KISAH 1 : Lazatnya beribadah dalam Kaabah
Oleh DUSUKI AHMAD
AIR mata saya menitis, sayu, sedih dan hiba ketika melihat Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad merapat kemas mukanya ke multazam pintu Kaabah. Tidaklah diketahui apa yang beliau berdoa dan bermunajat. Tetapi yang jelasnya beliau amat bersyahdu.
Beliau, isterinya Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan beberapa orang pegawai pengiring baru saja selesai sembahyang isyak berjemaah, kemudian dibawa tawaf qudum/umrah dengan diiringi oleh ramai tentera kerajaan Arab Saudi.
Kebetulan malam itu - 21 Oktober 2002 - ialah malam Nisfu Syaaban. Kira-kira pukul 11 malam, rombongan Dr. Mahathir dibawa masuk ke dalam Kaabah. Lama juga beliau berada di dalamnya sehingga sempatlah beliau menunaikan sembahyang sunat pada empat penjuru Kaabah itu.
Saya merasai sayu dan hiba kerana dua tiga hari sebelum ini ketika berada di Riyadh dan di Jeddah, saya ditanya oleh ramai tokoh cendekiawan Islam tentang sebab-sebab mengapa Dr. Mahathir tidak bercadang lagi untuk menyambung perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.
Mereka hairan bagaimana seorang pemimpin yang amat dihormati seperti Dr. Mahathir yang telah membuktikan kejayaan dalam pelbagai bidang telah membuat ketetapan untuk mengakhiri perkhidmatannya pada Oktober 2003.
Sikap seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara-negara Islam. Lebih-lebih lagi katanya, ``Umat Islam hari ini amat memerlukan pimpinan tokoh besar yang berwibawa seperti Dr. Mahathir, ketika nasib negara-negara Islam tidak menentu dan umatnya pula semacam mengambil sikap untuk tidak bersatu.''
Saya hanya menjawab pendek, ``Hanya Dr. Mahathir dan Allah yang mengetahui.''
Mereka tidak senang dengan jawapan itu. Mereka mahu sebab-sebab yang khusus. ``Seorang yang mendapat kurniaan Allah sebagai pemimpin yang berwibawa, dia harus amanah dan bertanggungjawab kepada orang ramai. Dia juga tidak boleh membiarkan pengikut-pengikutnya, rakyatnya dan negaranya kehilangan pemimpin.''
Saya memberi penjelasan, ``Kerana amanah dan tanggungjawablah maka Malaysia hari ini adalah negara paling aman dan selamat di rantau Asia dan Pasifik. Pentadbirannya baik, rakyatnya gembira, ekonominya kukuh dan politiknya stabil. Bahkan kita tidak ada masalah besar selain daripada penghijrahan haram kira-kira dua juta rakyat negara-negara jiran yang ingin menumpang hidup di Malaysia kerana tidak selesa di negara sendiri.
``Dan hari ini Dr. Mahathir sudah berjaya memastikan penggantinya dan menamakan seorang tokoh yang dapat menyambung dan menyempurnakan misi dan visinya.''
Beliau setuju dengan pandangan saya dan menegaskan, ``Dr. Mahathir adalah contoh mithali pemimpin Islam pada abad ini. Dan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang paling subur untuk dakwah, pembangunan ummah dan penyebaran syiar Islam.''
Kehadiran Dr. Mahathir ke negara Arab Saudi pada 21 Oktober lalu adalah atas jemputan Putera Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri pertama Arab Saudi. Dr. Mahathir dijemput memberi ucapan tentang pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekonomi.
Tiba di Riyadh pada Sabtu 19 Oktober, Perdana Menteri disambut oleh Raja Salman bin Abdul Aziz, Gabenor Riyadh. Pada hari yang sama beliau diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada seminar yang bertemakan Wawasan Ekonomi Arab Saudi Sehingga Tahun 2020.
Seperti biasa, ucapannya mendapat sambutan luar biasa. Beliau memberi rangsangan masa depan negara Arab Saudi yang cemerlang dan gemilang. Katanya, Arab Saudi mampu menjadi kuasa besar dunia yang dapat menaungi umat Islam sejagat dan menjadi tempat berteduh negara-negara Islam yang ditindas.
Kadar pengeluaran minyak Arab Saudi sekarang adalah berjumlah 10 juta tong sehari yang memberikan hasil RM760 juta sehari atau RM277 bilion setahun. Dianggarkan kadar pengeluaran minyak Arab Saudi sekarang boleh bertahan selama 200 tahun lagi.
Beliau menyarankan supaya Arab Saudi menguasai bidang-bidang utama pengeluaran perindustrian, kewangan dan teknologi. Padang pasir dan bukit boleh disuburkan dengan tanaman melalui pengairan yang saintifik.
Beliau menegaskan bahawa pendapatan per kapita yang tinggi dan taraf hidup yang baik belum bermakna mencapai kemajuan jika sumber manusia tidak dapat dieksploitasi sepenuhnya.
Beliau mahu melihat Arab Saudi bukan saja menjual minyak mentah semata-mata, tetapi mencari jalan agar wujud nilai tambah yang maksimum kepada sumber minyak yang ada itu. Katanya, ``Minyak itu boleh diolah dan digarap menjadi barangan lain dan boleh dijual secara runcitan seperti yang dilakukan oleh syarikat-syarikat petroleum Shell, Mobil dan lain-lain. Harga runcitan tidak pernah jatuh walaupun ketika harga minyak mentah merudum.''
