Showing posts with label PAU 2017. Show all posts
Showing posts with label PAU 2017. Show all posts

Sunday, December 10, 2017

PENEGASAN DS NAJIB PADA PAU 2017

10 Intipati Ucapan Pengulungan Datuk Seri Najib Tun Razak, PAU2017

Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari akhir Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) menyampaikan ucapan penangguhan yang padu serta sarat dengan amanat penting untuk semua ahli UMNO sebagai bekal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ucapan Datuk Seri Najib selama 52 minit 32 saat, tamat kira-kira jam 5.30 petang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menaikkan semangat semua perwakilan untuk menghadapi pembangkang dalam pilihanraya akan datang.

Daripada ucapan Datuk Seri Najib, boleh dikupas 10 perkara menarik dan penting untuk dihayati oleh rakyat secara keseluruhannya.

1. Perhimpunan Terbaik Setakat Ini

Menurut Najib, beliau sudah terlibat mengikuti setiap perhimpunan agung UMNO sejak tahun 1976 sehingga ke hari ini. Menurutnya, dalam banyak perhimpunan yang pernah dihadiri oleh beliau, perhimpunan kali ini adalah yang terbaik pernah diadakan.

"Saya tengok pada moodnya, moodnya baik. Saya tengok pada sentimennya, sentimennya baik. Saya tengok disiplin, disiplinnya baik dan saya kagum dengan kehadiran begitu ramai yang datang daripada segenap pelusuk tanah air kita," kata Najib.

Beliau turut menghargai orang ramai yang hadir menonton ucapan beliau itu pada skrin LED di luar Dewan Merdeka yang tetap setia sepanjang perhimpunan.

"Kebanyakannya kaum-kaum ibu kita, mereka ini tidak hendak apa-apa. Mereka tak nak jadi wakil rakyat. mereka tak nak kontrak. Mereka tak nak tender terhad. Mereka ini adalah penyokong setia tegar UMNO, yang mereka nak cuma bersalaman dengan pemimpin sahaja.

"Mereka duduk bersimpuh makan nasi lemak, bersandar pada tiang dengan penuh harapan untuk melihat UMNO terus berkuasa sebagai parti pemerintah," kata Najib.

2. Isu Baitulmaqdis : Tangguh Mesyuarat Perundingan Tahunan Dengan Perdana Menteri Singapura

Najib dalam ucapannya juga menegaskan beliau berjanji akan membantah habis-habisan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang membuat keputusan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kerana ia adalah simbol kesucian umat Islam seluruh dunia.

"Saya akan hadir Persidangan Khas OIC di Istandul, Turki pada 13 hari bulan ini dalam masa beberapa hari sahaja lagi, tiga hari lalu, Presiden Erdogan telefon saya, dia minta saya hadir kerana suara Malaysia penting, dia kata," katanya.

Menurut beliau, secara kebetulan pada 13 dan 14 Disember, Najib dijadualkan menghadiri mesyuarat tahunan antara beliau dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong tetapi masalah sejagat umat Islam, ia terpaksa ditangguhkan.

"Kebetulan pada 13 dan 14 saya ada annual consutations dengan Perdana Menteri Singapura, saya telefon Perdana Menteri Singapura, Hsien Loong, saya kata 'please understand, this is an issue that affects my faith as a Muslim dan the faith of all Muslim," kata beliau.

3. Mempunyai Seorang Timbalan Yang Merupakan Sahabat Setia

Pada ucapan penangguhan beliau, Najib turut membacakan beberapa bait lagu nyanyian Datuk DJ Dave yang menceritakan tentang satu persahabatan sejati, yang menggambarkan persahabatan Najib dan de-facto Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya masih ingat pada bait-bait lagu Datuk DJ Dave, sukarnya mencari kawan yang setia yang sanggup menolong di masa kau susah, kawan sewaktu senang tak payah kau cari-cari, di mana sahaja mudah kau jumpa, kawan yang setia ibarat cahaya, menjadi penerang masa kegelapan, ia tak tergamak biarkan kau sendiri, nasibmu pasti dibela," ujar Najib.

