Tapi kalaulah OPS Perangkap Laju masih ada....taklah bas yang bawa adik aku pandu laju sampai terbalik, kalau tak laju pun tetapi terbalik, adik aku masih selamat atau kalau lori pasir tu tak laju dia masih sempat memperlahankan kenderaan dari melanggar adik aku yang sedang membantu pelajar-pelajar dia keluar dari bas tu...taklah sedih mengenangkan adik aku dihempap kepala lori pasir tu..taklah aku sedih tengok bomba kutip kaki adik aku..
Tahun ni..sambutan aidilfitri tanpa keriuhan mulut adik aku..Siti Hajar Mohamad..sapa-sapapun dah tak boleh mengusik dia..kalau tak..baju dia paling murah, kuih dia paling murah, semua rumah saudara mara dia yang sampai dulu...
sebenarnya ada kebaikannya OPS Perangkap laju ni...pemandu akan sentiasa berhati-hati...dapat selamatkan banyak nyawa yang tak berdosa kerana kelajuan membunuh...!!!!
Tragedi 11.11.11
Tiga
pelajar dan seorang guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Air
Merah, Kulim Kedah maut apabila bus yang mereka sewa bertembung dengan
sebuah treler yang membawa muatan pasir di Kilometer 382 Lebuh Raya
Utara Selatan (PLUS) dekat Behrang awal pagi Jumaat. Gambar mStar
GAMBAR The Star
SLIM RIVER: Empat maut dan lima cedera parah apabila sebuah treler membawa guni berisi pasir melanggar bahagian belakang bas rombongan sekolah yang berhenti di tepi jalan selepas terbabas di Km382, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang di sini awal pagi Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintenden Md Tahir Kasim berkata mereka yang maut dalam kejadian pukul 5 pagi itu ialah guru Siti Hajar Mohamad, 33, dan dua pelajar Khairul Anwar Azhan, 15, dan Maysarra Zaidi, 15, yang merupakan anggota rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Seorang lagi yang maut adalah Ketua Wanita Umno cawangan Alor Teja, Basarah Saad, 45, katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Slim River di sini, Jumaat.
Siti Hajar meninggal dunia di Hospital Slim River manakala tiga yang lain maut di tempat kejadian, katanya.
Katanya lima yang cedera parah termasuk mengalami patah yang teruk yang sebelum ini dirawat di hospital yang sama telah dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata 22 mangsa yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Slim River.
Menurutnya bas itu membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru serta seorang pemandu kedua.
Md Tahir menjelaskan Basarah adalah penumpang sebuah bas lain yang berhenti untuk membantu mengeluarkan pelajar di dalam bas yang terbabas itu sebelum nahas itu berlaku.
"Dalam usaha membantu mengeluarkan pelajar sekolah yang berada di dalam bas terbabit, secara tiba-tiba sebuah treler merempuh sebahagian belakang bas," katanya.
Katanya punca kejadian masih disiasat dan dipercayai bas itu terbabas disebabkan faktor kecuaian.
Pemandu bas berusia 25 tahun dan pemandu treler kini ditahan polis untuk siasatan manakala kedua-dua kenderaan berkenaan turut dibawa ke Balai Polis Slim River, katanya. - BERNAMA
11 Nov 2011
Mangsa sedang keluar dari bas yang terbabas sebelum dirempuh teler: Saksi
SLIM RIVER: Kebanyakan pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah sedang tidur ketika bas persiaran yang mereka naiki untuk lawatan ke Kuala Lumpur sebelum ke Genting Highlands terbabas dan terbalik di laluan kiri menuju arah selatan di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan awal pagi tadi.
Menurut saksi mereka cuba keluar dari bas terbabit sebelum treler membawa guni muatan pasir merempuh sebahagian belakang bas yang berada di atas jalan laluan lebuh raya itu.
Seorang pelajar yang berada dalam bas terbabit, Farhana Adila Ramli berkata semasa kejadian kebanyakan rakannya sedang tidur.
"Kami tidak sedar sebahagian bas telah terbalik selepas terbabas, suasana bising. Kami keluar dari bas untuk selamatkan diri masing-masing. Pada waktu itu tiba-tiba sebuah treler langgar belakang bas, kawan-kawan di bahagian belakang saya tidak tahu nasib. Saya sedar apabila berada di hospital," katanya ketika ditemui di bahagian kecemasan Hospital Slim River di sini.
Pelajar Tingkatan Tiga Mohd Shah Redzuan Samsudin yang patah di bahagian lengan berkata kebanyakan yang berada di dalam bas terbabit hanya cedera ringan apabila bas itu terbabas. - Bernama
11 Nov 2011
Tragedi 11.11.11
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tertimbus di dalam pasir.
Cebisan kaki mangsa kemalangan dikutip penyelamat.
MANGSA nahas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Slim River.
Empat termasuk dua murid maut, tujuh parah; Bas rombongan terbalik sebelum dirempuh treler pasir
SLIM RIVER: Ketika ramai memilih 11.11.11 sebagai hari istimewa semalam, 36 pelajar dan empat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, sebaliknya melalui tragedi mengerikan apabila bas rombongan yang dinaiki terbalik, sebelum dirempuh sebuah treler ketika kebanyakan mangsa merangkak untuk menyelamatkan diri, menyebabkan empat orang terkorban.
Dalam kemalangan jam 4.30 pagi di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini, dua rakan mereka Khairul Anwar Azhan dan Maysarra Zaidi, masing-masing 15 tahun, mati di tempat kejadian dengan mayat Maysarra dikesan hampir tujuh jam kemudian dalam longkang di bawah timbunan pasir dari treler yang jatuh bertaburan. Pelajar yang memperoleh 8A ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu pada mulanya dilaporkan hilang selepas usaha mengesannya di lokasi kejadian dan hospital sebelum itu gagal.
Guru mereka, Siti Hajar Mohamad, 33, dari Kota Sarang Semut, Kedah pula meninggal dunia di Hospital Slim River (HSR) dengan sebelah kakinya putus dan ditemui berdekatan mayat Maysarra.
