Chua Terima Hudud, Karpal dan Lim Guan Eng Bila Lagi?
KUALA LUMPUR, 3 Nov — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari
ini mencabar Pakatan Rakyat (PR) untuk meletakkan hudud dalam manifesto
pilihan raya ke-13 mereka sekiranya benar menyokong perjuangan PAS dalam
menegakkan hukum Islam. Malah, pemimpin MCA itu juga sedia untuk menerima pelaksanaan hudud
sekiranya rakyat negara ini bersedia menerima undang-undang Islam
tersebut. "Saya sebagai Presiden MCA ingin menegaskan bahawa MCA adalah sebuah parti yang mendokong prinsip demokrasi.
"Oleh itu, demi menghormati dan menjunjung prinsip demokrasi maka
Pakatan Rakyat perlu meletak hudud versi PAS dalam manifesto mereka
dalam pilihan raya yang akan datang (PRU 13). "Seandainya ia diterima dan disokong oleh majoriti rakyat Malaysia
maka MCA akan menghormati kehendak rakayat Malaysia," katanya dalam
kenyataan hari ini.
Dr Chua juga turut mencabar DAP untuk
menyatakan pendirian mereka, sama ada mereka bersama – sama MCA
menentang pelaksanaan Hudud Versi PAS atau tidak. "Sekiranya mereka menyatakan mereka tidak berkongsi pendirian yang
sama dengan MCA dalam isu hudud versi PAS maka mereka perlu tampil
memberitahu rakyat bahawa mereka menyokong pelaksanaan hudud versi PAS
di negara kita. "Diharapkan DAP tidak lari dan sembunyi daripada cabaran pendirian mereka dalam isu ini.
"Mereka hanya perlu menyatakan pendirian sokong atau tidak," cabar Dr Chua lagi.
Pemimpin MCA itu sebelum ini telah dikecam oleh PAS dan pemimpin
pembangkang kerana mengeluarkan kenyataan keras berhubung pelaksanaan
hudud di negara ini.
Beliau pernah mengeluarkan kenyataan 1.2 juta
rakyat negara ini akan kehilangan pekerjaan sekiranya hudud
dilaksanakan, dan negara yang melaksanakan hudud akan menjadi lebih
korup. Menjelaskan situasi itu, Dr Chua menjelaskan, MCA bangkit untuk
menentang perjuangan Enakmen Hudud versi PAS, dan bukannya menghina
agama Islam kerana tindakan MCA mempertikaikan perjuangan sesebuah parti
politk ( PAS ) adalah berbeza dengan penentangan MCA terhadap sesuatu
agama (Islam).
"Isu ini sebenarnya telah dipolitikkan dan diputar oleh pemimpin
Pakatan Rakyat apabila mereka menganggap sesebuah parti politik ( PAS )
itu adalah agama Islam. "Saya telah berbincang dengan Ustaz Fathul Bari dari Pertubuhan
Ilmuan Malaysia dan tidak ada masalah bagi MCA untuk menerima penerangan
dari beliau tentang hukum hudud berdasarkan sumber-sumber Islam yang
sebenar," katanya lagi. MCA juga tegas Dr Chua tidak pernah sekalipun melakukan sesuatu
tindakan yang mengecam agama Islam dan pengamalannya di Malaysia.
"Sepertimana MCA menghormati agama-agama lain seperti Buddha,
Kristian dan Hindu, MCA juga peka dan menghormati sensitiviti umat Islam
negara ini, apatah lagi, Islam adalah agama rasmi persekutuan. "Hal ini terbukti dengan sokongan dan penerimaan MCA terhadap
perlaksanaan rukun-rukun Islam di negara ini seperti pembinaan
masjid-masjid, institusi Tabung Haji yang memudahkan umat Islam
menunaikan haji, penubuhan dan implementasi pusat zakat dan kutipannya,
pembinaan sekolah-sekolah Agama, perbankan Islam, penerapan dasar-dasar
Islam dalam kerajaan dan yang paling utama. "MCA tidak pernah menentang malah menyokong dan mendokong bahawa
Islam adalah agama Persekutuan dengan agama-agama lain bebas diamalkan
dengan aman dan damai seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia
sejak Merdeka," tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment