Thailand kembali tegang
BANGKOK 9 Mei - Lebih 10,000 penunjuk perasaan anti-kerajaan kembali membanjiri jalan raya di ibu negara ini, hari ini dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan sementara yang dibentuk selepas Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Yingluck Shinawatra sebagai Perdana Menteri, kelmarin.
Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan selepas mereka cuba memasuki perkarangan bangunan kerajaan, sekali gus membayangkan keputusan mahkamah masih tidak dapat meredakan ketegangan di Thailand.
Sebanyak lima orang dilaporkan cedera di Pusat Pentadbiran bagi Keamanan dan Perintah, pusat pemerintah keselamatan kerajaan selepas mereka cuba menurunkan pagar kawat berduri konkrit di luar bangunan tersebut.
Pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan, Suthep Thaugsuban kemudian memberi amaran bahawa mereka akan bertindak balas sekiranya tuntutan mereka supaya kerajaan sementara berundur dalam masa tiga hari tidak ditunaikan.
Berlaku kesesakan lalu lintas di Bangkok ekoran tindakan penunjuk perasaan mara ke bangunan-bangunan kerajaan, pejabat Perdana Menteri dan mengelilingi beberapa stesen televisyen di Bangkok.
Mereka turut meminta pihak stesen televisyen supaya berhenti menyiarkan berita tentang kerajaan dan hanya menyiarkan pengumuman-pengumuman oleh penunjuk perasaan.
Kami tidak akan menjejaskan program-program secara harian, namun bila masa kami perlu bercakap kepada rakyat di seluruh negara, kami mahu anda siarkannya secara langsung,'' kata Suthep.
Parti yang diwakili Yingluck, Parti Puea Thai masih menerajui kerajaan sementara dan berharap mereka akan dapat mengadakan pilihan raya umum pada 20 Julai ini, yang dijangka dimenangi oleh parti itu.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan mahu kerajaan sementara berundur dengan pilihan raya itu ditangguhkan, manakala pembaharuan dilakukan bagi mengakhiri pengaruh abang Yingluck yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.
Kami akan membersihkan rejim Thaksin keluar dari negara ini," kata Suthep, bekas Timbalan Perdana Menteri semasa kerajaan yang ditadbir oleh Parti Demokrat.
Sementara itu, portal Bangkok Post melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan sementara Thailand pada Rabu ini bagi membincangkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya pada 20 Julai ini. - AGENSI/REUTERS
No comments:
Post a Comment