Sunday, March 20, 2011

SEMAKIN TUA SEMAKIN MENJADI...

Sepanjang hayatnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara.....di akhir-akhir hayatnya, ALLAH SWT kurniakan rahmatNYA kepada TUN MAHATHIR.....semoga terus dihargai hingga nafas terakhir....namun ada ada juga manusia yang menggadai agama, bangsa dan negara sepanjang umurnya dan kini dengan rahmat ALLAH SWT juga....terus bergelumang dan bersekongkol dengan kejahatan....mungkin sehingga IZRAIL mencabut nyawanya!!!!

Tun Mahathir bersama Dato' Abdullah Hasnan Kamaruddin

Tun Dr Mahathir terima ijazah kehormat UniMAP

KANGAR, 17 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Khamis menerima ijazah kehormat ulung Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada majlis konvokesyen khas yang berlangsung di sini.

Dr Mahathir menerima ijazah kehormat ulung Doktor Kejuruteraan manakala Dr Siti Hasmah dianugerahi ijazah kehormat ulung Doktor Sains.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP menyampaikan ijazah kehormat itu kepada mereka dengan turut disaksikan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP.

Dalam titah ucapan sempena konvokesyen itu, Raja Muda Perlis menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin yang banyak membawa perubahan dalam pembangunan negara.

"Sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, banyak perubahan dari segi struktur politik, ekonomi dan sosial telah dilaksanakan melalui konsep Wawasan 2020 yang dipeloporinya," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah, di bawah kepimpinan Dr Mahathir, Malaysia mendapat perhatian dunia, dihormati dan disegani oleh negara membangun dan sedang membangun.

"Tun (Dr Mahathir) berjaya menukar wajah Malaysia dari sebuah negara kecil yang ekonominya berteraskan pertanian, menjadi sebuah negara perdagangan dan perindustrian yang berdaya saing pada peringkat global," titah baginda.

Menurut baginda, Dr Mahathir berjaya membawa negara mengatasi pelbagai cabaran dan rintangan termasuk dalam menangani kemelut ekonomi yang melanda dunia pada 1987 dan 1997.

"Berbagai-bagai projek mega, yang dulunya menjadi cemuhan dan kritikan oleh sesetengah pihak yang tidak jelas akan kepentingannya untuk masyarakat dan negara, kini mula menampakkan keberkesanannya," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah, di sebalik kejayaan Dr Mahathir ialah hadirnya Dr Siti Hasmah, isteri yang sentiasa bersamanya mengharungi kehidupan dan perjuangannya untuk negara.

"Saya ingin mengajak semua pemimpin di segenap peringkat supaya sama-sama meneladani ciri-ciri kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai pemimpin yang berjiwa besar yang mahu melihat masyarakat dan rakyat Malaysia dapat terus hidup aman dan damai, bekerjasama, bersatu padu dan seimbang dalam semua aspek kehidupan," titah baginda.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucapannya pada majlis itu mahu budaya membaca dan mengejar ilmu disemarakkan di institusi pendidikan tinggi supaya ia mampu bersaing pada peringkat global.

"Untuk bersaing dengan universiti di seluruh dunia, tenaga akademik juga perlu meningkatkan jumlah penerbitan jurnal dan buku berkaitan penyelidikan mereka.

"Pada masa ini terlalu ramai yang memberi fokus terhadap penyelidikan dan pembangunan tetapi mengabaikan penerbitan hasil penyelidikan," katanya.

Beliau berkata, jika universiti tempatan mahu berada dalam kelompok universiti bertaraf dunia, mereka perlu memperbanyakkan penerbitan buku dan jurnal.

UniMAP adalah antara universiti yang bertanggungjawab memartabatkan ilmu pendidikan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia kerana ia banyak melahirkan jurutera yang berkualiti, katanya.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Dr Zainul Ariff Hussain serta Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

No comments:

Post a Comment