Seorang lagi yang meninggal dunia ialah Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45 yang dirempuh ketika membantu menyelamatkan pelajar keluar daripada bas berkenaan.
Dia menaiki bas lain bersama rombongan Wanita UMNO Kedah yang dalam perjalanan menghadiri program parti di Tanjung Karang, Selangor, dan berhenti di tempat kejadian atas permintaannya sendiri untuk membantu mangsa.
Kemalangan juga menyebabkan guru mereka, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan Azriahani Ahmad, 31 tahun cedera parah. Empat pelajar, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, Mohd Azim Dahalan, Moha Faisal Anuar dan Mohammad Shariffuddin, semuanya berusia 15 tahun dan anak Azriahani, Idzmi Haikal Khairul Shah, 5 yang mengikut ibunya juga parah.
Selain itu, 22 lagi pelajar dan seorang guru cedera ringan. Semua yang cedera ringan dan cedera parah dirawat di HSR dan Hospital Teluk Intan (HTI). Mereka adalah antara 60 pelajar dan tujuh guru SMK Air Merah yang menyertai rombongan menaiki dua bas, tetapi satu lagi tidak terbabit dalam kemalangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Md Tahir Kassim, berkata mangsa yang menyertai rombongan tiga hari dua malam ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands itu, menaiki bas persiaran itu di Kulim pada jam 11.30 malam kelmarin, menuju ke ibu negara.
“Siasatan awal mendapati bas dipandu lelaki berusia 25 tahun itu terbabas ke kiri jalan lalu terbalik dalam posisi mengiring. Dalam keadaan kelam kabut pelajar dan guru menyelamatkan diri, treler membawa muatan pasir yang datang dari belakang melanggar bas berkenaan.
“Kita sudah menahan pemandu bas dan pemandu treler untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Berita Harian
12 Nov 2011
Dikubur pasir
REMUK...treler dan bas yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
SUGUL...Zaidi (dua dari kanan) melihat jenazah anaknya di tempat kejadian.
SLIM RIVER: Usaha seorang bapa, Zaidi Muhammad, 43, menjejak anaknya yang ‘ghaib’ sejurus tragedi bas sekolah dirempuh treler membawa lima tan pasir di sini, semalam, berakhir hiba apabila pelajar itu ditemui sudah meninggal dunia di bawah timbunan pasir setinggi dua meter kira-kira enam jam selepas nahas.
Maysarra Zaidi, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, antara empat yang terkorban dalam kemalangan pada jam 4.45 pagi di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Behrang, di sini.
Tiga lagi mangsa ialah rakan sekolah Maysarra, Khairul Anwar Azhan, 15, guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33, dan Ketua Wanita Umno Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45, yang cuba membantu kumpulan pelajar berkenaan selepas bas mereka terbalik.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Md Tahir Kasim, berkata Maysarra, Khairul Anwar dan Siti Hajar antara 60 pelajar dan tujuh guru yang menyertai rombongan ke ibu negara dengan menaiki dua bas, namun satu lagi bas tidak terbabit kemalangan itu.
“Basarah menaiki bas lain bersama rombongan Wanita Umno Kedah dalam perjalanan menghadiri satu program di Tanjung Karang, Selangor. “Bas itu berhenti di tempat kejadian atas permintaan Basarah yang mahu menghulurkan bantuan, namun dia yang juga ibu tunggal tiga anak menemui ajal apabila dirempuh treler terbabit,” katanya.
Sementara itu, kehilangan Maysarra bermula apabila ayah dan abangnya, Faiz Zaidi, 16, yang bergegas dari rumah mereka di Taman Angsana, Kulim, gagal mengesan pelajar itu di Hospital Slim River (HSR) Zaidi yang juga juruteknik di sebuah institut kemahiran di Kulim dan Faiz hampa serta kebingungan apabila mendapati nama Maysarra tiada dalam senarai mangsa cedera atau terkorban.
Berikutan itu, dua beranak berkenaan ke lokasi kejadian untuk mencari jawapan kehilangan anaknya. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, baru mereka dimaklumkan mayat Maysarra ditemui di bawah timbunan pasir pada jam 10.45 pagi semalam.
Difahamkan, sebelum itu anggota penyelamat tidak menyedari ada mangsa tertimbus di bawah timbunan pasir di situ serta menyangka semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera sudah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Ketika ditemui wartawan di HSR selepas itu, Zaidi yang ditemani isterinya, Mazylina Abdullah, 35, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kematian anaknya, sebaliknya hanya menitiskan air mata.
Namun, Faiz memberitahu adiknya harapan keluarga kerana memperoleh 8A dalam ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini. “Dia sangat rajin belajar, malah antara pelajar harapan di sekolahnya untuk mencapai keputusan cemerlang dalam PMR tahun ini,” katanya.
Faiz berkata, tiada perubahan ketara dilihat pada adiknya sebelum ini, malah arwah kelihatan tidak sabar untuk mengikuti rombongan berkenaan. “Ini rombongan kedua arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik HSR di sini, semalam.
Jenazah Maysarra dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Teja, Alor Setar, Kedah.
myMetro
12 Nov 2011
Tertimbus 20 minit
SLIM RIVER: “Saya hampir mati lemas apabila seluruh tubuh ditimpa pasir sejurus treler yang melanggar bas kami naiki terbalik. Ketika itu saya hanya memikirkan akan mati sambil teringatkan wajah ibu.”
Demikian kata Farhana Nabila Rosidi, 15, yang ibarat mati hidup semula selepas bas dinaikinya terbalik sebelum dirempuh treler membawa pasir di Kilometer Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, di sini, jam 4.45 pagi semalam, mengakibatkan empat terbunuh.
Farhana berkata, selepas bas dinaikinya terbalik, dia cuba keluar namun tidak sempat kerana ditimbus pasir yang dibawa treler yang merempuh bas.
