Thursday, August 28, 2014

LAGI MELAYU CONTOH

Contoh Melayu yang berjaya dalam hidup!!!!

BERMULA DENGAN GAJI RM10 DAN KINI BERGELAR USAHAWAN BERJAYA

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Bermula dengan gaji RM10 sehari, kini
Suhaimi Embong, 44, bergelar usahawan berjaya dan memegang jawatan Pengarah
Urusan di dua buah syarikat kain terkenal di Terengganu iaitu Desa Murni Batik
Sdn Bhd dan Desa Murni Batik Holding.
Suhaimi dari Pulau Rusa di sini, mula berkecimpung dalam bidang perniagaan
tekstil sejak berumur 18 tahun setelah selesai menduduki peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).
"Semasa Desa Murni ditubuhkan pada 1974 oleh ayah saya Embong Su, 70, di
Pulau Rusa bermodalkan hanya RM4,000, beliau menjalankan perniagaan kain batik
dengan 30 pekerja termasuk saya bergaji RM10 sehari.
"Namun setelah saya mengambil alih Desa Murni pada tahun 2005, perniagaan
mula berkembang selepas membuka sebuah pusat membeli-belah di Pekan Kuala Berang
pada 2006", katanya ketika ditemui Bernama.
PERNIAGAAN TERUS BERKEMBANG MAJU
Suhaimi berkata setelah beliau menerajui Desa Murni, pembekal kain batik dan
sutera terbesar di Terengganu itu kini mempunyai 12 cawangan selain di Kuala
Terengganu. Antara cawangan itu ialah di Kemaman, Kota Baharu di Kelantan,
Temerloh di Pahang, Shah Alam dan Wangsa Walk di Lembah Kelang.
Apa yang menarik adalah Desa Murni juga memiliki kilang memproses kain batik
digital terbesar di Asia Tenggara.
"Kilang kain kami memang besar dengan peralatan dibeli dari Itali. Ini
kerana kita mahu modenkan batik, dengan corak yang canggih," kata anak sulung
daripada empat beradik itu.
Suhaimi berkata Desa Murni mendapatkan rekaan dan corak baru batik dan
sutera daripada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti
Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Sains Malaysia (USM) dan pereka terkenal
yang lain.
Ketika ditanya mengenai promosi Desa Murni yang selalu menggemparkan
pelanggan apabila menawarkan harga serendah lima sen, Suhaimi berkata itu adalah
strategi perniagaan.
"Kedai-kedai Desa Murni di Pengadang Baru, Pekan Batu Enam dan gedung kain
terbarunya di Gong Kapas di sini mengadakan jualan barangan seperti talam, set
mangkuk dan selendang dengan harga hanya lima sen.
SEMANGAT USAHAWAN TERUS MEMBARA
"Orang ramai datang berebut-rebut untuk mendapatkan barangan berkenaan yang
kita hadkan tempoh promosi dan kuantitinya", katanya.
Mengenai cabaran dan persaingan dalam perniagaan, Suhaimi berkata Desa Murni
menghadapi cabaran daripada kain-kain yang datang dari China, India dan
Indonesia. Namun Desa Murni menghadapi segala cabaran itu dengan semangat yang
kental dan lagipun ia mempunyai pelanggan setianya sendiri.
Sejak beliau mengambil alih perniagaan bapanya, syarikat itu terus
berkembang maju dan ketika ini terdapat seramai 300 pekerja di kedai-kedai Desa
Murni seluruh Terengganu.
Pada Disember lepas, Suhaimi dianugerahkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu
2013.
Mengenai anugerah yang dimenanginya itu beliau berkata, anugerah daripada
Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu YPU sangat bermakna dan memberi dorongan
kepada beliau untuk meningkatkan lagi perniagaan.
-- BERNAMA
SUMBER



No comments:

Post a Comment