Najib mengakui dengan adanya Ahmad Zahid yang selalu mempertahankannya selama ini, beliau yakin beliau tidak keseorangan dalam perjuangan ini untuk berdepan tekanan dan cabaran pembangkang.

4. Jangan Ambil Seseorang Dari Masa Lampau Untuk Jadi Perdana Menteri Masa Depan

Menyentuh soal bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Najib berkata ada kedengaran beliau bersedia jadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memerlukannya menjadi Perdana Menteri semula. Menurut Najib, ada pihak juga menyatakan bahawa mereka mahu Ketua Parlimen DAP jadi Perdana Menteri.

"Ada dengar-dengar pula ada orang 93 tahun minat hendak jadi Perdana Menteri balik, yang senja meniti malam, Zimbabwe pun dah tak ada, 93 tahun tuan-tuan... jadi belah situ tak menentu.

"Takkanlah kita nak letakkan masa depan negara kita antara dua ini," katanya.

Malaysia, sudah ada agenda di bawah kerajaan BN. Pembangunan yang sesuai untuk masa depan dan meletakkan seseorang yang lama tidak akan berjaya membawa Malaysia menjadi lebih baik pada masa akan datang.

5. Naik Haji Kerana Perjuangan UMNO

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata rakyat Malaysia yang dapat ke Mekah menunaikan haji dengan kuota yang semakin bertambah adalah kerana hasil pengorbanan UMNO.

"Yang dapat naik haji ni berapa orang? ramai... Tabung Haji dia buat, tapi saya yang uruskan dengan King Salman, dapat, dia tambah lagi banyak orang naik haji kerana apa, kerana perjuangan UMNO lah," ujar Najib.

6. Semua Peroleh Manfaat Dari Perjuangan

Rakyat semuanya mendapat manfaat hasil dari kerajaan, termasuklah Tok Siak, Tok Imam dan juga semua guru guru Kafa.

"Daripada tok siak, tok imam, tok bilal, guru KAFA dapat elaun khas kenapa, sebab ekonomi kita maju. Ekonomi kita bawah pimpinan UMNO mencatat kadar pertumbuhan 6.2 peratus, jadi bila hasil tambah, saya gunakan hasil tu tolong orang B40.

"Pesawah padi, pekebun kecil, nelayan, peneroka, semua dapat di bawah UMNO ini," kata Najib.

7. Pembangkang "Kucha Lana" dan Caca Marba

Menurut Najib, pakatan pembangkang kini sudah kucar kacir dan beliau menggunakan perkataan "kucha lana" dan caca marba dalam ucapannya untuk menggambarkan kerapuhan Pakatan Harapan (PH).

"Belah sana tu tak ada, kuchalana, cacamarba sekejap kata ini, besok kata lain sekejap kata dedak, lepas tu BR1M masuk pulak dalam manifesto dia, sekejap tolak GST, sekarang terima GST.

"Ini kartun tuan-tuan, ini kartun, ini bukan mentadbir negara dengan serius," kata Najib.

8. Selesaikan Masalah Di Bahagian

Presiden berkata, soal pokok yang penting sudah pun diselesaikan.

"Kita dah settle dah, soal kepimpinan dah settle, nombor satu, nombor dua dan nombor tiga semua dah settle, Datuk Hisham (Hishammuddin) dah settle, done, done deal.

"Dekat Bahagian ni pakat-pakatlah sikit, tolong pakat-pakatlah boleh tak," katanya dengan mengharapkan masalah di peringkat Bahagian dapat diselesaikan dengan rundingan sesama mereka atas dasar kekeluargaan UMNO.

9. Pulang Kembali Dengan Semangat Cinta dan Kasih Sayang Kental

Najib menyatakan pesanan kedua yang perlu dibawa kembali para perwakilan kepada Bahagian selepas selesai perhimpunan.

"Pulang kembali dengan semangat cinta dan kasih yang kental kepada parti, semangat kekeluargaan yang tinggi dalam organisasi kita, ini mesti ada pada kita," katanya.