“Saya hanya mampu menjerit meminta tolong sambil cuba keluar dari timbunan pasir yang menenggelamkan hampir seluruh tubuh. Namun saya tidak berdaya dan hampir lemas akibat ditimbus pasir.
“Ketika itu keadaan amat kelam-kabut, namun mujur beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tiba ke lokasi kejadian nampak saya dan terus menggali timbunan pasir.
“Saya ditarik keluar oleh dua anggota JPAM. Walaupun masih dalam keadaan lemah namun saya bersyukur kerana terselamat dan hanya terseliuh tumit kaki dan calar di pipi,” katanya ketika ditemui wartawan di luar wad kecemasan Hospital Slim River (HSR) semalam.
Menurutnya, sebelum rempuhan lori itu berlaku, dia sempat mendengar jeritan amaran supaya semua pelajar melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Bagaimanapun saya tergamam dan tidak sempat mengelak sebelum ditimbus pasir berkenaan. Saya terkambus hampir 20 minit,” katanya.
Sementara itu dua anggota JPAM yang menyelamatkan mangsa, Hisarizul Abdullah dan Nurizam Md Said bersyukur kerana dapat menarik keluar mangsa.
myMetro
12 Nov 2011
Empat maut pada tarikh 11.11.11
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam timbunan pasir.
SLIM RIVER – Tarikh 11.11.11 yang ditunggu ramai orang bagi melaksanakan sesuatu perkara penting dalam hidup memberi makna sebaliknya kepada empat mangsa yang terbunuh di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan yang terletak 100 meter dari hentian sebelah Behrang dekat sini semalam.
Tragedi pukul 4.30 pagi itu amat tragis kerana tiga daripada mangsa yang terbunuh merupakan penumpang bas membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru bercuti di Genting Highlands, Pahang. Mereka sebelum itu terselamat selepas bas terbalik.
Namun kira-kira 10 minit selepas semua peserta rombongan itu keluar dari bas yang terbalik, sebuah treler membawa guni pasir pula melanggar bahagian belakang bas tersebut yang berada di lorong paling kiri sebelum treler itu menyondol kumpulan rombongan yang berada di luar bas.
Akibat rempuhan itu, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Merah, Kulim, Kedah, Khairul Anwar Azhan, 15, serta Maysarra Zaidi, 15, dan guru pengiring, Siti Hajar Mohamad, 33, terbunuh.
Seorang lagi yang maut ialah Ketua Wanita UMNO Cawangan Alor Teja, Basarah Saad, 45.
Basarah bukan peserta rombongan pelajar sekolah itu tetapi dia menyertai rombongan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar yang menaiki sebuah bas lain yang berhenti kira-kira 10 meter dari bas yang terbalik semata-mata untuk memberi bantuan kepada mangsa bas terbalik itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, Khairul Anwar, Maysarra dan Basarah maut di tempat kejadian manakala Siti Hajar mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River (HSR).
Menurut beliau, tujuh penumpang bas rombongan pelajar itu cedera parah. Mereka yang cedera parah dihantar ke HSR dan Hospital Teluk Intan.
Kosmo
12 Nov 2011
'Rakan maut depan saya'
SLIM RIVER - Seorang mangsa kemalangan tidak dapat melupakan detik melihat sahabat baiknya terbunuh selepas terpelanting akibat disondol sebuah treler membawa muatan guni pasir ketika rakan itu hendak membantu menyelamatkan dirinya.
Nur Husna Ahmad, 15, berkata, dia tidak menyangka tindakan rakan sebayanya itu, Khairul Anwar Azhan rupa-rupanya pertolongan terakhir yang akan diingati sampai bila-bila.
Mengimbau semula kejadian itu, cerita Nur Husna, sebaik bas yang dinaiki terbabas dan terbalik, Khairul Anwar telah selamat dan berada agak jauh dari bas tersebut tetapi rakannya itu berpatah semula ke kawasan berhampiran bas itu demi membantu menyelamatkannya.
"Saya amat sedih apabila mengingati tindakan Khairul Anwar kerana dia sepatutnya tidak terkorban.
"Sebelum itu arwah sudah berjalan jauh ke tepi jalan, dia sudah selamat tetapi dia patah balik untuk tarik saya keluar dari bas terbalik. Dia suruh saya ke tepi tetapi apa yang berlaku, dia pula yang menjadi korban," katanya.
Nur Husna berkata, semua peserta rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Merah, Kulim berjaya keluar dari bas yang terbalik melalui cermin depan yang dipecahkan.
"Seorang demi seorang merangkak keluar dan saya antara terakhir kerana mengalami kecederaan kaki," kata gadis itu yang menggambarkan suasana semasa itu kecoh dan cemas kerana mereka ketakutan.
Kosmo
12 Nov 2011
Empat maut, 5 parah dalam tragedi
SLIM RIVER 11 Nov. – Empat maut manakala 36 lagi cedera termasuk lima parah dalam nahas ngeri yang menjadi tragedi menyayat hati apabila sebuah bas membawa 39 penumpang terbalik sebelum dirempuh sebuah treler di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Behrang, Perak hari ini.
Dalam kemalangan pukul 4.20 pagi itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh sederhana, beberapa meter dari tempat kejadian lalu terbalik di bahu jalan.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, sebuah treler yang sarat dengan muatan guni pasir merempuh bas berkenaan dari arah belakang ketika kebanyakan mangsa sedang merangkak keluar menyelamatkan diri.
Nahas berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah untuk bercuti di Genting Highlands, kira-kira 87 kilometer dari tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, keempat-empat mangsa maut akibat dirempuh ketika cuba menyelamatkan pelajar yang tersepit selepas bas berkenaan terbalik.
“Bas tersebut yang membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru serta seorang pemandu kedua, hilang kawalan lalu terbalik sebelum dirempuh oleh treler berkenaan.
“Bagaimanapun, kita masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya, di sini hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan insiden itu berpunca akibat kecuaian.
Mereka yang terbunuh ialah seorang guru, Siti Hajar Mohamad, 33, serta dua pelajarnya, Khairul Anwar Azhan dan Maysarra Zaidi, kedua-duanya berusia 15 tahun.
