Utusan Malaysia 29 Julai 2010
JIKA sebelum ini, umat Islam digemparkan dengan insiden pasar raya besar menjual ayam yang tidak disembelih dengan sempurna, kini sekali lagi umat Islam digemparkan dengan sajian yang tidak halal oleh kebanyakan kopitiam.
Jelas terpapar dalam direktori www.halal.gov.my hanya dua kopitiam sahaja yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Justeru, apakah status makanan yang dimakan oleh umat Islam di kopitiam lain?
Sebelum kewujudan kopitiam, umat Islam lebih selesa makan dan minum di kedai-kedai makan orang Melayu Islam dan restoran-restoran mamak. Mereka menikmati makanan tanpa rasa was-was akan halalnya.
Walaupun pelbagai pihak mempersoalkan status halal dan haram makanan yang disediakan oleh kopitiam-kopitiam ini, namun majoriti masyarakat Islam tidak mengendahkannya. Jakim yang turut menyediakan kemudahan menyemak status halal sesebuah kopitiam di laman webnya, tetapi masyarakat Islam lebih percayakan pemilik-pemilik kopitiam yang meletakkan pelekat halal 'yang haram' serta mengupah anak muda Melayu sebagai pekerja mereka.
Sedarlah, bahan mentah terutama daging ayam diperolehi daripada pembekal bukan Islam malahan terdapat kopitiam yang turut menyajikan makanan haiwan eksotik seperti katak yang dilaporkan oleh media massa baru-baru ini. Namun masyarakat Islam terus tidak memandang berat insiden tersebut kerana dikelabui oleh status elit yang dibawa oleh kopitiam.
Jika masyarakat Islam masih menganggap isu halal haram kopitiam sebagai remeh, lihat pula dari sudut bagaimana kopitiam ini sebenarnya secara perlahan-lahan membunuh kedai makan Melayu di bandar-bandar.
Majoriti orang Melayu tidak akan makan dan minum di kedai kopi orang Cina kerana meragui status halalnya tetapi orang Melayu tidak menolak kopitiam. Maka berduyun- duyunlah masyarakat Islam memenuhi kopitiam terutama dari kalangan teknokrat dan korporat Melayu.
Apa pun, yang lebih penting ialah bagaimana masyarakat Islam perlu bersatu menolak kopitiam yang tanpa segan silu terus menyajikan makanan tidak halal kerana mereka anggap masyarakat Islam sendiri sudah tidak mementingkan halal atau haram sesuatu makanan.
Jika kita kasihankan generasi muda Islam yang akan rosak jiwanya kerana terus menikmati makanan tidak halal yang menjadi darah daging mereka, kita harus bertindak "mengajar" kopitiam seluruh negara agar menghormati kedudukan halal makanan orang Islam!
NORHISYAM MOHAMAD
Kota Sarang Semut, Kedah
No comments:
Post a Comment