KUANTAN 26 Dis. - Lagi nahas membabitkan bas ekspres dua tingkat. Mujurlah kali ini, tiada nyawa yang terkorban.
Seramai 39 penumpang bas ekspres dua tingkat melalui detik cemas apabila bas yang mereka naiki terbabas ke laluan bertentangan sebelum terbalik ke dalam parit di Kilometer 363 Jalan Raub-Bentong awal pagi ini.
Bagaimanapun, penumpang bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur itu bernasib baik kerana kejadian pada pukul 5.20 pagi itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.
Ketua Polis Daerah Raub, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman berkata, lapan orang termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera dalam kemalangan tersebut.
"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raub (HR) untuk menerima rawatan. Enam daripada mereka sudah dibenarkan pulang.
"Dua mangsa lagi yang mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang rusuk dan kecederaan di perut masing-masing ditempatkan di wad HR dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 20 Disember lalu, negara dikejutkan dengan nahas terburuk membabitkan sebuah bas persiaran membawa 35 penumpang warga Thailand.
Dalam nahas itu, seramai 28 maut termasuk seorang daripada mangsa meninggal dunia hari ini apabila bas itu terbabas dalam terbalik ke dalam longkang di Jalan Simpang Pulai, Cameron Highlands.
Menurut Wan Mohd. Samsudin, kemalangan itu berlaku selepas pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan kerana keadaan jalan licin akibat hujan dan gelap.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya sehingga terbabas ke laluan bertentangan sebelum terbalik ke dalam parit.
"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pemeriksaan ujian air kencing ke atas pemandu didapati negatif," jelasnya.
Sebelum kejadian, kata beliau, bas berkenaan membawa seramai 44 penumpang termasuk pemandu dan kelindan.
"Semasa dalam perjalanan kira-kira pukul 4.30 pagi, bas itu melalui pemeriksaan dalam sekatan jalan raya di Benta, Lipis dan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan tiga daripada penumpang kerana didapati positif dadah," ujarnya.
No comments:
Post a Comment