Tragedi menyayat hati itu turut mengorbankan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad yang kebetulan berhenti di tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan pelajar yang tersepit sejurus bas tersebut terbalik.
Difahamkan, Basarah, 45, sebelum itu dalam perjalanan bersama sebuah lagi bas persiaran membawa rombongan ahli Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Kedah ke program Titian Ilmu di Tanjung Karang, Selangor.
Mayat Maysarra dijumpai pada pukul 10.45 pagi dalam timbunan pasir ketika pasukan penyelamat sedang mencari kaki seorang lagi mangsa yang terputus dalam nahas itu.
Md. Tahir memberitahu, Siti Hajar meninggal dunia di Hospital Slim River, di sini, manakala tiga yang lain maut di tempat kejadian dan dua guru serta tiga pelajar yang parah dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kelima-lima mereka kini dilaporkan kritikal ekoran kecederaan serius termasuk patah anggota badan.
Beliau berkata, pemandu bas yang berusia 25 tahun serta pemandu treler kini ditahan bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua kenderaan dibawa ke Balai Polis Slim River untuk siasatan dan kita minta saksi atau orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil memberi keterangan,” ujarnya.
Utusan
12 Nov 2011
Mangsa cerita detik-detik cemas
SLIM RIVER 11 Nov. - Beberapa mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut di Behrang awal pagi ini, menceritakan detik-detik cemas dan ngeri apabila sebuah treler muatan pasir merempuh bas persiaran mereka yang terbalik.
Ketika kejadian, kebanyakan mangsa yang merupakan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah sedang merangkak keluar dengan sebahagian besarnya mengalami kecederaan.
Dalam suasana gelap dan riuh rendah, beberapa mangsa menjerit 'lari, lari' ketika melihat treler berkenaan menghampiri bas sebelum merempuh belakang kenderaan itu.
Seorang mangsa, Mohd. Shah Redzuan Samsudin, 15, berkata, dia masih terbayang saat-saat pilu melihat rakan karibnya, Khairul Anwar Azhan maut akibat tersepit di belakang bas ekoran rempuhan treler berkenaan.
"Khairul Anwar sedang membantu rakan-rakan lain keluar dari belakang bas sebelum rempuhan treler menyebabkan dia mati tersepit. Saya tidak sempat memintanya lari kerana kejadian berlaku terlalu pantas," katanya yang patah lengan kiri.
Selain Khairul Anwar, turut terbunuh dalam kejadian itu ialah guru mereka, Siti Hajar Mohamad, 33, pelajar perempuan, Maysarra Zaidi, 15 dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45, yang kebetulan berhenti di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa terselamat, Farhana Nabilah Rosidi (gambar), 15, pula memberitahu, pada satu ketika dia sudah berjaya keluar dari bas itu tetapi tiba-tiba terpelanting dan mendapati badannya tertimbus dalam pasir yang bertaburan di lebuh raya.
"Tidak lama kemudian, seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tolong tarik saya keluar dari timbunan pasir itu," katanya ketika ditemui di Hospital Slim River di sini hari ini.
Sementara itu, seorang anggota JPAM, Hisharizul Abdullah, 30, berkata, dia yang tiba di tempat kejadian pukul 4.45 pagi mendapati, semua penumpang bas terbaring di tepi lebuh raya dan ada yang tertimbus di dalam pasir.
"Saya kemudian menarik keluar seorang budak perempuan yang tertimbus dalam pasir. Di hadapan budak itu, saya lihat ada seorang penumpang lagi yang terbaring dan saya mendapati dia sudah mati selepas memeriksa denyutan nadinya.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, 59, yang kebetulan singgah di tempat kejadian bersama Basarah memberitahu, dia sempat melihat pelajar-pelajar terbabit merangkak keluar sebelum bas itu dirempuh treler berkenaan.
Katanya, ketika kejadian, dia dan rombongan UMNO bahagian tersebut dalam perjalanan ke Selangor sebelum berhenti memberi bantuan kerana kasihan melihat keadaan pelajar terbabit.
"Selepas berjaya mengeluarkan dua pelajar dan cuba mengeluarkan mangsa ketiga, pemandu bas bertempiaran lari selepas melihat sebuah treler datang ke arah mereka dan merempuh bas itu.
"Bimbang berlaku letupan, pemandu itu pergi ke bas dan meneruskan perjalanan sejauh kira-kira satu kilometer sebelum menyedari kehilangan Basarah," katanya.
Katanya, pihaknya hanya mengetahui Basarah terbunuh selepas dimaklumkan oleh seorang pegawai polis trafik pagi ini.
Utusan
12 Nov 2011
Empat maut, lima parah treler rempuh bas rombongan sekolah
SLIM RIVER - Empat maut, tujuh cedera parah manakala 22 cedera ringan apabila sebuah bas membawa rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah terbabas dirempuh sebuah treler di Kilometer (KM) 382 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River, awal pagi tadi.
Mereka yang maut dikenali sebagai Maysara Zaidi, 15, Khairul Anwar Azhan,15, Siti Hajar Mohammed, 33, merupakan pelajar dan guru manakala seorang orang awam, Basarah Saad, 45.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Md Tahir Kasim berkata, kejadian kira-kira jam 5 pagi melibatkan sebuah bas persiaran membawa 36 pelajar, tiga guru dari Kulim, Kedah ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila bas persiaran itu dipercayai terbabas lalu melintang jalan di lorong sebelah kiri lebuh raya.
Katanya, ketika usaha-usaha menyelamatkan pelajar dan guru dilakukan orang awam, sebuah treler membawa muatan pasir dari arah sama merempuh di bahagian sisi bas menyebabkan kenderaan tersebut terbalik.
“Keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah serta lemas di bawah timbunan guni pasir,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Slim River, di sini semalam.
