Wednesday, October 27, 2010

Guru j-QAF tak jujur laksana tanggung jawab?

Utusan Malaysia 27 Oktober 2010

Guru j-QAF tak jujur laksana tanggung jawab?

SAYA ingin memberi sedikit pandangan berkaitan program j-QAF tujuan memberi nasihat kepada ustaz dan ustazah program tersebut. Mengikut sejarah penubuhan j-QAF yang telah diumumkan oleh bekas Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, j-QAF bertujuan memastikan semua murid beragama Islam di sekolah rendah seluruh negara wajib belajar Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain.

Di satu pihak, seluruh umat Islam menyambut baik pengumuman tersebut kerana intipati j-QAF jelas ke arah peningkatan ilmu agama bagi generasi muda. Di satu pihak lagi, iaitu graduan bidang agama terutama lepasan universiti dari Timur Tengah, program j-QAF merupakan rezeki yang datang bergolek kerana beribu-ribu pelajar yang menganggur telah berjaya menjadi guru j-QAF!

Bagi memastikan kejayaan program ini, guru-guru j-QAF diberi tangga gaji istimewa dan layanan istimewa iaitu tidak boleh memegang apa-apa jawatan di sekolah selain mengajar.

Dengan kaedah ini, maka bermulalah satu keadaan di sekolah-sekolah kebangsaan di mana guru-guru j-QAF berkurung di dalam kelompok mereka di dalam dunianya yang tersendiri, langsung tidak berinteraksi dengan guru-guru lain.

Mereka tidak melibatkan diri di dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan sekolah atas alasan mereka tidak boleh memegang apa-apa jawatan. Namun atas kepentingan agama, guru-guru lain masih dapat menerimanya.

Untuk memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti, ustaz dan ustazah ini dipertanggungjawabkan dengan bilangan pelajar yang kecil. Namun malangnya terdapat sesetengah ustaz dan ustazah berkonspirasi mewujudkan kelas gabung.

Contohnya, di sekolah yang mempunyai tiga orang guru j-QAF, sepatutnya untuk setiap sesi pembelajaran harus ada tiga kelas yang melibatkan tiga kumpulan kecil murid oleh tiga guru j-QAF.

Namun apa yang berlaku di sesetengah sekolah, guru-guru j-QAF telah berkonspirasi dengan menggabungkan tiga kelas menjadi satu kelas pembelajaran yang di kendalikan oleh hanya seorang guru j-QAF sahaja! Hal ini bermakna dua orang guru j-QAF lagi boleh berehat!

Tindakan guru-guru j-QAF ini bolehlah diiktiraf sebagai 'bijak' kerana mengoptimumkan sepenuhnya tenaga dan masa. Namun dari segi kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang disampaikan boleh dipertikaikan kerana tujuan kelas j-QAF diadakan dalam bilangan pelajar yang kecil jelas untuk mendapatkan kualiti P&P yang terbaik. Namun tindakan 'bijak' sesetengah guru-guru j-QAF ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang beriman.

Jika inilah sikap guru-guru Melayu yang beragama Islam, lebih-lebih lagi mereka yang bergelar ustaz dan ustazah berkonspirasi mendidik anak bangsa, ia amat dikesali.

Mereka tidak perlu berteriak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib mereka yang suatu ketika dulu hanya mendapat tempat di sekolah-sekolah agama rakyat dengan pendapatan RM400 hingga RM600 sebulan.

Apa yang dituntut oleh ibu bapa ialah dedikasi ustaz dan ustazah dalam mencorakkan pelajar-pelajar Islam menjadi seorang yang beriman agar halal setiap sen gaji yang mereka terima!

SEKADAR NASIHAT

Alor Setar, Kedah

Monday, October 18, 2010

Majlis Peguam perlu siasat Latheefa dan Saiful Izham

Majlis Peguam perlu siasat Latheefa dan Saiful Izham
Utusan Malaysia 18 Oktober 2010

SAYA sekadar ingin menasihati Majlis Peguam agar segera mengambil tindakan yang tegas ke atas dua ahli kesatuannya iaitu Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli demi kebaikan mereka. Hal ini ekoran tuduhan oleh Rahimi Osman dan terbaru Mohd. Rasid Mohd. Rosdi bahawa kedua-dua peguam terbabit telah memaksa mereka melakukan akuan bersumpah palsu.

Tuduhan Rahimi Osman dan Mohd. Rasid Mohd. Rosdi tersebut adalah berat sekali kerana ia akan menjejas integriti institusi guaman Malaysia.

