at Sunday, August 01, 2010
Oleh HARUSSANI ZAKARIA
Bersempena dengan kehadiran Ramadan al Mubarak yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi, saya mengambil kesempatan dalam ruangan ini untuk memberi sedikit komentar tentang ibadah puasa yang begitu ditunggu-tunggu oleh mereka yang mengaku beriman dengan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-baqarah ayat 185 yang bermaksud:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."
Sudah menjadi ketetapan dan kebijaksaan Allah SWT melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain, sepertimana Ia melebihkan sebahagian hari ke atas sebahagian hari yang lain, sebahagian malam ke atas sebahagian malam yang lain, begitu juga sebahagian bulan ke atas sebahagian bulan yang lain. Maka, begitulah bulan Ramadan yang bakal menemui kita beberapa hari lagi, Allah SWT melebihkannya dengan beberapa ciri dan keistimewaan melebihi dari bulan-bulan sebelum dan selepasnya. Allah SWT menganugerahkan di dalam bulan yang mulia ini dengan penurunan al Quran yang menjadi penyuluh dari kegelapan kufur kepada cahaya iman. Dari kehinaan kejahilan kepada kemulian pengetahuan. Dari kerapuhan bermasyarakat kepada kekuatan berjamaah. Begitulah anugerah yang tiada tara dan nilainya anugerah dari Allah SWT yang maha agung untuk para warga bumi agar mereka sentiasa memurnikan ibadah hanya kepadaNya.
Allah SWT dengan keagungannya jua telah menetapkan ke atas manusia yang beriman untuk melaksanakan sepanjang siang hari di bulan yang penuh keberkatan ini dengan menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang boleh membawa kepada terbatalnya puasa. Bukan sekadar itu sahaja, malah umat Islam juga dituntut agar menghindarkan diri daripada melakukan pelbagai perkara yang boleh mencacatkan pahala puasa seperti mengumpat, mencaci, memandang perkara mungkar dan lain-lain lagi yang disebut sebagai perkara keji dan mungkar.
Sejarah mencatatkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini juga, berlaku peristiwa pembukaan kota Mekah yang mana pembukaan ini merakam suatu lembaran baru dalam sejarah Islam. Bermula dari lembaran ini, maka tersebar siarnya laungan kalimah Allah ke seperempat semenanjung Arab yang akhirnya membawa Islam berkembang dengan pesat ke serata alam timur dan barat. Natijah dari itu, umat Islam dihormati dan dipandang mulia dengan ketinggian akhlak dan kesopanannya. Pemerintah Islam dan keadilan pemerintahannya menyerlahkan lagi ketinggian martabat Islam ia berjaya menarik minat warga kuffar kepada agama Islam itu sendiri.
Jelas di atas bagaimana Ramadan, merupakan bulan gemilang bagi umat Islam dalam memaksimumkan kualiti dan kuantiti ibadat, malah memperkukuhkan semangat perjuangan dan pengorbanan. Kesemuanya itu terhasil bila manusia dengan kekuatan iman yang ada berjaya mengoptimumkan kekuatan diri dan akhlak dalam menewaskan musuh nafsu dan syahwat yang sentiasa mengikuti mereka.
Engkar
Apa yang dapat kita lihat dan dapati hari ini, bulan Ramadan datang dan pergi setiap tahun. Ramadan tidak pernah engkar untuk datang menemui umat Islam dan kita juga dalam keadaan reda menyambut kedatangan Ramadan biarpun dalam keadaan bersedia atau sebaliknya. Namun apa yang kita lihat hari ini, umat Islam masih berhadapan situasi sukar dengan rantaian permasalahan yang tidak kunjung padam. Isu sosial seperti zina, pembuangan bayi, jenayah,ekonomi dan begitu juga perpaduan ummah masih kabur untuk mencari jalan penyelesaiannya. Inilah yang telah disabdakan oleh baginda nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan bahagian dari puasanya melainkan lapar dan dahaga, dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan bahagian dari ibadahnya melainkan rasa mengantuk saja." Hadis no 8501 ini Riwayat Imam Ahmad menjelaskan bahawa sekiranya kerendahan kualiti ibadat yang sedemikian menempel pada diri umat Islam, nescaya amat sukar untuk mereka menyelesaikan persoalan-persoalan besar dalam kehidupan mereka.
