Rela membujang ke akhir hayat
HATINYA teguh meski ada kala kudratnya tidak lagi kuat untuk menghadapi situasi meruncing. Dalam hidup wanita ini tidak ada yang perlu ditakutkan melainkan Tuhan yang satu.
Bagi Rita Rudaini walaupun ramai melihatnya sebagai wanita besi yang berjuang menuntut keadilan, hatinya tetap dihiris rasa sayu tatkala mengenangkan pengorbanan yang telah dilakukan demi membesarkan anak-anak.
Kegagalan dalam melayari rumah tangga bukan penamat kepada segala-galanya. Di sebalik seribu satu badai yang melanda dia mengumpul sisa-sisa kekuatan untuk terus menuntut hak seorang sebagai ibu kepada anak-anak daripada bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak.
Ada yang menganggap pengorbanan yang dilakukan oleh Rita sebagai satu perkara yang sulit namun dia enggan tunduk dengan keadaan. Baginya hak bekas isteri dan hak sebagai ibu tidak harus dipandang ringan.
"Apabila menjadi ibu tunggal sudah pasti cabarannya besar. Di rumah saya membesarkan mereka sendirian. Daripada soal memasak, memandikan... segala-gala saya lakukan sendiri tanpa pembantu rumah.
"Kalau difikirkan tugas tersebut akan jadi mudah jika ada keluarga yang lengkap. Tetapi walaupun bersendirian, saya tidak akan sesekali membuatkan anak-anak berasa kekurangan sebaliknya mereka harus menikmati zaman kanak-kanak seperti orang lain," jelas Rita meluah rasa.
Untungnya dia masih mampu mencari rezeki dan memerah keringat untuk anak-anak. Melihatkan Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, membesar di depan mata itu bakal menjadi kenangan manis yang mahu dikenang sehingga ke akhir hayat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20141005/hi_01/Rela-membujang-ke-akhir-hayat#ixzz3FMKWCUds
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment