Mat Sabu cabar Muhyiddin
KUALA LUMPUR 6 Sept. – Setelah menolak cabaran berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, kini Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mencabar pula Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berdebat dengannya berhubung isu siapa pejuang kemerdekaan negara sebenar.Ia kerana, menurut Mohamad atau Mat Sabu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO terlalu kerap mengkritiknya berbanding Khairy setelah isu tersebut didedahkan 26 Ogos lalu.
“Secara peribadi, Khairy tidak banyak mengecam saya dalam hal ini, yang banyak maki hamun saya, suruh saya bertaubat ialah Muhyiddin. Jadi, eloklah saya bertemu dengannya tidak kira di pentas debat, dialog mahupun perbincangan.
“Kebetulan Muhyiddin ialah Ahli Parlimen yang kawasannya berdekatan dengan Bukit Kepong, jadi eloklah saya berdepan dengannya yang banyak kali suruh saya bertaubat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Mohamad dilaporkan menyerahkan tugas untuk berdebat dengan Khairy kepada Pemuda Pas Johor dengan alasan, sayap parti negeri itu lebih layak memandangkan Bukit Kepong terletak di Johor.
Sedangkan cabaran debat tersebut dilontarkan oleh Tuan Ibrahim yang mahu parti itu berdebat secara terbuka dengan UMNO mengenai tajuk Siapakah Layak Digelar Pejuang Kemerdekaan Sebenarnya?
Isu Bukit Kepong mula tercetus apabila Mat Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu menjulang pengganas komunis sebagai hero sebenar tragedi Bukit Kepong, bukannya 25 anggota keselamatan dan keluarga mereka yang dibunuh dalam peristiwa serangan berdarah ke atas balai polis itu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_11.htm
No comments:
Post a Comment