Saya amat jelas dengan rancangan pembaharuan - Pak Lah
21/09/2011 2:27am
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, beliau amat jelas dengan rancangan-rancangan pembaharuan yang hendak dibawanya semasa memegang jawatan Perdana Menteri.
"Mungkin semasa saya memegang jawatan itu saya sepatutnya lebih bertegas mengenai pembaharuan itu, berdasarkan kepada tentangan yang saya hadapi,” katanya dalam satu kenyataan malam semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang dilaporkan sebuah portal hari ini, bahawa beberapa tentangan terhadap rancangan-rancangan pembaharuan yang dibawa Abdullah muncul kerana Abdullah tidak menyatakan dengan jelas mengenai apa yang hendak dilakukannya.
Portal berita tempatan itu melaporkan bahawa Nazri berkata demikian semasa diminta mengulas komen Abdullah bahawa rancangan-rancangan pembaharuannya ditentang kumpulan yang tidak mahu bertolak ansur.
Abdullah berharap, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan lebih bertegas dengan rancangan-rancangan pembaharuannya sekiranya beliau jelas dengan apa yang dimahukannya.
"Sudah tentu apabila seseorang pemimpin berhasrat membawa pembaharuan, pasti ada kumpulan yang menyokong dan ada juga kumpulan yang menentang. Bagaimanapun sekiranya pemimpin itu jelas, bahawa apa yang hendak dilakukannya adalah sesuatu yang betul, beliau perlu berusaha melaksanakannya,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment