Kecoh apabila salah seorang perwakilan Gerakan dari Johor, Tan Lai Soon berkata bukan hanya orang Cina dan India sahaja pendatang, tetapi orang Melayu juga bukan bumiputera kerana mereka berhijrah dari Indonesia.
"Kecuali penduduk asal Sabah dan Sarawak dan Orang Asli, orang lain di Malaysia adalah pendatang," kata Tan semasa Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-43.
Kenyataan itu telah menyebabkan sebahagian besar masyarakat Melayu marah akan kenyataan ini yang dianggap sebagai rasis dan bersifat perkauman.
Sehubungan itu, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong telah mengingatkan ahli dan pemimpin parti Gerakan supaya tidak lagi bercakap mengenai soal kaum atau berdepan dengan pemecatan.
"Jika sesiapa di Gerakan mengeluarkan kenyataan rasis (perkauman), kita akan ambil tindakan termasuk pecat," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar presiden pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-43 di sini.
Siew Keong juga mencadangkan parti-parti komponen Barisan Nasional untuk mengambil tindakan serupa bagi memelihara dan mengukuhkan perpaduan rakyat negara ini.
Beliau berkata, tindakan tegas itu perlu memandangkan semakin ramai ahli dan pemimpin politik menyentuh isu perkauman atau ekstremisme keterlaluan sehingga menyinggung perasaan sesetengah pihak.
Kenyataan berbaur perkauman yang keterlaluan juga menyebabkan beliau berhenti melayari internet sebelum tidur sejak tujuh bulan lalu, sedangkan ia merupakan rutin hariannya sebelum ini.
"Saya berhenti daripada melayari internet kerana saya tidak dapat tidur selepas itu. Ia bukan kerana komen negatif atau serangan peribadi ke atas saya kerana sebagai pemimpin sebuah parti politik, saya sudah biasa dengan keadaan itu.
"Namun ia disebabkan apabila saya baca blog atau Facebook, komen yang dibuat generasi muda amat rasis dan ini generasi masa depan kita," katanya sambil menambah jalan penyelesaian terbaik adalah menghentikan keadaan tidak sihat ini.