Lesen pertaruhan Piala Dunia undang kebencian pengundi Melayu
Berita harian 2010/05/08
SAYA memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein iaitu kerajaan berhasrat mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan dilakukan ketika kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 awal Jun ini.
Walaupun pengeluaran lesen itu bertujuan mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini sepanjang kejohanan itu berlangsung, namun kerajaan harus mengambil kira sensitiviti masyarakat, terutama umat Islam. Saya berpendapat kerajaan tidak perlu mengeluarkan lesen berkenaan kerana aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku kerana sindiket judi tetap akan menganjurkan pertaruhan haram bagi mendapatkan keuntungan yang lebih.
Perkara lebih penting lagi isu lesen judi itu akan terus berkumandang sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. Ia akan dijadikan modal oleh pakatan pembangkang terutama Pas bagi menarik sokongan pengundi Melayu.
Ketika itu, pendapatan untung yang tidak seberapa hasil cukai judi Piala Dunia 2010 tidak akan dapat ‘menampung’ kebencian pengundi Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) umumnya dan Umno khususnya.
NORHISYAM MOHAMAD,
Pergerakan Pemuda Umno, Bahagian Kuala Kedah
No comments:
Post a Comment