KOTA
BHARU: Hukum hudud belum sesuai dilaksanakan di negara ini kerana
keadaan tidak kondusif dan tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan pihak
lain kerana tidak melaksanakan hukum itu, kata bekas Mufti Perlis, Prof
Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Katanya, jika dilaksanakan juga, ia akan menimbulkan ketidakadilan kepada semua pihak dalam masyarakat majmuk di negara ini.
"Jika
ada hukum yang ditegak atas nama Islam tetapi gagal membawa keadilan
kepada kehidupan manusia, maka ia bukan syariat yang Allah kehendaki
sekalipun dipetik dalil-dalil agama dalam mempertahankannya," katanya
kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau
ditemui selepas membentangkan kertas kerja di seminar Undang-Undang
Syariah Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Hududullah Negeri
Kelantan yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
Bagaimanapun
kata Mohd Asri, apa yang penting dan patut dilaksanakan sekarang ialah
usaha memperjuangkan untuk mewujudkan suasana itu, seperti memberi
kefahaman kepada rakyat mengenai hukum tersebut dan persediaan sebelum
undang-undang berkenaan dapat dilaksanakan.
"Keadaan
yang ada di negara kita sekarang tidak menunjukkan suasana kondusif
untuk melaksanakan hukum hudud, dan dalam konteks ini kita tidak boleh
menyalahkan sesiapa," katanya.
Dalam
kertas kerjanya bertajuk "Hudud suatu Perbincangan: Tanggapan, suasana
dan Keberkesanan", Mohd Asri berkata, hudud bukan asas kenegaraan dalam
Islam.
Sebaliknya
kata beliau, asas kenegaraan dalam Islam ialah menegakkan keadilan
untuk rakyat berasaskan prinsip al-Quran dan hadis nabi serta mencegah
perkara mungkar, iaitu perkara membawa kemudaratan dan berbahaya kepada
rakyat.
Hudud hanyalah mekanisme mengatasi jenayah dan ia dilaksanakan apabila syarat dipenuhi dan suasananya kondusif, katanya.
Beliau
berkata, kekurangan kegiatan jenayah dalam negara menurut Islam bukan
disebabkan hukumannya saja, tetapi keadilan yang merata dan kebajikan
rakyat yang dipelihara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment