakah Mydin perlu menanggung kos ubah suai?
AMEER ALI: Saya jelaskan kepada kerajaan jika mahu Mydin buka kedai rakyat maka kerajaan perlu menanggung kos ubah suai kedai, kerana Kedai Rakyat adalah milik kerajaan. Barangan asas seperti kerusi meja semuanya milik kerajaan dan bukannya milik Mydin. Dan ingin saya tekankan di sini saya tidak ada niat untuk ambil duit kerajaan, saya ada cukup duit sendiri. Ini memang betul-betul niat mahu membantu kerajaan untuk ringankan beban rakyat lagi pun, Perdana Menteri suruh kita tolong dan idea itu memang inisiatif yang bagus tetapi saya tak boleh guna duit sendiri sepanjang masa, jadi kita tolong dari segi kepakaran. Jadi kalau nak Mydin uruskan Kedai Rakyat maka Mydin berperanan sebagai pengurus dan pembekal barangan. Bagi saya soal membekalkan barangan biar pun terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi tidak ada masalah. Ini kerana hasil daripada jualan barangan akan dapat balik untuk rolling bagi membekalkan barangan yang lain dan menampung kos. Tetapi kos ubah suai memang kita tidak boleh dapat semula.
Setakat ini sudah ada 14 KR1M. Kita diarah buka dan kita buka, barang kita tanggung.
Segala-galanya kita uruskan sebab kerajaan tak tahu macam mana nak uruskan pasar raya mini, dulu ada Pernas Edar tetapi gagal, kalau ada yang berjaya adalah penubuhan koperasi tetapi kita mesti ingat barangan koperasi tidak murah.
Mydin juga menyediakan tenaga kerja?
AMEER ALI: Semua disediakan Mydin. Kami uruskan perniagaan KR1M dari segenap aspek. Kerajaan keluarkan wang untuk ubah suai kedai dan kami uruskan perniagaan seperti yang disyaratkan kerajaan mesti murah dan jangan rugi kalau pun tidak untung.
Bagaimana pula dengan dakwaan-dakwaan pembangkang terutamanya Tony Pua?
AMEER ALI: Memang ramai tertanya-tanya adakah dakwaan tersebut benar atau sebaliknya. Ingin saya katakan ada yang benar dan ada yang tak benar. Ada dua perkara dibangkitkan mereka iaitu dari segi harga mereka kata barangan KR1M tidak murah. Mereka kata banding dengan harga pasar raya besar, harga KRIM sama atau murah sedikit saja sedangkan menteri kata murah 30 hingga 40 peratus. Sebenarnya menteri kata memang murah antara 30 dan 50 peratus kalau dibandingkan dengan barangan jenama. Oleh itu 30 hingga 50 peratus itu adalah perbadingan produk generik di KR1M dengan produk yang sama di tempat-tempat lain dengan kualiti barangan yang sama tetapi harganya lebih murah.
Dari segi harga pembangkang membuat perbandingan yang sangat tidak adil. Mereka ambil barang dari kedai rakyat dan banding dengan harga di Tesco yang dibeli pada satu hari Sabtu daripada satu bulan di mana jualan murah diadakan. Ini tidak adil. Begitu juga perbandingan produk yang tidak sama kualiti seperti yang dibangkitkan Tony Pua kononnya teh di kedai rakyat lebih mahal berbanding teh di Carrefour. Mereka sebut teh tetapi tidak menyebut ini Ceylon Tea dan yang itu Black Tea. Mana boleh bandingkan dua barangan yang berbeza. Tentulah harga dan kualiti tidak sama, jadi adalah sangat tidak logik untuk menghebohkan sesuatu semata-mata untuk memburukkan Kedai Rakyat. Macam makan roti canai, kenapa roti canai di kedai A mahal sebab mereka guna minyak sapi, manakala di kedai B guna marjerin murah, tentulah harganya berbeza. Bagi saya tujuan pembangkang adalah jelas iaitu untuk menimbulkan persepsi bahawa memang betul Kedai Rakyat mahal sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Tetapi Tony Phua menunjukkan barangan Carrefour Savers lebih murah daripada barangan di KR1M?
AMEER ALI: Perkara ini dibangkitkan pembangkang dan saya menjawabnya tanpa niat selain memberi penjelasan. Di Carrefour ada produk generik yang diasingkan iaitu Carrefour Savers dan jenama Carrefour. Anda pergi ke Carrefour boleh lihat dengan jelas dua jenama itu dan kedua-duanya berbeza terutama dari segi kualiti. Mereka membandingkan barangan KR1M misalnya sabun pencuci pinggan Axion di mana Carrefour Savers (RM1), KR1M (RM1.90) dan jenama Carrefour (RM2.40). Kenapa bandingkan dengan Carrefour Savers yang jauh kualitinya dengan KR1M? Kenapa tidak bandingkan dengan jenama Carrefour yang sama kualitinya dengan produk KR1M tetapi harga jauh lebih murah. Nampak sangat apa niat mereka yang sebenar.
