Buru Geng Susu Kangkang berdasarkan CCTV
Difahamkan, penjenayah terbabit diketuai seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang meneruskan kegiatan itu setelah beberapa rakan mereka ditahan polis dalam satu operasi besar-besaran sekitar Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, setakat ini polis mengesyaki kumpulan penjenayah itu seramai empat orang termasuk tiga wanita berusia 30 hingga 40 tahun.
Modus operandi kumpulan ini sama seperti penjenayah yang ditahan tahun lalu iaitu menyorokkan susu di celah kangkang. Wanita itu akan berpakaian baju besar sama ada baju kurung atau jubah longgar untuk memudahkan kerja menyeludup keluar susu.
Mereka juga akan melakukan kerja itu secara berkumpulan dengan suspek lelaki bertindak sebagai pemerhati untuk mengelak jenayah itu dikesan petugas pasar raya atau orang awam," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Geng Susu Kangkang dikesan kembali aktif di sekitar Kajang apabila seorang pengawal keselamatan membuat laporan polis susulan kes curi barangan itu di sebuah pasar raya besar di Kajang.
Pada Ogos lalu, polis memberkas lapan ahli kumpulan itu yang dipercayai mencuri 160 kotak susu tepung berjenama dianggarkan berjumlah RM12,800 di sekitar Kajang.
Siasatan polis kemudian percaya suspek mempunyai kaitan dengan lima individu yang ditahan selepas mencuri susu tepung pelbagai jenama dari dua kedai runcit di Perlis, beberapa bulan sebelum itu.
Mengulas lanjut, Ab. Rashid memberitahu, setakat ini, polis telah memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pasar raya berkenaan dan sedang menjejaki suspek.
Kita telah mendapat rakaman dan kerjasama pasar raya berkenaan dan setakat ini polis sedang membuat proses pengecaman wajah-wajah suspek berdasarkan CCTV itu," katanya.
No comments:
Post a Comment