Monday, December 4, 2017

GANDINGAN NAJIB ZAHID MANTAPKAN UMNO

UMNO Kini Lebih Mantap Di Bawah Najib Dan Zahid

UMNO yang kini diterajui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebagai pemangku Timbalan Presiden UMNO berada dalam keadaan mantap dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Selepas mengharungi pelbagai cabaran daripada beberapa individu yang mahu menjatuhkan Presiden UMNO, menghancurkan parti dan menghuru harakan ahli ahli UMNO di peringkat bawah sejak pertengahan tahun 2015. Kini UMNO berada dalam keadaan yang lebih mantap, lebih kuat dan bersih sepenuhnya daripada duri dalam daging yang mahu hancurkan parti.

“Saya dengan Zahid ini sudah lama, sejak 1986 lagi, dia bukan sahaja timbalan saya yang setia tetapi sahabat yang sentiasa bersama saya dalam susah dan senang,” kata Datuk Seri Najib pada Ogos lepas.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober lepas, secara terbuka Najib memuji Ahmad Zahid sekaligus mengiktiraf beliau sebagai gandingan terkuatnya dalam mentabdir negara.

"Bertuahlah saya kerana mempunyai bukan sekadar seorang timbalan perdana menteri, tapi lebih jauh daripada itu, seorang sahabat yang setia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," kata Najib ketika ucapan bajet berkenaan.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula me­negaskan, beliau akan tetap berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghadapi setiap cabaran dan fitnah politik yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan kerajaan.

Dalam Perhimpunan Agung 2016, Datuk Seri Zahid telah menyatakan secara terbuka “wala’” atau taat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib ketika ucapan pergulungan.

"Wala' ertinya taat ... Kita sebagai perwakilan bukan sahaja di dewan (Pusat Dagangan Dunia Putra), di luar dewan, di kampung, wala' kita tidak berbelah-bahagi, wala' kita wala' yang ikhlas,"

"Presiden kita berbuat baik bukan hanya pada kita orang Islam, UMNO, Melayu tetapi beliau berbuat baik kepada semua kerana beliau adalah Perdana Menteri kepada semua rakyat di Malaysia," kata Datuk Seri Zahid.

Gandingan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menjadikan UMNO lebih mantap dan kuat dalam menghadapi ancaman pembangkang yang ketika ini diterajui oleh DAP dan parti parti yang lain. Kemas organisasi UMNO di peringkat atas, tidak bercelaru dan berselerak macam pembangkang.

Pembangkang dalam satu kapal, ada tiga nakhoda. Sampai ke hari ini, mereka masih belum selesai memilih siapa bakal Perdana Menteri, Timbalan dan barisan kabinet bayangan mereka. Masih berebut kerusi, berasa sangsi dan tidak ikhlas sesama mereka. 

Sampai ke hari ini, kita mendengar parti yang cuba meniru dan menciplak perlembagaan UMNO telah mula hilang sokongan sedikit demi sedikit. Parti bunga mula ditinggalkan oleh rakyat. Satu persatu keluar dan tinggalkan parti PPBM.

Agenda peribadi pemimpin parti bunga pula semakin jelas kelihatan. Lebih memalukan, hendak buat mesyuarat di peringkat cawangan pun masih lagi gagal sampai ke hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada 5 Disember hingga 9 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC adalah hasil daripada mesyuarat  21,800 cawangan UMNO di seluruh negara yang telah diadakan pada17 Mac hingga 30 April.

3.6 juta ahli UMNO di seluruh negara hadir dan bermesyuarat cawangan. Mereka berbincang tentang hal parti dan isu isu rakyat. Usul dan permasalahan rakyat yang dibincang dalam mesyuarat  cawangan ini dibawa ke mesyuarat UMNO Bahagian yang diadakan pada 7 Julai hingga 26 Ogos.

191 UMNO Bahagian di seluruh negara mengadakan mesyuarat. Ketiga tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri turut sama adakan mesyuarat. Masing masing memilih perwakilan untuk ke Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Ketiga tiga sayap hantar empat orang perwakilan termasuklah Ketua dan Naib. Manakala di peringkat bahagian pula memilih 7 orang perwakilan daripada peringkat bawah selain Ketua, Timbalan, Naib dan tiga ketua sayap yang layak secara automatik. 13 orang kesemuanya daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

Hampir 2,483 orang perwakilan dari bahagian ini akan berkampung di PWTC untuk bermesyuarat, membahas usul dan membahaskan isu isu rakyat untuk diperjuangkan secara bersama. Membawa bersama harapan dan aspirasi semua 3.6 juta ahli ahli UMNO di peringkat cawangan ke PWTC.

Inilah cara UMNO mengadakan mesyuarat sejak 71 tahun yang lalu. Kemas dan tersusun organisasinya. Dalam kalangan negara Islam, ramai yang menghantar pemerhati dan perwakilan untuk mengkaji dan belajar dari UMNO. Mahu mengetahui dan mempelajari bagaimana parti yang paling lama menguasai kerajaan ini mampu meneruskan kesinambungan untuk membela nasib bangsa, agama dan tanahair.

Di saat satu persatu negara negara Islam lain di Timur Tengah dan Afrika Utara dilanda ketidakstabilan ekonomi dan politik, Malaysia masih berdiri kukuh di Asia Timur untuk memelihat syariat Islam.

Biarpun diserang setiap hari dengan isu isu ekonomi oleh pembangkang dan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia, namun Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid mampu harungi ombak ranjau ekonomi ini dengan baik. KDNK pada kadar 6.2% adalah yang terbaik di dunia, malah kedudukan ringgit makin mengukuh pada RM4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Biarpun diserang dengan isu isu politik oleh seorang bekas Perdana Menteri, dua orang bekas Timbalan Perdana Menteri, seorang diktator DAP, dua orang Menteri Besar namun bahtera UMNO yang dikemudi oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid tetap kekal belayar kuat mengharungi semua cabaran ini dengan jayanya. Malah kapal pembangkang yang menyerang itu pula nampaknya semakin kacau bilau dan lintang pukang. Kapal itu diserang oleh orang mereka sendiri. Sudah ramai yang terjun ke laut menyelamatkan diri.

Bahtera UMNO yang dinakhoda oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid terus mara dengan kuat dan mantap. Inilah gandingan terbaik untuk UMNO dan rakyat Malaysia.

Tulisan :
Beruang Biru
BB683, Isnin
4 Disember 2017.

No comments:

Post a Comment