Apabila Senator Melayu ultra kiasu jahil Islam
(Sinar Harian 15 Okt 2012)
Seorang pensyarah berjawatan professor madya, di tempat
saya bekerja, yang dilantik oleh parti ultra kiasu sebagai senator, mengeluarkan
pendapat, dalam satu forum bersama tiga panel ultra kiasu bukan Islam di Pulau
Pinang pada 2 Oktober 2012, langsung tidak mencerminkan watak sebagai seorang
intelektual, dan amat naïf ilmunya tentang Islam, yang disiarkan dalam laman web
malaysiakini.
Beliau mempertikaikan kedudukan Sekolah Agama yang
telah wujud sekian lama mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11).
Sekolah Agama dikatakan menjadi punca polarisasi kaum, kerana melahirkan
pemikiran pelajarnya tertutup atau jumud, sehingga boleh menimbulkan masalah
dalam masyarakat berbilang kaum. Beliau mendakwa, sekolah ini hanya mendokmakan
isu halal dan haram sahaja serta menjadi sarang kempen hudud dan negara Islam.
Persoalannya, pernahkah beliau membuat kajian dan pergi ke sekolah agama?
Bentangkan dapatannya? Kenapa tidak mempertikaikan sekolah vernakular, sekolah
swasta dan parti yang diwakilinya yang menjadi sarang perkauman?
Kenapa beliau tidak mempertikaikan desakan Persatuan
Agama Buddha, Hindu, Kristian, Taoisme dan Sikh yang mahukan sekolah agama-agama
lain turut didirikan? Adakah desakan sedemikian tidak menyebabkan polarisasi?
Pembacaan cetek beliau menjadikan saya terfikir layakkan senator ini mengajar di
sebuah universiti tentera?
Adakah George Bush dan Donald Rumsfeld belajar agama,
sehingga sanggup membunuh puluhan ribu umat Islam di Iraq suatu ketika dahulu?
Begitu juga dengan presiden Amerika sebelum dan selepas itu. Siapakah yang
menghalalkan darah umat Islam? Bagaimana pula dengan golongan pelampau yang ada
pada hari ini dari kalangan bukan Islam, adakah mereka ini datang dari sekolah
agama? Kenapa sekolah agama dan agama Islam yang menjadi sasaran?
Lebih pelik lagi kenapa PAS membisu seribu bahasa? Adakah kerana sepakatan?
Ingatan saya kepada PAS, jangan biarkan Islam dihina. Amaran Shahnon Ahmad
memang tepat. Ultra kiasu tidak boleh dipercayai kerana mereka adalah musuh
Islam.
Menghina dan memperkecilkan sekolah agama yang
diibaratkan sebagai ‘time bomb’ adalah kenyataan amat kurang ajar, apatah
lagi jika mengakui dirinya Islam. Ternyata pengetahuan senator ini terhadap
sekolah agama amat cetek, apatah lagi pengetahuan Islamnya. Lagi pula, sepanjang
saya berada di universiti, saya tidak pernah melihat senator ini pergi ke
masjid, apatah lagi berjemaah. Mungkin beliau sembahyang di dalam bilik
sendirian, termasuk solat Jumaat bersendirian.
Senator ini gagal memahami maksud equity dan
equality. Equity bermakna keadilan, memberikan kepada yang berhak.
Manakala equality adalah persamaan yang dijamin dalam perlembagaan kepada
semua warganya. Keistimewaan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali,
kerana ada timbal balik kepada agama lain jua dari segi hak mereka. Jemputlah ke
kelas saya jika tidak faham.
Tuduhan yang mengatakan sekolah agama hanya mendokma
perkara halal haram menyeleweng sama sekali. Dalam Islam terlalu banyak isu
halal berbanding haram. Bagaimana kenyataan ini boleh keluar daripada senator
mengaku Islam? Saya harap Melayu lain yang berada dalam parti ultra kiasu
menyedari hakikat ini. Keluarlah daripada parti anti Islam seperti yang
dilakukan oleh bekas senator sebelum ini. Parti ini boleh menjejaskan akidah
senator itu. Bimbang nanti, jauh dari syurga.
Pandangan senator kokak ini tidak mencerminkan bahawa
beliau pernah membuat kajian tentang sekolah agama yang mengajar soal tauhid,
akidah, syariah, muamalah dan banyak lagi cabang ilmu. Ini tidak termasuk
gabungan antara ilmu agama dengan ilmu sains, yang dikenali sebagai kesepaduan
ilmu (integrated knowledge) yang sedang berlaku di sekolah agama.
Inilah berjayanya ultra kiasu mempergunakan orang Islam
untuk menghentam dan menghina agama Islam sendiri. Kajian demi kajian oleh
beberapa sarjana menunjukkan pelajar Islam sekolah agama Islam lebih terbuka dan
tidak ada masalah langsung untuk berinteraksi dengan orang bukan Islam. Malah,
mereka dengan mudah menerima kehadiran sekolah vernakular. Berbanding produk
sekolah vernakular dan sekolah swasta yang amat sukar sekali untuk berinteraksi
dengan orang Melayu dan menerima kehadiran sekolah agama.
Kerana apa? Jawapannya, dalam Agama Islam, kita diajar
menghormati agama bukan Islam dan hak mereka. Sehingga dalam peperangan
sekalipun, Islam mengajar kita menjaga hak mereka. Kita hanya berperang dengan
orang yang menyerang. Kita tidak dibenarkan membunuh dengan sewenang-wenang
seperti orang tua, wanita, kanak, rumah berhala, merosakkan alam sekitar dan
sebagainya, walaupun tidak seagama.
Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu begitu mudah
menerima penghijrahan besar-besaran orang bukan Melayu ke negara ini, ketika
negara-negara Asia Tenggara menolak? Tanyalah orang Siam, Nyanmar, Indonesia,
Filipina dan sebagainya, kenapa bilangan bukan bangsa mereka terlalu sedikit,
berbanding bukan Melayu di negara ini? Jawapannya, faktor agama Islamlah yang
menjadi Melayu lembut dan begitu bertoleransi menerima kehadiran
mereka.
Jika ditakdirkan orang Melayu tidak memeluk Islam,
masih lagi menganut ajaran bukan Islam, sudah lama bukan Melayu yang datang
berhijrah telah dihalau lebih awal lagi? Kenapa tidak menghargai toleransi
Melayu Islam? Kenapa Islam dimangsakan? Ternyata, senator ini amat jahil
dan tidak tahu betapa mulianya agama Islam dalam meraikan orang
lain.
Tidakkah beliau sedar bagaimana peranan golongan agama
memerdekakan tanah air tercinta ini? Adakah nama-nama seperti Tok Kenali, Tok
Janggut dan sebagainya datang dari sekolah di Amerika? Jika produk sekolah agama
itu yang menjadi masalah kepada masyarakat dan negara, sudah tentu orang agama
atau para mufti yang kebanyakan produk sekolah agama mengisytiharkan perang
terhadap bukan Islam yang berhijrah ke negara ini. Kenapa sikap para mufti dan
para ulamak begitu lunak dengan bukan Islam?
Saranan kepada senator tersebut, jika jahil belajarlah.
Masjid terlalu dekat dengan bilik beliau. Berkunjunglah ke masjid.
Sekurang-kurang tidaklah gagap membaca al –Quran dan dapat memahami isi
kandungannya. Jika bukan kita mempertahankan Islam dan hukum Islam, nak harap
siapa lagi?
emmm........sekarang ni ramai orang islam yang kehilangan I nya. Yang ada kini hanyalah slam. Maka jadilah mereka orang Islam yang tenggelam.
ReplyDelete