10. Pulang dan Kembali Berjuang dan Menggempur Dengan Penuh Berani Untuk BN

Dalam pesanan terakhir, Najib mahu para perwakilan kembali dan berjuang untuk menggempur dengan penuh berani untuk BN.

"Semua momentum belah kita sekarang ini, the win is behind us, momentum belah kita. Kebanyakan pegawai kerajaan memihak belah kita, mereka ini pelaksana dasar pendukung dasar Barisan Nasional," kata Najib.

Ucapan Najib diakhiri dengan semangat para perwakilan yang begitu berkobar-kobar mahu membawa pesanan amanat itu di peringkat bawah.

Semua ahli UMNO dan orang UMNO di setiap peringkat perlu bertindak untuk realisasikan apa yang diucapkan oleh Presiden UMNO. "Pasti kita menang!!! Pasti kita menang!!!, pertahankan Putrajaya" kata Datuk Seri Najib.

Tulisan :
Beruang Biru
BB692, Sabtu
9 Disember 2017

Friday, December 8, 2017

UMNO PARTI KERAMAT

UMNO Adalah Parti Berkaromah Untuk Seluruh Rakyat Malaysia

Inilah yang disebut oleh Dato Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO, 2017 di Dewan Merdeka, PWTC.

Rangkap ke 220 hingga ke 221, Dato Seri Najib mengucapkan :

"Juga pastinya, semangat patriotisme menggunung setinggi Kinabalu oleh "Urang Urang Sabah", yang pantang seinci pun tanah Lahad Datu dirampas orang. Setinggi itulah juga, kita kembangkan layar bahtera besar parti UMNO dan Barisan Nasional menuju gerbang kemenangan"

"Seraya itu, ayuhlah, ayuhlah kita buktikan bahawa UMNO bukan sahaja untuk orang Melayu Bumiputera, tidak juga sekadar memimpin Barisan Nasional, tetapi UMNO adalah sebenar dan sesungguhnya adalah parti berkaromah untuk seluruh rakyat Malaysia"

Karomah bermakna kemuliaan dan penghormatan. UMNO adalah parti yang penuh karomah (kemuliaan dan penghormatan) bukan sahaja bagi orang Melayu Bumiputera tetapi buat semua rakyat Malaysia. Inilah faktanya.

Oleh kerana itulah, UMNO sebelum ini memang digelar dan dikenali sebagai parti keramat. Parti yang diasaskan di istana. Parti yang ada agenda yang jelas untuk bangsa dan negara. Bukannya seperti parti yang diasaskan di atas jalan, diasaskan kerana agenda peribadi dan kroni.

UMNO sebagai teras dalam Barisan Nasional sudah melaksanakan semua janji janji dalam PRU13 yang lepas kepada rakyat. Akujanji yang dibuat pada 6 April 2013, mengandungi 17 inisiatif serta 156 inisiatif strategik kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sehingga 15 November 2017, sejumlah 5,043 projek untuk rakyat sudah disiapkan atau 83.4% janji dalam PRU13 sudah dilaksanakan.

Tidak sama seperti janji yang dibuat oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor. Janji hendak hapus tol, pendidikan percuma dan rumah mampu milik gagal dilaksanakan oleh pembangkang di dua negeri tersebut.

Parti UMNO yang karomah inilah yang membantu semua rakyat yang ada di negara ini. Memberi bantuan BR1M kepada 7 orang rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Semua jenis sekolah di negara ini mendapat peruntukan projek khas bernilai RM1.07 billion melibatkan 4,931 sekolah kebangsaan, 4,225 SJK (Cina), 836 sekolah SJK (Tamil), 440 projek sekolah agama bantuan kerajaan, 1,106 sekolah agama rakyat dan 78 sekolah MRSM.

UMNO komited membantu rakyat merentasi agama dan kaum. Parti karomah inilah yang mahu dipelajari cara berpolitiknya oleh 95 orang delegasi luar negara mewakili 20 parti dari 16 buah negara.