Maknanya dakwaan itu memang tidak benar sama sekali?
AMEER ALI: Saya tidak marah kalau apa yang dibangkitkan itu memang betul-betul membuktikan bahawa barangan KR1M mahal. Ini tidak, mereka memang berniat jahat, tak mungkin mereka tidak nampak perbezaan kedua-dua barang. Apabila saya tunjuk bukti perbandingan yang betul mereka tidak jawab. Begitu juga dakwaan-dakwaan lain seperti Ribena mahal sedangkan mereka membandingkan Ribena (jus blackcurrent) dengan kordial blackcurrent, buah dalam tin yang tidak diperjelaskan perbezaan harga disebabkan isi kandungan yang berbeza selain susu pekat yang hakikatnya di KR1M sememangnya lebih murah.
Mereka membesar-besarkan isu dan membuat dakwaan palsu tanpa memberi penjelasan sebenar kepada rakyat, jadi apa tujuan mereka yang sebenar?
Saya akui ada dakwaan mereka yang betul misalnya penglabelan produk tertentu yang tidak tepat atau tidak dilabelkan.
Satu lagi sos tiram, ini memang kami salah. Perkara ini timbul apabila kita nak tolong industri kecil sederhana (IKS). Kalau kita suruh kilang besar buat tentu tidak timbul masalah ini. Produk itu sebenarnya ekstrak tiram dan bukannya sos tiram sebenar. Jadi kita tarik semula produk itu daripada pasaran.
Mengapa Mydin yang terpilih mengendalikan KR1M?
AMEER ALI: Saya sendiri tidak tahu apa yang ada di dalam fikiran Perdana Menteri tetapi saya rasa pemilihan Mydin disebabkan beberapa perkara. Pertamanya, Mydin adalah syarikat tempatan. Pengendali pasar raya lain seperti Tesco, Carrefour adalah milik asing, mereka tidak dibenar mengendalikan perniagaan pasar raya mini di Malaysia walaupun mungkin di negara-negara lain mereka boleh berbuat demikian. Jadi secara logiknya memang KR1M tidak boleh diserahkan kepada mereka. Keduanya, syarikat seperti Tesco tidak mempunyai kepakaran mengendalikan pasar raya mini di Malaysia. Kalau KR1M adalah untuk hipermarket mungkin Tesco yang terpilih sebab mereka lebih berpengalaman dan terbaik dalam bidang tersebut. Satu-satunya syarikat lain yang mengendalikan kedai serbaneka adalah Speedmart yang mempunyai 300 rangkaian kedai, atau mungkin juga KK Mart.
Tetapi mengapa mereka tidak terpilih? Mungkin dari perspektif kerajaan, kedai-kedai itu juga menjual barangan tidak halal sedangkan KR1M adalah untuk barangan keperluan semua orang. Pilihan paling jelas adalah Mydin kerana selain pengendali hipermarket, Mydin kini mempunyai 56 kedai serbaneka. Kami juga pengalaman luas, reputasi yang bagus, terkenal dengan barangan murah dan paling penting Mydin dikenali sebagai syarikat yang banyak menyokong IKS. Sebab tolong IKS timbul masalah yang disebutkan tadi iaitu masalah kualiti. Tentu kalau saya bagi syarikat besar seperti Nestle tidak akan timbul masalah tetapi niat buka kedai rakyat bukan sahaja mahu bantu rakyat dapatkan barangan murah tetapi juga membantu membawa IKS ke tahap lebih tinggi.
Kalau kita tidak tolong mereka siapa lagi yang nak tolong. Jadi apabila ada kesilapan mereka belajar daripada kesilapan. Di KR1M kita wujudkan juga satu sudut untuk barangan IKS, ini semua perlu diperjelaskan.
Apa reaksi pertama Datuk apabila ‘terpilih’ memikul tanggungjawab ini, adakah berat atau terus terima?
AMEER ALI: Saya berasa sangat berat sebenarnya. Ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan satu lagi memerlukan sumber barangan daripada kami. Kita kena peruntukkan barangan untuk KR1M, semua ‘kepala’ kena bekerja keras untuk menjayakan Kedai Rakyat. Ini bermakna kita tidak boleh membuka MyMydin kerana semua tenaga tertumpu kepada KR1M. Apabila tak buka MyMydin maknanya kami rugi. KR1M juga menjadi persaingan kepada MyMydin. Kalau ditanya sama ada off record atau on record saya berani kata barangan di KR1M memang murah banding MyMydin. Walaupun MyMydin juga jual barangan pada harga murah tetapi objektifnya masih untuk mendapatkan keuntungan. Tetapi KR1M objektifnya adalah CSR jadi tak payah untung tetapi jangan rugi tentulah harga yang ditawarkan lebih murah.