Md Tahir berkata, kemalangan itu mengakibatkan tujuh penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan parah dan di rawat di wad Hospital Slim River dan sebahagian di hantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa cedera parah dikenali sebagai Mohd Azim Dahlan, 15, Mohd Faisal Anuar, 15, Mohammad Sariffuddin, 15, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, 15, Rosilawati Mat Rifim, 40, Azriah Hani, 31 dan anak Azriah, Izdi Haikal Khairul Shah, lima tahun.
“Rosilawati, Izdi Haikal dan Abdul Rahman Danial dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan selebihnya di wad Hospital Slim River. Manakala 22 mangsa yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Slim River," katanya.
Md Tahir berkata, Basarah adalah penumpang sebuah bas lain yang berhenti untuk membantu mengeluarkan pelajar di dalam bas yang terbabas itu sebelum nahas itu berlaku dan punca kejadian masih disiasat dan dipercayai bas itu terbabas disebabkan faktor kecuaian.
Pemandu bas berusia 25 tahun dan pemandu treler kini ditahan polis untuk siasatan manakala kedua-dua kenderaan berkenaan turut dibawa ke Balai Polis Slim River, katanya.
Sinar Harian
12 Nov 2011
Abang terkilan
SLIM RIVER: “Saya hanya sempat memberi adik wang saku RM50. Saya tidak sangka ia ‘hadiah’ terakhir saya kepadanya,” kata Zuhairi Azahan, 21, selepas mengetahui adik lelakinya, Khairul Anwar Azhan, 15, maut dalam kemalangan bas persiaran itu.
Menurutnya, dia terkilan kerana tidak dapat menghantar adiknya menaiki bas persiaran terbabit malam kelmarin berikutan bekerja di pasar raya berhampiran Kulim, Kedah.
“Saya berat untuk melepaskannya bagi mengikuti rombongan sekolah berkenaan ke Kuala Lumpur. Namun dia beriya-iya mahu mengikuti rombongan itu.
“Hajatnya itu sudah disampaikan kepada keluarga sejak hampir sebulan lalu dan saya tidak sampai hati apabila melihat dia beriya-iya mahu mengikuti rombongan berkenaan,” katanya ketika ditemui di luar bilik mayat Hospital Slim River, semalam.
Menurutnya, Khairul yang juga anak kelima dari tujuh beradik cedera serius pada anggota tubuh dan kepala mengakibatkan kematiannya.
Difahamkan ayah mangsa, Azhan Mohd Din, 40-an, Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Stesen Penguatkuasa Valdor, Pulau Pinang.
myMetro
12 Nov 2011
Arwah gelisah
SLIM RIVER: “Arwah bukan sahaja kelihatan gelisah malah sukar untuk tidur. Sepanjang perjalanan arwah menghabiskan masa berbual dengan pemandu bas,” kata Rafeah Sulaiman, 42, rakan arwah Basarah Saad, 45, yang maut dirempuh lori treler ketika cuba menyelamatkan kumpulan pelajar sekolah, awal pagi semalam.
Basarah yang juga Ketua Wanita Umno Cawangan Alur Teja, Alor Setar, Kedah adalah antara 36 ahli rombongan yang menaiki dua bas lain dalam perjalanan menuju ke Tanjung Karang, Selangor bagi menghadiri program Titian Ilmu.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan rombongan bas dinaiki mangsa terserempak dengan sebuah bas membawa pelajar sekolah yang terbalik menyebabkan arwah bersama pemandu bas bergegas turun menyelamatkan semua mangsa.
Malang menimpa apabila arwah dirempuh sebuah lori treler sebelum tercampak ketika cubaannya menyelamatkan mangsa yang tersepit.
Rafeah berkata, dia sempat mendengar bunyi dentuman kuat dipercayai rempuhan kuat lori treler ke atas bas berkenaan namun, tidak menyangka rempuhan itu turut meragut nyawa arwah. “Kami tidak perasan bila dia keluar dari bas sebelum menyedari kehilangannya sebaik bas kami naiki bertolak.
“Selepas rempuhan itu, kami cuba menelefon arwah namun, panggilan tidak dijawab menyebabkan kami turun dari bas untuk memeriksa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Slim River (HSR) di sini, semalam.
Katanya, dia bersama rombongan lain terkejut apabila melihat arwah tercampak di tepi jalan berhampiran longkang dalam keadaan parah dan maut di lokasi kejadian.
Pada masa sama, Ketua Penerangan wanita Umno Alor Setar, Kedah, Norli Ismail, 40, berkata, arwah Basarah disifatkan sebagai ‘wira’ kerana sanggup menyabung nyawa bagi menyelamatkan pelajar sekolah yang terbabit kemalangan itu.
Menurutnya, dia tidak menyangka Basarah juga ibu tunggal sanggup mempertaruhkan nyawa menyelamatkan pelajar sekolah yang merangkak keluar dari bas. “Kami tidak sedar Basarah turun dari bas dan pergi ke tempat kejadian membantu mengeluarkan pelajar sekolah. Saya hanya menyedari kehilangannya kira-kira satu kilometer selepas bas bergerak,” katanya.
Menurutnya, mereka mencari Basarah di tempat kejadian dan terkejut mendapati tubuh mangsa terbujur kaku berhampiran bas membawa pelajar sekolah itu.
“Ketika itu baru kami tahu Basarah turun dari bas untuk membantu mangsa. Apa dilakukannya satu pengorbanan dan tindakan berani.
“Tubuh jenazah hanya mengalami luka kecil selain kecederaan di kaki. Saya sedih mengenangkan nasib tiga anaknya yang berada di kampung,” katanya.
Sementara itu jenazah mangsa dihantar pulang ke kampung Alor Teja, Alor setar untuk dikebumikan Sementara itu, suami seorang guru terkorban, Siti Hajar Mohamed, 33, Mohd Saruzi Ghazali, 33, tidak menyangka arwah isterinya maut pada hari yang sama iaitu Jumaat, sama seperti adik iparnya, Mohd Fazli Mohamed yang maut akibat kemalangan jalan raya di lebuh raya sama berdekatan Tapah pada Februari tahun lalu.
myMetro
12 Nov 2011
‘Emak sempat beri RM20’
ALOR SETAR: “Emak sempat memberi wang RM20 untuk digunakan kami sebelum menaiki bas, tetapi tidak sangka pula ia pemberian terakhirnya apabila pergi buat selama-lamanya selepas terbabit dalam kemalangan.”
Begitu kata Muhammad Iqmal Roslan, 16, anak sulung daripada tiga beradik yang kini bergelar yatim piatu selepas ibu mereka, Basarah Saad, 45, maut dalam kemalangan di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Behrang, Perak, awal pagi semalam.
Ketiga-tiga beradik itu kehilangan bapa mereka, Roslan Bukhari akibat penyakit buah pinggang lima tahun lalu.
Muhammad Iqmal berkata, dia bersama dua adiknya, Muhammad Kamil Rizwan, 14, dan Muhammad Kamil Razwan, 13, menghantar ibu mereka dengan menaiki kereta dipandu sepupu ke tempat berkumpul di Mergong, dekat sini, kira-kira jam 8 malam.
Menurutnya, dia bersama adiknya sempat bersalam dan memeluk ibu mereka dan berada di kawasan itu selama 10 minit sebelum disuruh pulang ke rumah di Kampung Alur Teja, Tajar kerana sudah malam.
myMetro
12 Nov 2011
‘Cepat keluar!’
TELUK INTAN: “Sejurus bas yang kami naiki terbalik merintangi lebuh raya, saya cepat-cepat mengarahkan pelajar keluar segera dari dalam bas, namun tergamam apabila bas kami dirempuh sebuah kenderaan lain dari arah belakang,” kata guru, Rosilawati Mat Riffin, 40.
Rosilawati adalah antara tujuh penumpang bas persiaran sewa khas dinaiki rombongan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah yang terbalik serta meragut empat nyawa dalam nahas awal di Kilometer 382 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan, di sini.
Guru berkenaan kini dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) kerana mengalami patah kaki kanan dan bahu kiri bersama beberapa pelajar lain termasuk seorang guru.
Menceritakan detik cemas itu, Rosilawati berkata, dia terjaga daripada tidur selepas bas dinaiki terbalik sebelum mengarahkan pelajar keluar segera dari bas.
“Bagaimanapun belum sempat pelajar keluar dari bas, tiba-tiba sebuah lori meluru datang sebelum melanggar bas kami mengakibat saya terpelanting dan pengsan.
“Ketika kejadian, saya sedang duduk di barisan kedua hadapan bas manakala, arwah Siti Hajar berada di barisan tempat duduk belakang saya,” katanya ketika ditemui di HTI di sini semalam.
Katanya, sejurus bas terbalik, dia dipimpin beberapa pelajar dan guru keluar dari bas itu.
Rosilawati berkata, dia juga sempat melihat arwah Siti Hajar membantu mengeluarkan saki baki penumpang yang terperangkap dalam bas namun, tidak menyedari bila arwah masuk semula ke dalam bas itu.
“Saya dan arwah (Siti Hajar) asyik berbual sejak bas mula bertolak dari Kulim malah, arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi pernah memberitahu saya mahu membeli- belah di Kuala Lumpur,” katanya.
Suami Rosilawati, Sarikhuddin Mahmood, 46, berkata, dia pada mulanya tidak setuju melepaskan isterinya mengikuti rombongan itu dengan menaiki bas kerana bimbang mengenai laporan kekerapan nahas membabitkan kenderaan itu akhir-akhir ni.
“Saya akhirnya mengalah dan terpaksa membenarkan dia pergi. Saya bersyukur kerana isteri tidak mengalami kecederaan parah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa cedera, Idzny Haikal Khairul Shah, 5, yang juga anak kepada guru SMK Air Merah, Azriahani Ahmad, 31, patah kaki kanan dan keadaannya kini stabil.
Bapa kanak-kanak itu, Khairol Shah Othman, 31, pensyarah di Politeknik Tuanku Sultanah Bahihah, Kulim, berkata, anaknya masih lagi trauma dan sering menangis selepas kejadian itu.
“Saya menerima panggilan daripada isteri kira-kira jam 5.15 pagi yang memaklumkan kejadian itu. Dia memaklumkan hanya mengalami cedera ringan manakala, Idzny mengalami patah kaki,” katanya.
myMetro
12 Nov 2011
Hasrat makan mi kuah daging korban tak tercapai
TASEK GELUGOR: “Pada Aidiladha lalu, arwah ada minta ibunya memasak mi kuah hasil daging korban yang diterima tetapi ibunya berjanji akan memasaknya selepas arwah pulang dari rombongan ke Kuala Lumpur,” kata bapa saudara Maysarra Zaidi, 15, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, pagi semalam.
Mazly Abdullah, 37, berkata, anak saudaranya itu teringin menikmati mee kuah ketika mereka sekeluarga bersama saudara mara berkumpul di rumah bapanya di Kampung Padang Menora, di sini, sempena sambutan Aidiladha, minggu lalu.
“Pada masa itu Maysarra bersungguh-sungguh meminta ibunya yang juga kakak saya memasak mee kuah namun tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan itu.
“Saya sedih dan terkejut apabila menerima panggilan daripada ahli keluarga di Kulim kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Menora, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, sekumpulan 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terbabit dalam kemalangan menyebabkan empat maut dan lima parah.
Mangsa yang maut ialah Ketua Wanita Umno cawangan Alor Teja, Kedah, Basarah Saad, 45; guru, Siti Hajar Mohamed, 33, dan dua pelajar, Khairul Anwar Azhan, 15, serta Maysarra.
myMetro
12 Nov 2011
Telefon suami sejurus nahas
ALOR SETAR: “Kali terakhir kami berjumpa dengan arwah pada Aidiladha lalu sebelum mengetahui dia terbabit dalam kemalangan (semalam),” kata Jaafar Ali, 63, bapa saudara kepada guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Siti Hajar Mohamad.