"Keistimewaan Nabi dengan mukjizat, kelebihan umat dengan muafakat" kata Dato Seri Najib ketika ucapan tadi.

Kekuatan parti karomah adalah pada usaha dan semangat ahli yang istiqomah. Ahli UMNO perlu jadi umpama gergaji tajam yang gagah. Pulang dan perginya membawa hasil yang manfaat untuk umat sejagat.

Tulisan :
Beruang Biru
BB688, Khamis
7 Disember 2017

Tuesday, December 5, 2017

UMNO TETAP PERTAHANKAN ISLAM SAMPAI HARI KIAMAT

UMNO Adalah Benteng Terakhir Umat Islam Di Malaysia

Bermula hari ini, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 akan bermula. Seperti kebiasaannya, setiap tahun perhimpunan parti Melayu terbesar di Malaysia ini pasti menjadi tumpuan.

3.6 juta ahli UMNO seluruh negara akan menanti nanti ucapan pemimpin dan perbahasan perwakilan. Mereka yang keluar dari UMNO dan gagal buat mesyuarat cawangan pun tertunggu tunggu apa yang perwakilan akan bahaskan. Usahlah ganggu persidangan UMNO, selesaikanlah dulu mesyuarat cawangan itu dahulu.

UMNO diasaskan di Istana Besar Johor pada 11 Mei 1946 ketika Kongres Melayu Ketiga. UMNO dilahirkan di istana, bukan di tepi jalan atau bukan diasaskan kerana individu yang kecewa. UMNO diasaskan untuk agenda agama dan bangsa.

"Pada masa itu, saya masih muda dan ayahanda saya bertitah mengingatkan bangsa Melayu supaya bersatu untuk kuatkan pendirian dan pertahankan tanah air kita,''

Ketahuilah dan jangan kita lupa UMNO lahir di Istana Besar dan bukan di tepi jalan,'' titah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada 11 Mei 2006.

Selama 71 tahun, parti keramat UMNO penuh dengan tradisi dan sejarahnya. Ada yang keluar melawan UMNO tetapi akhirnya kecundang kerana apa yang dibawa adalah agenda peribadi, bukannya agenda pertiwi.

Tidak dapat dinafikan, UMNO merupakan benteng terakhir umat Islam di Malaysia. Pada saat kita berdepan dengan cabaran semasa termasuk pertambahan golongan liberal dan pluralisme di negara ini, yang sering menentang usaha-usaha memperkasakan agama Islam, UMNO sebaliknya memberikan sokongan.

Lihat sahaja kepada rang undang-undang persendirian (RUU) yang dibawa oleh PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen, UMNO telah memberikan sokongan padu.

Meskipun ada suara sumbang daripada pembangkang bahawa UMNO hanya mempermainkan PAS, namun UMNO memenuhi janjinya kepada PAS dan umat Islam.

Jika mahu diharap kepada parti-parti PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) memang episod RUU 355 akan menjadi panjang berjela. Mujur ada UMNO yang sepenuh hati memberikan sokongan demi memartabatkan mahkamah syariah.

Tidak seperti ahli DAP iaitu Zaid Ibrahim yang keras menentang tindakan pegawai pendidikan di Pahang yang mengarahkan sekolah di Kuantan mengadakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.

"Mewajibkan sesi sembahyang ini ke atas pelajar hanyalah satu lagi daripada banyak perkara bodoh pendidik kita lakukan kepada pelajar kita" kata Zaid Ibrahim dalam Free Malaysia Today pada 4 Disember 2017.

Malah lebih biadap dari itu, Zaid Ibrahim hanya menganggap solat hanya sebagai "ritual agama" semata mata. Ini contoh terbaik Melayu yang sudah rosak pemikirannya bila bersama dengan DAP.

Apa lagi yang umat Islam di negara ini mahu harapkan kalau gabungan pembangkang yang diketuai DAP ini memerintah? Banyak lagi hakisan terhadap agenda Islam akan dilakukan mereka.

