Pengguna media sosial hari ini mengecam Laura Bushney, seorang wanita warga Australia yang mendakwa diraba ketua pramugara Malaysia Airlines (MAS) ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos lalu.
Menerusi ruangan komen di laman Facebook Sunday Night, program terbitan Channel 7 televisyen Australia, ramai melahirkan keraguan berhubung pengakuan Bushney kerana dia mendakwa dia sempat merakam perbuatan itu melalui telefon bimbitnya.
“Betul-betul merepek. Dia lakukannya kerana satu perkara saja. Wang. Selain merosakkan reputasi orang yang tidak bersalah,” kata Jessica Greenhill diikuti lebih 300 komen lain.
Bushney, 26, dalam wawancara bersama Sunday Night berkata, ketua pramugara MAS itu merayu kepadanya supaya tidak melaporkan insiden tersebut kepada pihak berkuasa kerana bimbang diketahui isteri dan anak-anak.
Katanya, anak kapal MAS itu cuba mengambil kesempatan atas perasaan takutnya ketika terbang dengan MAS berikutan insiden pesawat MH370 dan MH17, lalu dia duduk di sebelahnya sambil mengurut kakinya dengan alasan cuba menenangkannya.
Bushney memberitahu, lelaki itu kemudian memasukkan tangannya ke dalam seluarnya sambil meraba kemaluannya.
Katanya dia terkejut waktu itu dan terfikir-fikir kemudiannya: "Mengapa saya tidak jerit, mengapa saya tidak berteriak?
"Saya seorang yang tabah. Saya boleh lakukannya. Saya tahu saya boleh. Tetapi waktu itu saya terlalu takut untuk berbuat apa-apa."

