Friday, July 26, 2013

MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR KEKENYANGAN..PENIAGA PEKAN RABU MASUK ANGIN KELUAR ASAP...!!!

JKKKPKSS sekadar ingin meluahkan rasa peniaga-peniaga Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar yang semakin terhimpit rezeki mereka menjelang sambutan aidilfitri.
Tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar mengeluarkan lesen kepada peniaga-peniaga Melayu bagi sama-sama menjual barangan keperluan umat Islam sempena Aidilfitri adalah sesuatu yang dipuji tetapi tindakan membina gerai-gerai sementara sehingga ke tempat meletak kenderaan telah menimbulkan masalah untuk pelanggan meletakkan kenderaan mereka.



Pelanggan yang meletakkan kenderaan atau berhenti berhampiran dengan Pekan Rabu pula akan dikenakan tindakan saman. Hal ini telah menyebabkan bilangan pengunjung Pekan Rabu semakin berkurang.


Bilangan gerai-gerai sementara yang terlalu banyak disekeliling Pekan Rabu juga secara tidak langsung telah menapis pelanggan yang masuk ke kompleks Pekan Rabu. Ada peniaga yang langsung tidak menerima pelanggan sehari suntuk. Peniaga Kompleks Pekan Rabu kini berada dalam keadaan yang amat tertekan sementara Aidilfitri pula semakin hampir ....



Justeru, peniaga-peniaga Kompleks Pekan Rabu amatlah berharap pihak MBAS dapat berbuat sesuatu bagi menangani permasalahan meletakkan kenderaan dan jumlah gerai-gerai sementara di sekeliling kompleks Pekan Rabu dengan segera. Janganlah kerana ingin mengambil kesempatan untuk meningkatkan pendapatan MBAS, peniaga Kompleks Pekan Rabu pula menderita dalam sambutan Aidilfitri ini..

Biarlah sempena Aidilfitri ini, semua peniaga Kompleks Pekan Rabu, peniaga-peniaga bazar di sekeliling Kompleks Pekan Rabu dan MBAS sendiri saling berkongsi limpahan nikmat Ramadhan dan Aidilfitri

No comments:

Post a Comment