Kenyataan Media
Datuk Seri Zainal Abidin Osman
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan
Negeri Pulau Pinang
Isnin, 25 September 2017
Respon Kepada Kenyataan Oleh YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang Dan YB Chow Kon Yeow, Exco Tebatan Banjir Berhubung Jumlah RM 2 billion Peruntukan Kerajaan Persekutuan Untuk Projek-Projek Tebatan Banjir Di Pulau Pinang
1. Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang dan EXCO Tebatan Banjir minggu lalu mempersoalkan kenyataan saya pada Rabu, 20 September 2017 dibuat dengan niat jahat bertujuan mengelirukan pemikiran rakyat dan menimbulkan curiga terhadap Kerajaan Persekutuan dan diri saya.
2. Kenyataan saya mengenai peruntukan RM 2 billion adalah benar, bukan fitnah atau palsu. YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar juga telah mengesahkan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Pulau Pinang untuk projek-projek tebatan banjir adalah melebihi RM 2 billion.
3. Dakwaan Ketua Menteri kononnya peruntukan RM 1.7 billion dan dakwaan Exco Tebatan Banjir kononnya RM 1.1 billion masih belum dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan adalah satu kenyataan yang mengarut dan tidak cerdik. Ia menggambarkan Ketua Menteri dan Exconya tidak tahu menahu tentang apa yang sebenarnya berlaku di negeri yang mereka tadbir.
4. Saya nak bagi tahu Ketua Menteri peruntukan itu tidak hanyut bersama air banjir. Sebenarnya yang hanyut dengan air banjir adalah janji-janji palsu Ketua Menteri sendiri.
5. Perincian Projek- Projek di bawah RMK 9, RMK10 dan RMK11 adalah seperti berikut:
a. RMK-9 (2006-2010): Sejumlah 10 projek telah siap dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM1,483,500,000.00. Antara projek yang telah siap dilaksanakan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bertam Kepala Batas, RTB Bandar Pulau Pinang, RTB Sungai Junjung dan RTB Sungai Perai.
b. RMK-10 (2011-2015): Sebanyak 11 projek telah dilaksanakan yang telah melibatkan peruntukan sebanyak RM404,550,000.00. Antara projek-projek tersebut ialah meneruskan untuk menyiapkan Projek RTB Bertam Kepala Batas, projek baru RTB Tasek Gelugor dan RTB Lembangan Sungai Kerian. Bagi Projek RTB Lembangan Sungai Kerian, kerja-kerja pembinaan masih dilaksanakan dan projek dijangka siap pada akhir tahun 2017 ini.
c. RMK-11 (2016-2020): Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM150 juta bagi pelaksanaan projek RTB Sungai Pinang, kontraktor telah dilantik dan kerja-kerja dijangka bermula penghujung tahun ini.
6. Amat memalukan seorang Ketua Menteri dan Exco Tebatan Banjir tidak tahu menahu mengenai projek-projek tebatan banjir itu sedangkan semuanya dalam pengetahuan JPSPP, sebuah agensi bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
7. Tanpa peruntukan-peruntukan tersebut tentunya keadaan banjir di Pulau Pinang akan lebih teruk lagi terutamanya di sekitar kawasan-kawasan RTB yg telah di laksanakan. Orang bukan asal Pulau Piang seperti Ketua Menteri tidak akan faham dan tahu tentang perkara sebegini. Saya minta Ketua Menteri dan Exco Tebatan Banjir semak semula dengan JPSPP sekali lagi sebelum melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment