Tahanan diseksa polis Singapura
|
|
SINGAPURA 11 Okt. – Polis Singapura berjanji akan menyiasat dakwaan seorang ahli perniagaan dia diseksa semasa ditahan pada bulan lepas atas tuduhan menerima barangan curi berupa produk Apple bernilai berjuta-juta dolar.
Ong Su Ping, 32, mendakwa, anggota polis memaksanya minum air kencing mereka, memasukkan berus tandas ke dalam mulutnya, menutup kepalanya dengan seluar dalam terpakai, menarik rambutnya dan memukul kemaluannya, lapor akhbar Straits Times.
Dalam sesi di mahkamah semalam, Su Ping yang menghadapi tuduhan menerima sejumlah 3,400 buah iPad dan iPhone curi bernilai S$1.4 juta (RM3.3 juta) pada bulan lepas, mendakwa penyeksaan itu berlarutan selama empat jam dan menyebabkan dia mengalami mimpi buruk kemudian.
Kata bapanya kepada Straits Times, ahli keluarga tidak dibenarkan melawatnya atau bercakap dengannya sejak sembilan hari lalu.
Hakim mengarahkan polis supaya melantik seorang pegawai yang tidak terlibat dalam penangkapan Su Ping supaya menyiasat dakwaannya itu.
Polis memberitahu AFP, kes Su Ping sedang disiasat oleh Pejabat Hal Ehwal Dalaman, sebuah jabatan baru yang menjalankan siasatan bebas mengenai aduan dan kesalahan membabitkan anggota polis.
“Polis memandang serius segala aduan yang dibuat oleh tertuduh terhadap anggota kami dan semua aduan sedemikian akan disiasat secara terperinci.
“Jika kesalahan jenayah didapati dilakukan, polis tidak akan teragak-agak mengemukakan tuduhan jenayah terhadap anggota terlibat,” kata seorang jurucakap polis.
Namun, katanya, polis juga memberi amaran, jika dakwaan itu didapati palsu, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap sesiapa yang membuat aduan palsu terhadap polis.
Sementara itu, polis juga mencari seorang lelaki, Ong Chip Siong, 30, bagi membantu siasatan kes rompakan tersebut. - AFP
No comments:
Post a Comment