Tuesday, December 28, 2010

Lagi Agenda Jahat Pembangkang: Ambillah Tindakan!!!

Penipuan Dr. Kua dalam bukunya dipersoalkan

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Tindakan Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr. Kua Kia Soong yang menipu dalam buku tulisannya bertajuk 'Questioning Arms Spending in Malaysia' menimbulkan persoalan tentang kesahihan fakta, niat serta pengetahuannya dalam bidang pertahanan.

Penulis blog, Zakhir Mohd. berkata, tindakan bekas Ahli Parlimen DAP itu juga menimbulkan persoalan sama ada dia melakukan pengkhianatan terhadap negara dengan mengemukakan fakta salah, serta melancarkan buku tersebut di London pada 14 Disember lalu.

Menurut Zakhir, penipuan Kia Soong dikesan oleh penulis Jane's Defense Weekly, Dzirhan Mahadzir yang mendapati nota kaki pada muka surat kelima yang dikemukakan Kia Soong dalam buku tersebut sebenarnya palsu dan tidak wujud.

"Menulis buku dan melancarkannya di luar negara memberi konotasi yang sama sekali berbeza, ia merupakan serangan sebelah pihak sahaja dan disyaki berniat jahat.

"Ia adalah satu tindakan anarki. Tiada bezanya dengan penipuan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di Jakarta yang menipu tentang kapal selam Scorpene negara kononnya tidak boleh beroperasi," katanya dalam http://bigdogdotcom. wordpress.com/ hari ini.

Buku tersebut dilancarkan di ibu negara pada 11 Disember lalu dan dilancarkan sekali lagi di London tiga hari kemudian.

Di samping ulasannya sendiri, Zakhir turut mengemukakan pautan kepada komen Dzirhan mengenai penipuan Pengarah Suaram tersebut.

Dalam komennya, Dzirhan mendedahkan bahawa petikan Kia Soong mengenai tulisan Bob Karniol dari Jane's adalah palsu serta disahkan sendiri oleh Karniol yang merupakan bekas majikannya di majalah berkenaan.

Nota kaki yang dikemukakan Kia Soong antara lain berbunyi: "Apakah impak pembelian Skuadron Nombor 1 Malaysia berbanding pesanan yang dilakukan India ke atas Su-30S (atau pelan pembangunan China untuk membina J-10)."

Menurut Dzirhan, Karniol sendiri telah menghubunginya melalui e-mel dan menegaskan beliau tidak pernah menulis petikan sebegitu dalam tulisan bertajuk Arms resurgence in Southeast Asia yang disiarkan portal The Straits Times pada 15 Mac lalu.

Kata Dzirhan, Kia Soong juga melakukan kesalahan besar dengan menulis tentang kehilangan dua enjin pesawat Sukhoi SU-30MKM negara dalam buku itu, kerana beliau percaya penulis tersebut sebenarnya merujuk kepada enjin pesawat F-5E.

Tambahnya, Kia Soong juga menipu apabila mempromosi untuk mendedahkan banyak perkara menerusi buku itu namun ia hanya bersandar kepada berita lama yang telah diterbitkan oleh majalah serta akhbar dari dalam dan luar negara.

Justeru, Zakhir dan Dzirhan menasihatkan Kia Soong yang masih merupakan ahli DAP supaya mengemukakan soalan berkaitan pertahanan negara kepada 78 ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat, untuk diperdebatkan dengan anggota Parlimen kerajaan.

Menurut mereka, sesebuah buku pertahanan harus ditulis dengan berhati-hati, berniat baik serta berpengetahuan dan tidak dibuat berdasarkan emosi atau memenuhi agenda tertentu.

No comments:

Post a Comment