Tuesday, January 30, 2018

NAK TIPU PENGUNDI BANDAR TUN RAZAK PULAK?

Selepas Kajang & Permatang Pauh, Giliran Orang Bandar Tun Razak Pula Kena Tipu

Khabar angin sudah tersebar bahawa Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan bertukar kawasan. Kali ini kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pula menjadi sasarannya.

Kerusi berkenaan disandang oleh bekas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim yang menang atas tiket PKR tetapi selepas dipecat, beliau kini adalah seorang Ahli Parlimen bebas.

Jika betullah laporan yang disiarkan oleh sebuah portal pembangkang, Suara Pakatan Harapan itu, maka habislah penduduk di Bandar Tun Razak.

Sudah dua penggal, Khalid Ibrahim menjadi wakil rakyat di parlimen Bandar Tun Razak, namun nilaikan sendirilah berapa kali 44,067 pengundi yang memilih PKR dalam PRU lepas nampak muka ahli parlimen mereka di kawasan? Jarang sama sekali.

Kali ini rakyat Bandar Tun Razak akan kena lagi. Seorang lagi calon import akan dicadangkan PKR di kerusi tersebut.

Calon import itu adalah Wan Azizah, yang kini adalah penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

Sedangkan di dua kawasan berkenaan pun, banyak rungutan diterima daripada penduduk kerana beliau tidak turun padang. Malah ada yang menyesal kerana mengundi beliau.

Tahun lepas semasa Pulau Pinang dilanda banjir, penduduk di Permatang Pauh sudah merungut kerana Wan Azizah jarang menampakkan batang hidung di kawasan. Wan Azizah lambai tangan sahaja, ambil sahaja gambar semasa banjir lepas kemudian balik.

Begitu juga semasa Kajang dilanda banjir kilat pada 2015. Wan Azizah hilang entah ke mana. Wan Azizah meminta supaya ketiadaannya ketika banjir kilat yang melanda Kajang itu tidak diperbesarkan kerana dia sudah hantar pegawai khas untuk mewakilinya.

Isunya di sini ialah pengundi mahukan wakil rakyat yang mereka pilih, bukannya wakil kepada wakil rakyat tersebut.

Jika benar khabar angin Wan Azizah akan berpindah ke Parlimen Bandar Tun Razak maka beliau akan menjadi wakil rakyat yang kedua paling banyak bertukar kerusi selepas penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang telah tujuh kali berpindah kawasan pilihan raya iaitu kerusi Parlimen Bandar Melaka (1969–1974), Kota Melaka (1974–1978), Petaling Jaya, Selangor (1978–1982), Kota Melaka (1982–1986), Tanjong, Pulau Pinang (1986–1999), Ipoh Timur, Perak (2004–2013) dan Gelang Patah, Johor (sejak 2013).

Dan kali ini pun ada ura-ura Kit Siang akan bertukar kawasan lagi.

Manakala Wan Azizah pula memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1999 dan mengekalkannya pada 2004. Pada 2008, beliau sekali lagi menang di kerusi Parlimen Permatang Pauh namun Wan Azizah telah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen di kawasan berkenaan pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim hingga memaksa pilihan raya kecil diadakan.

Tindakan beliau yang melepaskan jawatan demi suaminya ketika itu, telah menyebabkan kecaman ramai kerana Wan Azizah dikatakan menjadi pemanas kerusi sahaja dan mementingkan diri.

Sekarang apa jadi kepada penduduk di Permatang Pauh? Kali ini pula tercetus spekulasi beliau akan berpindah ke Bandar Tun Razak untuk memberi peluang kepada anaknya, sama ada Nurul Izzah atau Nuha untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Parlimen Bandar Tun Razak juga dikatakan sebagai parlimen `pemanas' dan eksperimen sehingga Anwar dibebaskan dan mendapat pengampunan Diraja.

Jadi kepada penduduk di Bandar Tun Razak, janganlah beri peluang kepada pembangkang lagi pada pilihan raya akan datang. Jika benar bagai dikata, maka penghijrahan Wan Azizah hanya akan membawa kepada `penyesalan' kelak.

Tolaklah mereka yang suka melompat kerusi ini. Bagaimana seseorang wakil rakyat itu boleh berkhidmat dengan baik jika sibuk lompat kerusi. Dua kali cukuplah. Jangan biar ditipu sampai tiga kali mengundi calon yang salah.

Tulisan :
Beruang Biru
BB760, Selasa
30 Januari 2018

No comments:

Post a Comment