Suspek ragut pelajar wanita diberkas
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, sebuah kereta peronda polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal cuba meragut beg tangan mangsa berusia 23 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, kedua-dua suspek terus melarikan diri setelah menyedari sebuah kereta peronda berkenan menghampiri mereka.
Katanya, anggota polis kemudian mengejar suspek sejauh satu kilometer sebelum motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Taman Melati dekat sini sebelum seorang suspek ditahan manakala rakannya melarikan diri.
Bagaimanapun, Zakaria berkata suspek gagal meragut beg tangan pelajar berkenaan yang mengandungi wang tunai RM45, sebuah telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.
Katanya, mangsa terjatuh dan cedera di bahagian lutut akibat kejadian tersebut dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki suspek berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
sumber
No comments:
Post a Comment