Putrajaya lepaskan hutang jutawan tapi ‘dera’ peminjam PTPTN, kata Anwar
Putrajaya lebih gemar membebaskan penghutang dari kalangan jutawan tanpa sebarang tindakan, sebaliknya mengejar peminjam pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, kerajaan sepatutnya membantu peminjam PTPTN yang miskin meneruskan pengajian mereka.
"Bukan main kuat hujahan kita bila orang kecil berhutang, tetapi lupus hutang (peniaga karpet) Deepak Jaikishan, 1MDB, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Perwaja tak bangkit," kata Anwar di lobi Parlimen hari ini.
"Saya minta supaya ada ketelusan dan konsistensi dan jangan kita anggap mudah dera rakyat yang tidak berupaya untuk berhujah," katanya.
Anwar melahirkan kekesalan kerana penghutang dari kalangan jutawan dibiarkan sedangkan hadis mengatakan hutang mesti dibayar sebelum meninggal dunia.
"Saya dukacita kerana hutang 1MDB, hutang Deepak, hutang perwaja, hutang yang maha kaya tidak jadi masalah.
"Tetapi hutang anak-anak muda yang berhutang PTPTN yang menjadi perkara pokok, bawa habis tidak terampun dosanya," katanya.
Anwar turut membangkitkan persoalan berhutang dalam sistem negara yang tidak adil.
"Saya miskin tetapi saya nak belajar, saya tidak ada pilihan melainkan berhutang padahal tanggungjawab pemerintah membantu... ada pertimbangan yang dibuat harus diberikan di situ dan tidak semudah itu.





