Kenyataan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu atau Mat Sabu pada 21 Ogos
lalu yang mengatakan 200 anggota pasukan Parti Komunis Malaya (PKM) yang
diketuai oleh Goh Peng Tun dan lelaki Melayu,Mohamad Indera telah
membunuh 25 askar Melayu di Bukit Kepong itu sebagai hero tulen,amat
jengkel dan sangat dikesalkan.Sebagai rakyat Malaysia,tidak sepatutnya
beliau membuat suatu kenyataan yang bercanggah dengan fakta
sejarah.Hatta kalau ditanya pun kepada kaum bukan Melayu,umpamanya Tan
Sri Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim,beliau tidak dapat bersetuju
dengan pandangan Mat Sabu.Dari segi matlamat PKM, mungkin ada sedikit
persamaan dengan UMNO atau Pas iaitu anti penjajah British. Bukan
parti-parti itu sahaja, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan
Pemuda Insaf (API), Seberkas dan banyak lagi turut menentang British.
Tetapi matlamat sahaja tidak memadai,bagaimana pula dengan modes operandi atau cara mencapai matlamat tersebut ???
Ternyata
cara PKM tidak betul dan menyalahi norma-norma kemanusiaan yang
membunuh, mengganas, membakar dan merosak harta benda. Kalau yang PKM
bunuh itu ramai orang Inggeris boleh juga direnungkan, tetapi yang ramai
menjadi mangsa PKM ialah orang Melayu, termasuk juga sejumlah orang
Cina.Dari tahun 1948 hingga 1960 sahaja lebih kurang 12,000 askar, polis
dan homeguard telah terbunuh dalam mempertahankan negara daripada
ancaman komunis.Pendek kata kalaulah PKM memerintah negara ini, Mat Sabu
pun belum tentu dapat menjadi Timbalan Presiden Pas. Mungkin Pas pun
tak dibenarkan wujud.
Saya tidak faham perasaan orang seperti Mat
Sabu ini. Ganjil.Perkataan komunis pun kita gerun menyebutnya, tetapi
tidak kepada Mat Sabu.Saya meneliti banyak kenyataan pemimpin Pas,
termasuk juga beberapa pemimpin PKR. Saya membuat kesimpulan, sesetengah
mereka ini sangat jahil tentang sejarah Malaysia, malah jahil tentang
sejarah Melayu, sejarah Islam di Malaysia.Malah tidak ketelaluan saya
katakan sesetengah mereka juga tidak tahu adat sopan Melayu, tatasusila
Melayu dan alam Melayu.
Sebab itu kebanyakan kenyataan mereka
mengenai orang Melayu atau politik Melayu jauh menyimpang ataupun
janggal dari sudut adat resam dan sejarah Melayu, hatta ajaran Islam pun
jauh menyimpang daripada yang disepakati oleh umat Islam Melayu di
negara ini.Saya yakin dan percaya rata-rata cendekiawan Melayu daripada
pengajian Melayu jarang mahu bersetuju dengan pandangan songsang atau
"kejulingan intelektual" sesetengah pemimpin Pas mengenai Melayu dan
Islam.Kenyataan Mat Sabu yang mengatakan hero sebenar adalah anggota PKM
yang membunuh anggota polis Melayu di Bukit Kepong itu, melambangkan
beliau terdiri daripada jenis orang yang cetek pemikirannya tentang hal
Melayu di negara ini.Takkan Mat Sabu tidak faham bahawa sebelum tahun
1957,gerakan-gerakan parti politik di Tanah Melayu sememangnya anti
penjajah.
Harus
diingat PKM ingin menubuhkan republik Malaya dan tidak mahu mengiktiraf
sistem pemerintahan raja berperlembagaan. PKM juga adalah parti
perkauman yang mementingkan kepentingan orang Cina.
Apa yang
dimaksudkan hero oleh Mat Sabu ??? Dalam konteks Malaysia,seseorang itu
dianggap hero adalah orang yang berjaya melindungi raja-raja, agama
Islam dan negara. Adakah PKM buat perkara-perkara ini? Jadi, orang yang
menjadi pengganas seperti PKM tidak boleh dianggap hero atau pahlawan.