Kalau rasa berat mengapa diteruskan juga?
AMEER ALI: Ini adalah permintaan Perdana Menteri. Saya sendiri merasakan dalam keadaan umur sekarang ini tidak mengapa kita menolong orang. Kita buka Kedai Rakyat, memang rakyat suka, tolak tepi kerja jahat pembangkang, kebanyakan orang yang saya jumpa memuji usaha KR1M, mereka juga mengucapkan terima kasih.
Apa yang pasti pembangkang sangat takut dengan inisiatif mulia membantu rakyat. Sebab takutlah mereka bangkitkan semua ini, macam yang terjadi kepada menu 1Malaysia. Mereka juga kena faham untuk membuka kedai rakyat di semua tempat memerlukan masa dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin. Selain kedai rakyat kita juga mahu kedai-kedai runcit menjual produk 1Malaysia. Mereka akan memperoleh keuntungan juga kerana harga istimewa yang diberi kepada mereka.
Saya pun hairan pembangkang bising-bising bangkitkan semua ini, sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit untuk membuat ujian makmal, siapa yang tanggung kos itu semua? Tapi bila saya minta tunjukkan hasil ujian makmal mereka tidak mahu tunjukkan pula. Niat saya ikhlas, jadi jika ada barangan yang tidak menepati garis panduan saya akan segera tarik dan lakukan ujian, jika hasil ujian menunjukkan tidak menyalahi garis panduan kita jual semula, jika sebaliknya kita terus gugurkan dari senarai.
Ketika menerima tanggungjawab ini adakah Datuk terfikir akan timbul masalah seperti ini?
AMEER ALI: Saya tak terfikir. Saya cuma fikir yang terbaik kerana idea untuk menjual barangan berkualiti pada harga lebih murah memang dapat meringankan beban rakyat. Lagi pun ia sesuatu yang baik untuk Mydin terutama dari segi imej syarikat dan juga dapat motivasi kakitangan Mydin. Sebagai syarikat yang besar sememangnya menjadi tanggungjawab kami untuk melakukan CSR membantu rakyat. Malay saya mengalu-alukan syarikat milik kerajaan (GLC) yang besar supaya membuka kedai rakyat, Mydin boleh menguruskannya tetapi tidak ada yang mahu berbuat demikian. Satu lagi membantu orang lain pasti mendatangkan keberkatan kepada perniagaan dan amalan kita. Dari sudut perniagaan menglibatkan diri dalam KR1M sebenarnya membawa keuntungan jangka panjang kepada Mydin sendiri terutama dari segi mendapatkan bekalan barangan pada harga lebih murah.
Semangat Datuk tidak terjejas?
AMEER ALI: Pada awalnya memang menjejaskan semangat saya. Tetapi sebagai peniaga yang sudah biasa turun naik, saya kuatkan semangat. Kalau kita bukan peniaga sebesar ini memang susah sebab mereka yang mengganggu ini memang jahat. Peniaga bukan macam orang politik. Orang politik kulit tebal, kita orang berniaga tidak. Kita terasa lebih sampai boleh menangis. Tetapi kita dah pilih untuk menolong orang jadi kita buat sebaik mungkin, selepas buat yang terbaik kita serahkan kepada Tuhan.
SOKONG DATUK AMEER ALI MYDIN,TERHAru APABILA MYDIN MEMBUAT RUMAH TERBUKA DI HARI RAYA LEPAS DI MYDIN MELAKA.....SUPERMARKET LAIN TIDAK PERNAH BUAT BEGITU...WALHAL 80% PELANGGAN MEREKA ADALAH ORG ISLAM......HARAP DATUK TERUSKAN USAHA MURNI DATUK..SEMOGA DATUK AKAN BERSABAR ATAS TOHMAN PEMBANGKANG YANG TAK SEKOLAH ITU...MAKIN MELUAT DENGAN PKR MAKOK AYUN.....
ReplyDeletesokong Datuk, semoga segala pengorbanan Datuk dalam hal ini terus memdapat keberkatan dan di redhai oleh Allah SWT. Dengan kebajikan yang amat besar Datuk berikan kepada kami rakyat yang berpendapatan rendah ini akan membawa keberkatan dalam hidup Datuk dan tidak dapat kami membalasnya. Apa yang Datuk laksanakan ini adalah sama seperti urusniaga yang dijalankan oleh Rasulullah SAW. Ganjaran di akhirat kelak amatlah besar, InyaAllah.
ReplyDeletehelp_linemy dan Neilkie69..betul tu...hanya ALLAH boleh membalas jasa Dato' MYDIN ni...!!!
ReplyDelete