Dr. Yusuf Al-Qaradawi Kirim Surat Kepada Kerajaan Malaysia

Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima cenderahati berbentuk
cebisan karpet Masjid Al-Alqsa yang disampaikan oleh Ulama Islam
Sedunia, Prof. Dr Yusuf Al-Qaradawi melalui wakilnya, Timbalan Pengarah
Yayasan Al-Quds Beirut, Dr. Aiman Zaidan (kanan) selepas majlis
perasmian Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
di sini, hari ini. Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds
Malaysia, Nasharudin Mat Isa (kiri). --fotoBERNAMA
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia, Nasharudin Mat Isa, surat daripada ulama tersohor berkenaan diserahkan oleh Timbalan Pengarah Al-Quds Beirut, Dr. Aiman Zaidan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, selepas Majlis Perasmian Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
“Al-Qaradawi yang merupakan Pengerusi Majlis Pemegang Amanah Yayasan Al-Quds International yang beribupejabat di Beirut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia di atas sumbangan berterusan terhadap isu Palestin.
“Beliau juga menghargai sumbangan berjumlah AS$5 juta oleh Malaysia yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bagi membiayai pembinaan sebuah kolej kesihatan di Al-Quds,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Nasharudin, selain menghargai keprihatinan Malaysia dalam isu Palestin, Al-Qaradawi juga mendoakan kesejahteraan Najib, Muhyiddin, kerajaan dan rakyat Malaysia.
“Al-Qaradawi yakin bahawa Malaysia akan terus memberi sumbangan dan sokongan terhadap isu-isu Islam serta umat Islam seluruh dunia khususnya di Palestin,” katanya – Utusan
No comments:
Post a Comment