Rupa-rupanya nilaian puasa yang hanya sekadar berlapar dahaga, solat sekadar berdiri menghadapkan diri ke kiblat semata-mata bagi melepaskan diri dari taklif sahaja, sudah pasti tidak ada kesan yang mendalam pada jiwa dan rohani, belum tentu ibadat itu hidup dan kembali menyuburkan roh pelakunya. umpamanya, seorang pelajar yang cuma belajar bagi memperoleh markah lulus 'cukup makan' semata-mata bagi melayakkannya mendapat segulung sijil. Maka, kesannya adalah pelajar tersebut tidak mampu untuk memahami apa yang telah diajar kepadanya dengan baik dan seterusnya gagal untuk mempraktikkan ilmu tersebut di luar sekolah dengan berkesan, apatah lagi mahu mengajarkannya.. Ini kerana ilmu yang difahami dan dihayati sepenuhnya di sekolah mempunyai roh yang tinggi yang terkesan buat jiwa dan pemikiran. Begitulah puasa yang dilakukan tanpa penghayatan dan kerendahan hati memohon keredaan Allah SWT, nescaya tiada nilai di sisi Allah SWT apatah lagi untuk mengharap pengampunan dariNya. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa karena iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".
(Imam Bukhari - hadis no:37)
Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniah puasa itu antaranya :
1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan daripada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh Islam dan segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala.
2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, berbohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.
3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, kerana setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.
4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa.
5) Jangan membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
6) Hendaklah hati merasa bimbang dan takut, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah SWT , sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT.
Atas adunan enam perkara yang telah disebutkan, bahawa puasa itu puasa mata, telinga, lidah, pemikiran dan hati. Puasa bukan saja dari perkara haram malah dari apa yang makruh dan berlebih-lebihan. Puasa yang semata-mata kerana Allah SWT dan untuk Allah SWT, bukan kerana 'diet' mahupun ikutan atau budaya, puasa inilah yang akan memberikan ganjaran cemerlang untuk kita semua.
Puasa menyatukan umat ini.
Kedatangan bulan Ramadan sepatutnya menyerlahkan perpaduan di kalangan umat Islam. Di pelosok bumi mana pun kita berada, pastinya kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan melaksanakan ibadah yang sama dengan saudara seagama kita di bumi yang lain. Tidak kira apa jua bangsa, warna kulit dan keturunan. Kita bersama-sama berpadu merasai kelaparan bukan kerana menuruti arahan saudara mara mahupun proksi kita, tetapi kita menuruti arahan yang datangnya dari Allah SWT yang Maha Agung. Begitulah hal-hal lain dalam kehidupan kita bermasyarakat, apakah kita masih gagal berpadu dan bersatu atas tali Allah, sedangkan Allah SWT yang esa itulah juga yang menyuruh kita bertindak sedemikian.
Puasa Ramadan juga mengingatkan kita akan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh saudara seagama kita di tempat yang lain. Dugaan yang ditempoh sepanjang Ramadan menimbulkan simpati, kasihan belas, kasih sayang, semangat persaudaraan terhadap umat Islam lain. Dengan kedatangan Ramadan, tidakkah terlintas di dalam hati kita akan mihnah perjuangan rakyat Palestin? Pergolakan yang berlaku di Iraq dan kesusahan umat Islam yang lain. Maka, perasaan sedemikian wajar disematkan dalam diri umat Islam biarpun terdapat sedikit perbezaan pandangan dan ideologi.
Maka oleh kerana itu saya menyeru dan memperingatkan diri saya dan kita semua untuk menilai kualiti ibadah puasa kita apakah ia sudah mencapai markah cemerlang atau sekadar 'cukup makan'. Puasa yang sepatutnya menjadikan diri kita ini bertaqwa, jika ternyata belum berlaku kita sepatutunya memuhasabahkan diri kita selagi kita punya peluang bertemu dengan Ramadan ini. Akhir kata saya ucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam, semoga Allah SWT akan menerima segala ibadat kita nanti, amin ya Rabbal alamin.
- MINGGUAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment