Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan yang dicapai PKR dan DAP malam tadi untuk menghantar hanya satu nama saja untuk dilantik menjadi menteri besar Selangor dan berharap PAS juga akan berbuat demikian.
"Dalam semangat Pakatan, ini adalah kerusi PKR dan keputusannya, kita perlu hormati kerjasama ini dan PAS menyertai proses membuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan pada 17 Ogos," katanya kepada wartawan di perkarangan mahkamah selepas perbicaraan saman fitnahnya terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika mengulas keputusan PKR dan DAP semalam yang tetap mencalonkan satu nama iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor walaupun Sultan Selangor menitahkan setiap parti mencalonkan lebih dua nama.
Anwar berkata, pendekatan ini yang diambil selepas pilihan raya umum tahun lalu apabila Sultan meminta 4 nama namun hanya satu nama yang dicalonkan iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Anwar berkata, PKR berhak untuk dihormati sebagaimana PKR tidak pernah mempertikaikan isu calon MB PAS di Kedah, Perak dan Kelantan.
Anwar berkata, penting untuk ditegaskan semua isu yang berkaitan dipertimbang dan dibincangkan dalam mesyuarat pada 17 Ogos yang kemudiannya satu nama diluluskan.
"Kita sedar ada perbezaan pendapat antara 2 nama dengan satu nama dan juga tentang mengesahkan satu nama dan mengambil kira satu nama lain.
"Kedudukan Azmin sudah dibawa tetapi kita perlu menghormati keputusannya, beliau mematuhi keputusan parti dan menandatangani kenyataan bersumpah (SD) untuk menyokong Wan Azizah," katanya merujuk kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Pada 17 Ogos, Majlis Presiden Pakatan mengumumkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk menggantikan Khalid yang dipecat daripada PKR pada 9 Ogos kerana melanggar keputusan partinya agar meletakkan jawatan.
Tetapi beberapa pemimpin PAS tidak senang dengan keputusan itu dan merasakan calon kedua diperlukan jika istana menolak pencalonan Dr Wan Azizah.
Parti Islam itu pada awalnya mencadangkan dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Azmin sebagai calon.
Namun Azmin terikat dengan keputusan partinya yang hanya mencalonkan Dr Wan Azizah.
Anwar sebelum ini mengesahkan surat mencalonkan isterinya Dr Wan Azizah untuk jawatan MB sudah diserahkan kepada istana dan ditandatanganinya sendiri bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Bagaimanapun Khalid pada sidang medianya semalam berkata, surat Dr Wan azizah atau pencalonannya sebagai MB tidak berbangkit dalam pertemuannya dengan Sultan Selangor semalam.
Khalid berkata, Sultan mahu pemimpin PAS, DAP dan PKR masing-masing menghantar sekurang-kurangnya 3 nama untuk dipertimbangkan.
Semalam Khalid menyerahkan surat peletakan jawatannya namun diminta terus bertugas selagi penggantinya tidak dilantik. – 27 Ogos, 2014.