Selepas menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dia sendiri memilihnya sebagai pengganti, dan mengangkat Datuk Seri Najib Razak yang diharapkan menjadi lebih baik daripada Abdullah, kini Dr Mahathir secara terbuka menarik balik sokongannya kepada Najib. Hanya menarik balik sokongan sahaja setakat ini, belum lagi meminta Najib berhenti untuk digantikan dengan orang lain.
Dan setakat ini pandangan Dr Mahathir khasnya di dalam Umno-BN masih didengar dan dianggap penting. Masih berpengaruh dan berkesan. Seorang perdana menteri telah dijatuhkannya dan seorang telah dinaikkannya. Sekurang-kurangnya begitulah tanggapan umum, yang menganggapnya masih berkuasa walaupun tidak lagi memegang jawatan.
Saya tertarik menulis perkara ini bukannya kerana masih berminat dengan beliau seperti suatu masa dahulu, ketika mana saya menganjurkan suatu “Malam Puisi Panjang Untuk Mahathir” (1982), dan menulis beberapa puisi panjang untuknya serta menerbitkan sebuah buku kumpulan puisi yang semuanya ditulis untuknya atau mengenainya – “Puisi Panjang Untuk Mahathir” (1997).
Memang waktu itu Dr Mahathir dianggap pejuang yang sedang mengangkat maruah dan martabat bangsa Melayu. Golongan penulis dan budayawan juga menganggapnya begitu, dan menghormati beliau. Majlis “Malam Puisi Panjang Untuk Mahathir” yang diadakan di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 April 1982 itu mendapat sambutan hebat golongan penulis, budayawan dan cendekiawan.
Dr Mahathir pun menjadi sangat terharu melihat sambutan ramai pada malam itu, dan mendengar puisi para penyair kepadanya. Maka pertama kalilah orang ramai menyaksikan dia menjadi sebak tak dapat meneruskan ucapan, lalu duduk menahan tangisnya.




