Sunday, December 3, 2017

3 KETUA SRIKANDI BUNGA ISYTIHAR KELUAR PARTI

Pada sidang media pengumuman keluar parti itu, Zuraini yang mewakili kesemua pemimpin terbabit mendakwa mereka merasakan terlalu banyak isu dan polemik dalam parti itu yang tidak diuruskan dengan baik dan ditangani secara serius oleh pucuk pimpinan parti berkenaan.

“Ini bukanlah keputusan yang mudah. Sudah pasti kami akan dilabelkan sebagai pengkhianat, pemakan dedak, orang yang kecewa dan sebagainya. Tetapi prinsip kami mudah, berkata benar walaupun pahit. Berani dan bermaruah.

“Benar, PPBM baru setahun jagung tetapi kepimpinan tertinggi adalah dalam kalangan yang sangat berpengalaman dan berilmu, dan usia PPBM sebagai parti di peringkat penajaan tidak boleh dijadikan alasan,” katanya.

Selain itu, beliau mendakwa budaya fitnah tanpa sebarang siasatan dan bela diri oleh individu terbabit dalam PPBM adalah sangat merbahaya dan terdapat ramai individu yang diketepikan atau ditukar jawatan hanya kerana kononnya ada salah laku, namun tidak berpeluang membela diri.

Zuraini turut mendakwa wujud budaya tidak boleh menegur dan memberi pandangan apabila terdapat individu dipecat oleh kepimpinan bahagian dengan alasan rombakan bukannya bermaksud dipecat setelah memberi teguran melalui saluran betul.

“Rombakan jawatan menyebabkan dua individu dilantik itu atau mempunyai kedudukan dan kuasa yang sama. Ia sesuatu tidak sepatutnya berlaku dan memecah-belahkan keharmonian di peringkat bahagian. Belum pernah ada bahagian wujud lantikan dua ketua Srikandi dan kedua-duanya masuk mesyuarat,” katanya. – Bernama, 3 Disember, 2017.

No comments:

Post a Comment