Siti Hajar, 33, adalah antara empat mangsa yang maut selepas sebuah treler membawa guni berisi pasir melanggar bahagian belakang bas yang berhenti akibat terbabas di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, di sini.
Jaafar berkata, dia juga hanya mengetahui anak saudaranya itu terbabit dalam nahas berkenaan selepas dimaklumkan pihak sekolah tempat mengajar Siti Hajar kira-kira jam 7.30 pagi.
Katanya, dalam kunjungan pada petang Aidiladha lalu, mangsa tidak memaklumkan kepadanya untuk menyertai rombongan sekolah ke Kuala Lumpur.
“Dia datang seperti biasa ke rumah ini tanpa menunjukkan perubahan, malah bersikap peramah seperti biasa.
“Tapi apabila mengetahui dia maut dalam kemalangan, memang saya dan ahli keluarga lain terkejut memandangkan mangsa sering singgah ke rumah jika mempunyai urusan di Alor Setar,” katanya yang ditemui di Kampung Seberang Pekan, Kota Sarang Semut, di sini.
Difahamkan, mangsa yang juga anak ketiga daripada enam beradik sempat menghubungi suaminya di Kulim ketika kemalangan menimpa bas dinaiknya, tetapi panggilan tidak dijawab.
Mangsa yang mengajar mata pelajaran Ekonomi Asas baru setahun mengajar di sekolah berkenaan.
Sementara itu, sepupunya, Rozaidi Jaafar, 36, berkata, arwah sangat rapat dengan isterinya memandangkan rumah mereka yang terletak berhampiran di Kulim.
Menurutnya, dia juga hanya sempat bertemu mangsa pada Aidiladha lalu ketika berkunjung ke rumah bapa saudara di Kota Sarang Semut.
Katanya, dia hanya mengetahui kemalangan terbabit daripada pihak sekolah yang memaklumkan rombongan itu menaiki bas bertolak ke Kuala Lumpur sebelum terbabas.
“Kemalangan itu adalah yang kedua berlaku dalam keluarga mereka selepas adik mangsa yang juga anak keempat maut dalam kemalangan jalan raya di Tapah, Perak pada tahun lalu.
“Saya tetap bersyukur kerana anak lelaki mangsa yang turut menyertai rombongan itu terselamat daripada nahas,” katanya.
Jenazah Siti Hajar yang dituntut suaminya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kubang Siam, Alor Janggus, di sini.
Arwah turut meninggalkan dua anak iaitu Mohd Izhafi Mohd Fahrozi, 6, dan Zaralisa Mohd Fahrozi, dua tahun.
myMetro
12 Nov 2011
Maysarra mangsa nahas, antara pelajar cemerlang
KULIM 12 Nov. - "Saya reda dengan ketentuan ini tetapi hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana hancurnya hati apabila kehilangan anak," kata Mazlina Abdullah, ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam tragedi ngeri bas rombongan dirempuh treler di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Behrang, Perak, semalam.
Mazlina berkata, apa yang memilukan adalah anak bongsunya itu, Maysarra Zaidi, 15, merupakan seorang pelajar yang pintar dan bercita-cita untuk menjadi doktor.
Mazlina, 37, seorang suri rumah memberitahu, dia masih teringat suara anaknya bergurau-senda sebelum menyertai rombongan sekolah ke ibu negara, malam kelmarin.
"Dia memang budak yang rajin belajar dan sering mendapat keputusan cemerlang. Malah, baru-baru ini pun dia dapat 8A dalam peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Maysarra memang menanam impian sejak kecil untuk menjadi doktor. Dia sudah membuat persiapan hendak masuk kelas Sains. Namun, segala hasratnya tidak menjadi kenyataan kerana dia sudah tiada," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Angsana di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi semalam, empat maut manakala 36 lagi cedera, termasuk lima parah dalam nahas ngeri yang menjadi tragedi menyayat hati apabila sebuah bas membawa 39 penumpang terbalik sebelum dirempuh sebuah treler muatan pasir.
Nahas berlaku ketika bas itu dalam perjalanan membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah untuk bercuti ke Genting Highlands.
Sementara itu, bapa Maysarra, Zaidi Mohamad, 43, berkata, sebelum kejadian, anak bongsunya itu tidak menunjukkan sebarang kelainan.
Utusan
13 Nov 2011
5 mangsa parah makin stabil
IPOH 12 Nov. - Lima mangsa yang parah dalam nahas bas dan sebuah treler di Kilometer 382.1, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Behrang, semalam masih menerima rawatan rapi di hospital, namun keadaan mereka semakin stabil.
Tiga daripada mangsa, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan anaknya, Idzni Haikal Khairul Shah, 5, serta Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, 15, sedang dirawat di Hospital Teluk Intan.
Dua lagi mangsa, Mohammad Sariffuddin, 15, dan Mohd. Azim Dahlan, 15, menerima rawatan di Hospital Slim River.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, dua mangsa yang cedera ringan dalam kemalangan itu telah dibenarkan keluar dari hospital pagi ini.
Mereka ialah Mohd. Faizal Anuar, 15, yang keluar dari hospital pukul 10 pagi dan Azriah Hani Ahmad, 31, pada pukul 11.30 pagi.
"Setakat ini, kita sudah mendapatkan beberapa keterangan daripada mangsa. Selebihnya (yang parah) kita akan dapatkan kemudian," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Utusan
13 Nov 2011
‘Saya terhumban, tersepit depan bas’
SLIM RIVER: “Selepas bas terbalik, saya nampak Khairul Anwar Azran membantu rakan lain keluar dari bas apabila tiba-tiba bas dilanggar dengan kuat menyebabkan saya terhumban dan kaki tersepit di depan bas lalu tidak boleh bergerak lagi sehingga bomba tiba,” kata Mohd Azim Dahalan, 15, rakan karib Khairul yang maut dalam kemalangan membabitkan bas dan treler di kilometer 382 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini, kelmarin.
Mohd Azim berkata, ketika kejadian beliau duduk di bangku keempat dari belakang di sebelah kanan bas dan sedang nyenyak tidur kerana keletihan sebelum mendengar bunyi letupan kuat seperti tayar bas pecah dan bas terus terbalik.
“Saya tercampak ke depan bas serta cuba bangun keluar walaupun terasa pening dan ketika mahu keluar tiba-tiba dilanggar dengan kuat menyebabkan kaki pula tersepit.
“Saya tidak boleh bergerak dan tangan kiri rasa sakit serta cuba melihat di dalam bas mencari Khairul tetapi tidak melihat kelibatnya sehingga mendapat tahu dia sudah terbunuh,” katanya hiba ketika ditemui di Wad Sembilan, Hospital Slim River (HSR) di sini, semalam.
Mohd Azim yang patah tangan kiri berkata, rakan sekelasnya itu seorang yang peramah tetapi tiba-tiba menjadi pendiam sepanjang perjalanan dari Kedah dan beliau merasa amat kehilangan rakannya itu walaupun bersyukur terselamat.
Sementara itu, seorang lagi rakannya, Mohamad Shariffuddin Johari, 15, yang juga patah tangan kiri merasa trauma dan serik untuk menaiki bas lagi pada masa akan datang.
"Saya harap ini adalah pengalaman terakhir menaiki bas kerana sudah tidak dapat jumpa lagi dua rakan dan guru saya selama-lamanya," katanya.
Mohamad Shariffuddin berkata, ketika kejadian beliau terhumban ke depan bas sehingga kepalanya menjadi pening tetapi masih dapat mendengar suara guru menyuruh mereka segera keluar dari bas sebelum pengsan dan hanya sedar selepas berada di HSR.
Bapanya, Johari Saat, 58, berkata beliau menerima panggilan dari rakan anaknya kira-kira jam 6 pagi dan apabila tiba di HSR kira-kira jam 4 petang mendapati anaknya sudah terlantar di hospital.
Selain Khairul, kemalangan kira-kira jam 4.30 pagi itu turut meragut nyawa Maysarra Zaidi, 15, dan guru, Siti Hajar Mohamad, 33, serta Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saat, 45.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila bas yang dinaiki pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, terbabas ke kiri jalan lalu terbalik ke posisi mengiring dan dalam keadaan kelam kabut pelajar dan guru cuba menyelamatkan diri tetapi treler yang membawa muatan pasir yang datang dari arah belakang merempuh bas berkenaan.
Sementara itu, seorang guru, Azriahani Ahmad, 31, dan pelajar, Mohd Faisal Anuar, 15, yang dirawat di HSR sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi semalam.
Di Hospital Teluk Intan (HTI) pula, guru Rosilawati Mat Riffin, 40 dan anaknya Idzmi Haikal Khairul Shah, 5, serta pelajar Abdul Rahman Daniel Abdul Ghani,15, dilaporkan dalam keadaan stabil.
Jurucakap HTI, berkata Idzmi Haikal menjalani pembedahan pada jam 8 pagi semalam manakala Abdul Rahman Daniel pada jam 11.30 pagi dan mereka dijangka boleh dibenarkan pulang dalam tempoh dua tiga hari ini manakala Rosilawati yang cedera parah di lima anggota badan, bakal menjalani pembedahan esok, dan mungkin terpaksa tinggal di dalam wad dalam tempoh lebih lama.
Mazylina berkata, jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Menora, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang.
Selain Maysarra seorang lagi rakannya, Khairul Anwar Azhan, 15; guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33; dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45, maut dalam kejadian jam 4.45 pagi itu.
Berita Harian
13 Nov 2011
Kemalangan Maut Di Slim River: Pelajar, Guru Dilindungi Insurans
KULIM: Dua pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang di Slim River awal pagi Jumaat, dilindungi insurans.
Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu Abu Bakar Md Ali berkata pihak Jabatan Pelajaran akan menguruskan tuntutan insurans untuk keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.
"Pihak jabatan akan menguruskan berhubung dengan pampasan yang layak diperoleh oleh keluarga yang kematian anggota keluarga mereka dalam kemalangan tersebut, dan juga mereka yang tercedera dan sebagainya," katanya ketika dihubungi semasa berada di Hospital Teluk Intan untuk melawat pelajar dan guru yang dirawat di hospital itu.
Dalam insiden pukul 5 pagi itu, empat maut manakala lima cedera parah apabila sebuah treler membawa guni berisi pasir melanggar bahagian belakang bas rombongan sekolah yang berhenti di tepi jalan selepas terbabas.
Mereka yang maut ialah guru Siti Hajar Mohamad, 33, serta dua pelajar Khairul Anwar Azhan, 15, dan Maysarra Zaidi, 15, yang mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur. Turut maut ialah Ketua Wanita Umno cawangan Alor Teja, Basarah Saad, 45, yang berhenti di tempat kejadian kerana ingin membantu mengeluarkan pelajar dari bas yang terbalik itu.
Sementara itu, Zaidi Mohammad, 43, berkata Maysarra seorang anak yang baik dan merupakan pelajar pintar dalam kelasnya.
"Apakan daya Allah lebih menyayanginya dan saya reda dengan ketentuan itu, tetapi amat pedih rasa yang saya tanggung ini," katanya ketika ditemui di rumah di Taman Angsana pada Sabtu.
Zaidi, juruteknik di sebuah kilang di sini, berkata Maysarra rajin belajar dan dalam peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Allahyarham memperoleh 8A. Beliau berkata ketika kejadian, anaknya bersama lebih 60 pelajar lain yang selesai menduduki peperiksaan PMR dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands, Pahang untuk lawatan sambil belajar.
Katanya, jenazah Maysarra dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Padang Menora, Tasik Gelugor, Pulau Pinang selepas solat Isyak malam Sabtu.
Sementara itu, ibu Allahyarham, Mazlina Abdullah, 37, berkata sejak kecil lagi Maysarra bercita-cita menjadi seorang doktor. -BERNAMA
13 Nov 2011
sumber
No comments:
Post a Comment