Justeru sebaik-baiknya Majlis Peguam terlebih dahulu melakukan siasatan dalaman akan kebenaran tuduhan tersebut kerana walaupun majoriti masyarakat negara ini buta undang-undang, tetapi mereka masih dapat menilai antara tipu muslihat, fitnah, konspirasi atau sebagainya, tambahan pula kebelakangan ini banyak kes jenayah dan penipuan yang melibatkan peguam!

Tindakan segera Majlis Peguam melakukan siasatan sendiri pasti akan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap badan itu. Atau Majlis Peguam akan menghadapi kesulitan yang besar sekiranya Ahli Parlimen pembangkang dapat menghidu isu ini dan mengambil kesempatan mensensasikannya!

Ahli-ahli Parlimen Pembangkang terutamanya Lim Kit Siang pasti akan mendesak agar tindakan tegas segera diambil terhadap kedua-dua peguam yang belum didapati bersalah itu sebagaimana desakan beliau agar tindakan tegas perlu segera dikenakan terhadap dua orang pendidik Melayu yang masih disiasat tetapi telah dicop sebagai rasis dan bersalah!

Majlis Peguam harus bertindak secepat mungkin agar nasib dua ahlinya itu tidak mengalami nasib malang yang sama seperti dua pendidik Melayu tersebut.

Sehingga saat pendapat ini ditulis, rasanya Lim Kit Siang masih belum menghentam Majlis Peguam dan kedua-dua peguam tersebut kerana masih tiada sebarang rencana berkaitan akuan bersumpah palsu dalam blog beliau.

Mungkin Lim Kit Siang terlepas pandang akan isu ini dan seharusnya Majlis Peguam terusan berdoa agar hidung Lim Kit Siang terus tersumbat dan gagal menghidu isu ini.

Justeru tiada sebarang serangan terhadap kedua-dua peguam malang tersebut dan seterusnya menyelamatkan Majlis Peguam dari menjadi mangsa kejian dan cemuhan Lim Kit Siang dan lain-lain pejuang keadilan di negara ini!

NORHISYAM BIN MOHAMAD

Kuala Kedah

Thursday, October 14, 2010

‘Kedah Sejahtera’ tak tepat

Berita Harian 2010/10/13

SYARIKAT Air Darul Aman (SADA) yang ditubuhkan PAS sejak menerajui Kedah, baru-baru ini mengumumkan kenaikan tarif air 25 dan 44 peratus bagi kegunaan domestik, membabitkan 457,707 atau 90 peratus pemegang akaun di Kedah.

Slogan 'Kedah Sejahtera' tidak menepati dengan kenaikan tarif air itu dan ia ditolak oleh pelbagai pihak termasuk penyokong PAS sendiri yang membantah keras tindakan SADA kerana menyifatkan langkah itu hanya memberi tekanan ekonomi kepada penduduk.

Bagaimanapun, kerajaan PAS Kedah bijak menepis desakan rakyat dengan menyalahkan kerajaan negeri terdahulu berhubung kenaikan tarif air di negeri itu. Tindakan mereka tak bertanggungjawab.

NORHISYAM MOHAMAD,
Pergerakan Pemuda Umno Kuala Kedah

Saturday, October 2, 2010

SIAPA SEBENARNYA RASIS?

Utusan Malaysia 2.10.2010

SIAPA SEBENARNYA RASIS?

DALAM isu Namewee yang menghasilkan klip video perkauman dan tiga remaja Cina yang melakukan khianat terhadap sebuah surau, Lim Kit Siang gagal memberikan reaksi proaktifnya. Beliau bukan hanya gagal mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap mereka, sebaliknya membela pula mereka terlibat sebagai mangsa provokasi perkauman.

Sebenarnya, kita semua faham bahawa Namewee dan tiga remaja Cina tersebut adalah sekaum dengan Kit Siang. Itulah puncanya pemimpin DAP itu terang-terangan membela mereka walaupun secara dasarnya bukti jelas menunjukkan mereka bersalah!

Sebaliknya, kes yang melibatkan pengetua-pengetua Melayu hanyalah sekadar dengar cakap dan masih belum dibuktikan, tetapi disebabkan mereka adalah tertuduh Melayu yang beragama Islam, langsung Kit Siang menjatuhkan hukuman bersalah sehingga mendesak Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran mengenakan tindakan ke atas pengetua dan guru terbabit.

Pemimpin seperti inilah yang merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini. Namun, yang peliknya masih ramai orang Melayu terutama penyokong Pas amat menyanjunginya.

NORHISYAM MOHAMAD

Kuala Kedah