Pada
tahun 1948,apabila Persekutuan Tanah Melayu (PTM) ditubuhkan, PKM tidak
mengiktirafkan gagasan tersebut dan melancarkan pemberontakan
bersenjata menentang British sebelum 1957, juga menentang raja-raja
Melayu, termasuk menentang orang Melayu yang tidak mahu mengikut
perjuangan mereka selain berperang menentang askar Melayu, homeguard dan
polis.Kebanyakan penduduk negara ini termasuk orang Cina tidak mahu PKM
menjadi parti politik dan berada di persada pemerintah Tanah Melayu
ketika itu. Sebab itu MCA, MIC dan Gerakan ditubuhkan untuk bersaing
dengan PKM yang bersifat "ganas" itu untuk menentukan masa nasib kaum
tersebut bersama-sama dengan UMNO, MIC di bawah Perikatan dan BN hingga
ke hari ini.
Dalam buku sejarah,ada kenyataan yang mengatakan
bahawa semua parti politik di Tanah Melayu sebelum merdeka memang pun
anti penjajah, seperti Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA),PKMM,
Hisbul Muslimim,KMM,UMNO dan banyak lagi (terdapat 42 pertubuhan Melayu
yang anti-British).Malangnya hanya PKM mengambil pendirian untuk
membebaskan negara ini dengan kekerasan menentang British kerana mereka
yakin akan menang kerana mempunyai senjata yang diambil daripada tentera
Jepun.Peristiwa Bukit Kepong adalah salah satu peristiwa berdarah yang
begitu tragik dan ada banyak lagi peristiwa ganas yang dilakukan oleh
PKM, yang rata-rata bersifat ganas dan kejam.
Ahli-ahli PKM bukan
semua bertaraf warga negara di negara ini.Sebab itu,perjuangan dan
ideologi PKM tidak dapat diterima oleh rakyat kerana bertentangan dengan
banyak perkara seperti kerakyatan, agama, asal usul, bahasa, budaya,
ideologi komunis yang anti agama dan sebagainya.Jika begitu,nampaknya
Mat Sabu juga bersetuju dengan perjuangan PKM yang anti agama itu dan
menjadi pemerintah di negara ini !!!
Nampaknya
apa saja yang berkaitan dengan UMNO terus dinafikan hatta benda yang
baik sekalipun. Ini tidak adil.Dalam sejarah revolusi Amerika Syarikat
pun, parti yang memerdekakan negara itu bukan Parti Demokrat atau
Republikan tetapi Parti Federalist ketika itu (1776). Adakah Presiden
Barack Obama menafikan sumbangan Parti Federalist ??? Tidak.
Begitu
juga Presiden Sukarno yang memimpin Parti Nasional Indonesia untuk
mencapai kemerdekaan, tidak pun ahli-ahli Golkar atau pimpinan Presiden
Indonesia hari ini menafikan sumbangan Parti Nasional pimpinan Sukarno
dahulu.
Mengenai dakwaan Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman
sebagai penjajah dan pegawai British,memanglah semua pegawai Melayu yang
berkhidmat sebelum merdeka adalah di bawah kerajaan
British.Tetapi,adakah semua mereka itu ejen penjajah,atau penjajah ???
Tidak.Sama juga keadaannya mereka yang berkhidmat dengan kerajaan, ada
diantara mereka itu yang sokong Pas,tetapi adakah kita boleh kata mereka
ejen UMNO ???
Semua orang Melayu tahu Dato' Onn atau Tunku
berkhidmat dengan kerajaan kolonial British. Tetapi tidak pernah kita
dengar mereka itu penjajah British !!!
Kalau mereka tak berkerja dengan British, dari mana mereka dapat maklumat mengenai tipu muslihat British ???
Kalau
mereka tidak berusaha menyatukan rakyat di negara ini, tidak ada
kemerdekaan yang dikecapi oleh rakyat hari ini termasuk Mat Sabu yang
boleh menjadi Timbalan Presiden Pas dalam negara demokratik! Mahatma
Ghandi pun menjadi pegawai Inggeris semasa India dijajah oleh British!
Tapi adakah dia seorang penjajah British ??? Ditakdirkan Pas memerintah
negara ini,adakah Hari Kebangsaan yang dirayakan setiap 31 Ogos itu
hendak dihapuskan kerana mendakwa kemerdekaan itu UMNO punya ???
Di
sinilah kita lihat kedangkalan Mat Sabu.Dia fikir dialah yang
pandai.Kalau ya pun hendak ambil hati DAP,janganlah fakta sejarah hendak
diubah.Jangan ingat semua orang Cina itu komunis.Kalau semua orang Cina
itu komunis,tidak adalah Taiwan,Singapura atau Hong Kong.
Berhati-hatilah buat kenyataan. Jangan anggap orang Melayu ini bodoh sangat !!!
PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia.
http://badutrakyat.blogspot.com/2011/09/adakah-mat-indera-pejuang-kemerdekaan.html
No comments:
Post a Comment