Beruang Biru ada menulis sebelum ini bagaimana DAP dan pembangkang telah gugat agenda Islam di Malaysia. Baca pautan ini :

https://beruangbiru1.blogspot.my/2017/11/pembangkang-mula-gugat-kedudukan-islam.html?m=1

Malah Tan Sri Muhammad Taib yang pernah menyertai pembangkang telah mendedahkan bahawa tiada langsung agenda Islam dan bangsa dalam mesyuarat mesyuarat yang diadakan pembangkang.

Justeru, PAU 2017 ini, selain memalu gedang menuju `perang' menjelang pilihan raya umum ini, salah satu matlamat yang perlu dipegang oleh ahli-ahli UMNO adalah untuk memastikan kemenangan UMNO demi memartabatkan lagi Islam di negara ini.

Jangan biarkan pembangkang yang menguasai negara. Kita sudah tengok contoh-contoh yang ada di mana pesta arak diluluskan dan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Pihak pembangkang yang menyerang kuat Datuk Seri Najib dan UMNO adalah didalangi dibelakangnya oleh kumpulan evangelis dan "kai feng Jews". Mereka tahu hanya UMNO yang kuat dan menjadi teras dalam Barisan Nasional.

Serang Datuk Seri Najib dan UMNO bermakna melakukan serangan juga terhadap parti yang mendaulatkan syariat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Ingatlah bahawa UMNO adalah benteng terakhir umat Islam di Malaysia. Semua ahli UMNO wajib pertahankan Presiden UMNO dan parti UMNO dari diserang musuh musuh Islam ini.

Tulisan :
Beruang Biru
BB684, Selasa
5 Disember 2017

Monday, December 4, 2017

GANDINGAN NAJIB ZAHID MANTAPKAN UMNO

UMNO Kini Lebih Mantap Di Bawah Najib Dan Zahid

UMNO yang kini diterajui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebagai pemangku Timbalan Presiden UMNO berada dalam keadaan mantap dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Selepas mengharungi pelbagai cabaran daripada beberapa individu yang mahu menjatuhkan Presiden UMNO, menghancurkan parti dan menghuru harakan ahli ahli UMNO di peringkat bawah sejak pertengahan tahun 2015. Kini UMNO berada dalam keadaan yang lebih mantap, lebih kuat dan bersih sepenuhnya daripada duri dalam daging yang mahu hancurkan parti.

“Saya dengan Zahid ini sudah lama, sejak 1986 lagi, dia bukan sahaja timbalan saya yang setia tetapi sahabat yang sentiasa bersama saya dalam susah dan senang,” kata Datuk Seri Najib pada Ogos lepas.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober lepas, secara terbuka Najib memuji Ahmad Zahid sekaligus mengiktiraf beliau sebagai gandingan terkuatnya dalam mentabdir negara.

"Bertuahlah saya kerana mempunyai bukan sekadar seorang timbalan perdana menteri, tapi lebih jauh daripada itu, seorang sahabat yang setia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," kata Najib ketika ucapan bajet berkenaan.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula me­negaskan, beliau akan tetap berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghadapi setiap cabaran dan fitnah politik yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan kerajaan.

Dalam Perhimpunan Agung 2016, Datuk Seri Zahid telah menyatakan secara terbuka “wala’” atau taat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib ketika ucapan pergulungan.

"Wala' ertinya taat ... Kita sebagai perwakilan bukan sahaja di dewan (Pusat Dagangan Dunia Putra), di luar dewan, di kampung, wala' kita tidak berbelah-bahagi, wala' kita wala' yang ikhlas,"

"Presiden kita berbuat baik bukan hanya pada kita orang Islam, UMNO, Melayu tetapi beliau berbuat baik kepada semua kerana beliau adalah Perdana Menteri kepada semua rakyat di Malaysia," kata Datuk Seri Zahid.

Gandingan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menjadikan UMNO lebih mantap dan kuat dalam menghadapi ancaman pembangkang yang ketika ini diterajui oleh DAP dan parti parti yang lain. Kemas organisasi UMNO di peringkat atas, tidak bercelaru dan berselerak macam pembangkang.

