Majoriti Melayu sokong BN
Kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik UKM bagi tempoh antara Disember 2012 dan Mac lalu menyaksikan trend sokongan tersebut mencecah sehingga 68 peratus.
Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, antara faktor sokongan itu ialah kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan program transformasi.
Kajian itu dibuat dalam kalangan 4,500 responden wanita di seluruh negara yang mana sebanyak 68 peratus mereka menyatakan kesediaan mengundi BN dan menyokong kerajaan sedia ada.
Lazimnya, kecenderungan sama ditunjukkan suami responden terbabit serta anak-anak mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fuad, kajian berkenaan belum lagi mengambil kira faktor selepas manifesto dan calon BN bagi PRU-13 diumumkan yang mana momentum sokongan itu dijangka terus meningkat.
Kita akan meneruskan kajian dalam tempoh berkempen ini dan perlu diingatkan sekitar 18 hingga 23 peratus pengundi adalah pengundi atas pagar yang baru pertama kali mengundi," katanya.
Menurutnya, trend sokongan masyarakat Melayu kepada BN itu kerana mereka meyakini parti tersebut mampu memelihara status quo dalam perjuangan agama, bangsa dan negara di samping mengekalkan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Orang Melayu tidak suka melihat pakatan antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana banyak perkara telah tersasar terutama berkaitan kepentingan agama Islam serta isu kalimah Allah.
Lagipun, pakatan pembangkang sangat longgar dalam perjuangannya terhadap agama, bangsa dan negara, oleh itu, orang Melayu beranggapan lebih baik mengekalkan kerajaan sedia ada," katanya.
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, sokongan masyarakat Melayu terhadap BN didorong kejayaan agenda transformasi kerajaan selain kegagalan pembangkang menunaikan janji di negeri dikuasai mereka.
Dahulu pembangkang lantang mengkritik tetapi selepas menjadi kerajaan, baru masyarakat nampak keupayaan sebenar mereka," katanya.
Menurut beliau, kemerosotan sokongan terhadap pakatan pembangkang itu juga disebabkan Pas, PKR dan DAP dibelenggu banyak masalah dalaman.
No comments:
Post a Comment