Majlis Peguam perlu siasat Latheefa dan Saiful Izham
Utusan Malaysia 18 Oktober 2010
SAYA sekadar ingin menasihati Majlis Peguam agar segera mengambil tindakan yang tegas ke atas dua ahli kesatuannya iaitu Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli demi kebaikan mereka. Hal ini ekoran tuduhan oleh Rahimi Osman dan terbaru Mohd. Rasid Mohd. Rosdi bahawa kedua-dua peguam terbabit telah memaksa mereka melakukan akuan bersumpah palsu.
Tuduhan Rahimi Osman dan Mohd. Rasid Mohd. Rosdi tersebut adalah berat sekali kerana ia akan menjejas integriti institusi guaman Malaysia.
Justeru sebaik-baiknya Majlis Peguam terlebih dahulu melakukan siasatan dalaman akan kebenaran tuduhan tersebut kerana walaupun majoriti masyarakat negara ini buta undang-undang, tetapi mereka masih dapat menilai antara tipu muslihat, fitnah, konspirasi atau sebagainya, tambahan pula kebelakangan ini banyak kes jenayah dan penipuan yang melibatkan peguam!
Tindakan segera Majlis Peguam melakukan siasatan sendiri pasti akan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap badan itu. Atau Majlis Peguam akan menghadapi kesulitan yang besar sekiranya Ahli Parlimen pembangkang dapat menghidu isu ini dan mengambil kesempatan mensensasikannya!
Ahli-ahli Parlimen Pembangkang terutamanya Lim Kit Siang pasti akan mendesak agar tindakan tegas segera diambil terhadap kedua-dua peguam yang belum didapati bersalah itu sebagaimana desakan beliau agar tindakan tegas perlu segera dikenakan terhadap dua orang pendidik Melayu yang masih disiasat tetapi telah dicop sebagai rasis dan bersalah!
Majlis Peguam harus bertindak secepat mungkin agar nasib dua ahlinya itu tidak mengalami nasib malang yang sama seperti dua pendidik Melayu tersebut.
Sehingga saat pendapat ini ditulis, rasanya Lim Kit Siang masih belum menghentam Majlis Peguam dan kedua-dua peguam tersebut kerana masih tiada sebarang rencana berkaitan akuan bersumpah palsu dalam blog beliau.
Mungkin Lim Kit Siang terlepas pandang akan isu ini dan seharusnya Majlis Peguam terusan berdoa agar hidung Lim Kit Siang terus tersumbat dan gagal menghidu isu ini.
Justeru tiada sebarang serangan terhadap kedua-dua peguam malang tersebut dan seterusnya menyelamatkan Majlis Peguam dari menjadi mangsa kejian dan cemuhan Lim Kit Siang dan lain-lain pejuang keadilan di negara ini!
NORHISYAM BIN MOHAMAD
Kuala Kedah
No comments:
Post a Comment