Pembangkang dalam satu kapal, ada tiga nakhoda. Sampai ke hari ini, mereka masih belum selesai memilih siapa bakal Perdana Menteri, Timbalan dan barisan kabinet bayangan mereka. Masih berebut kerusi, berasa sangsi dan tidak ikhlas sesama mereka. 

Sampai ke hari ini, kita mendengar parti yang cuba meniru dan menciplak perlembagaan UMNO telah mula hilang sokongan sedikit demi sedikit. Parti bunga mula ditinggalkan oleh rakyat. Satu persatu keluar dan tinggalkan parti PPBM.

Agenda peribadi pemimpin parti bunga pula semakin jelas kelihatan. Lebih memalukan, hendak buat mesyuarat di peringkat cawangan pun masih lagi gagal sampai ke hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada 5 Disember hingga 9 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC adalah hasil daripada mesyuarat  21,800 cawangan UMNO di seluruh negara yang telah diadakan pada17 Mac hingga 30 April.

3.6 juta ahli UMNO di seluruh negara hadir dan bermesyuarat cawangan. Mereka berbincang tentang hal parti dan isu isu rakyat. Usul dan permasalahan rakyat yang dibincang dalam mesyuarat  cawangan ini dibawa ke mesyuarat UMNO Bahagian yang diadakan pada 7 Julai hingga 26 Ogos.

191 UMNO Bahagian di seluruh negara mengadakan mesyuarat. Ketiga tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri turut sama adakan mesyuarat. Masing masing memilih perwakilan untuk ke Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Ketiga tiga sayap hantar empat orang perwakilan termasuklah Ketua dan Naib. Manakala di peringkat bahagian pula memilih 7 orang perwakilan daripada peringkat bawah selain Ketua, Timbalan, Naib dan tiga ketua sayap yang layak secara automatik. 13 orang kesemuanya daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

Hampir 2,483 orang perwakilan dari bahagian ini akan berkampung di PWTC untuk bermesyuarat, membahas usul dan membahaskan isu isu rakyat untuk diperjuangkan secara bersama. Membawa bersama harapan dan aspirasi semua 3.6 juta ahli ahli UMNO di peringkat cawangan ke PWTC.

Inilah cara UMNO mengadakan mesyuarat sejak 71 tahun yang lalu. Kemas dan tersusun organisasinya. Dalam kalangan negara Islam, ramai yang menghantar pemerhati dan perwakilan untuk mengkaji dan belajar dari UMNO. Mahu mengetahui dan mempelajari bagaimana parti yang paling lama menguasai kerajaan ini mampu meneruskan kesinambungan untuk membela nasib bangsa, agama dan tanahair.

Di saat satu persatu negara negara Islam lain di Timur Tengah dan Afrika Utara dilanda ketidakstabilan ekonomi dan politik, Malaysia masih berdiri kukuh di Asia Timur untuk memelihat syariat Islam.

Biarpun diserang setiap hari dengan isu isu ekonomi oleh pembangkang dan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia, namun Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid mampu harungi ombak ranjau ekonomi ini dengan baik. KDNK pada kadar 6.2% adalah yang terbaik di dunia, malah kedudukan ringgit makin mengukuh pada RM4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Biarpun diserang dengan isu isu politik oleh seorang bekas Perdana Menteri, dua orang bekas Timbalan Perdana Menteri, seorang diktator DAP, dua orang Menteri Besar namun bahtera UMNO yang dikemudi oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid tetap kekal belayar kuat mengharungi semua cabaran ini dengan jayanya. Malah kapal pembangkang yang menyerang itu pula nampaknya semakin kacau bilau dan lintang pukang. Kapal itu diserang oleh orang mereka sendiri. Sudah ramai yang terjun ke laut menyelamatkan diri.

Bahtera UMNO yang dinakhoda oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid terus mara dengan kuat dan mantap. Inilah gandingan terbaik untuk UMNO dan rakyat Malaysia.

Tulisan :
Beruang Biru
BB683, Isnin
4 Disember 2017.