Ketika di Riyadh, Dr. Mahathir dikunjungi oleh Putera Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud yang juga Perdana Menteri Pertama dan Putera Sultan bin Abdul Aziz al-Saud, Perdana Menteri Kedua yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi. Beliau juga mengunjungi Raja al-Malik Fahad bin Abdul Aziz as-Saud, raja bagi kerajaan Arab Saudi.
Pada hari kedua rombongan dibawa ke Jeddah dengan pesawat khas yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi. Di Jeddah juga Dr. Mahathir menemui ahli-ahli perniagaan dan kemudiannya dijemput ke rumah Syaikh Salleh Kamil di kawasan pembangunan yang indah di pinggir Jeddah yang diberi nama Durrah Al-Arus.
Ramai tokoh korporat dan ulama saya temui pada majlis-majlis bersama Dr. Mahathir sepanjang lawatan ke Arab Saudi. Setelah melihat sendiri air muka Dr. Mahathir dan mendengar sendiri ucapannya, maka seorang sahabat telah membisik ke telinga saya, ``Aktivis-aktivis Islam dan pendakwah hendaklah belajar daripada pengalaman yang lalu. Mengambil sikap bermusuh dengan pemerintah tidak akan memberi apa-apa faedah.''
Dikatakan ramai yang membenci Dr. Mahathir, tetapi berganda ramai yang menyanjunginya. Kerana itulah beliau mampu menjadi Perdana Menteri melebihi 20 tahun.
Mungkin beliau tidak popular bagi sesetengah orang. Apakah kerana adanya golongan tertentu yang hari-hari mencipta fitnah terhadapnya, lalu dianggapnya buruk belaka.
Siapakah pemimpin-pemimpin dunia dalam sejarah yang bersih daripada fitnah dan suci daripada pembenci? Bahkan makin tinggi dan mulia darjat kepimpinan seseorang itu maka bertambah subur fitnah terhadapnya dan bertambah biak golongan yang memusuhinya.
Sahabat yang berkenaan juga telah menegaskan kepada saya bahawa kesedaran Islam yang tinggi dan semangat juang yang kuat haruslah seiring dengan kefahaman yang sebenar.
Beliau menegaskan bahawa tamadun Islam tidak seharusnya berkisar dalam rangka bernostalgia dengan kehebatan lampau, tetapi haruslah mengambil kira kesesuaian masa kini dan masa depan.
Pada petangnya rombongan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah dibawa ke Mekah al-Mukarramah untuk menunaikan umrah. Pada malamnya mereka diberi kesempatan memasuki Kaabah. Sudah tentu mereka yang berkesempatan memasuki Kaabah itu merasai indah dan lazatnya berada dalam Kaabah. Hanya Allah yang mengetahui tentang kenikmatan itu.
- Datuk Dusuki Ahmad ialah mantan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri. Beliau adalah cucunda kepada ulama terkenal Kelantan, Tok Selehor
KISAH 2
DATUK Seri Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin negara yang pernah dibenarkan pihak berkuasa Arab Saudi memasuki Kaabah ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah Al Mukarramah pada 1993.
"Perdana Menteri mengerjakan solat dalam rumah Allah itu dan turut berdoa tetapi apa yang didoakan beliau, tiada siapa tahu," cerita bekas pegawai waran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Rosme Hassan, 45.
Apa yang pasti, katanya, Dr Mahathir sehingga kini dikurniakan kesihatan yang baik walaupun usianya sudah mencecah 77 tahun dan berjaya membangunkan Malaysia sehingga dikenali sebagai negarawan ulung negara.
Rosme yang bertugas dalam jet eksekutif Falcon-900 sebagai kuarter master udara antara 1985 hingga bersara pada 1993, berkata beliau dan beberapa ahli rombongan lain turut mengambil kesempatan itu memasuki Kaabah.
"Saya masih ingat ketika itu kira-kira jam 11.45 malam waktu tempatan, saya terlihat beberapa petugas di situ membawa tangga dan terdetik dalam hati hajat untuk memasuki Kaabah akan tercapai.
"Mereka kemudian meletakkan tangga di tepi dinding Kaabah dan kami dengan didahului Perdana Menteri menaiki tangga berkenaan untuk memasukinya. Sebaik berada dalam Kaabah, saya mendapati keadaan di dalamnya samar-samar tetapi apa yang pasti semua yang berada di dalamnya mengerjakan solat mengikut arah kiblat masing-masing kerana kita berada dalam Kaabah," katanya ketika ditemui di Langkawi.
Rosme berasal dari Kuala Sanglang, Kedah dan dibesarkan di Ipoh, Perak, menyertai TUDM pada 1973 dan bersara pada 1993.
Tugas Kuarter Master udara sama seperti pramugara atau pramugari yang melayani penumpang dalam pesawat biasa, cuma bezanya dengan tugas Rosme ialah beliau dipertanggungjawabkan melayani orang kenamaan yang mengikuti penerbangan menggunakan jet Falcon-900. Tiga juruterbang terlatih dan dua krew kabin menyertai setiap penerbangan ke luar negara dengan jet eksekutif itu yang sering digunakan untuk membawa pemimpin negara dan asing.
Menceritakan pengalaman yang sukar dilupakannya di Kaabah itu, beliau berkata, ramai orang Arab yang berada berhampiran Kaabah menarik-narik kain ihramnya dan apabila ditanya kenapa mereka berbuat demikian, orang Arab itu mengatakan mereka mahu mendapat berkat daripada rombongan negara.
Mereka menyifatkan rombongan daripada Malaysia sebagai bertuah dan dirahmati Allah kerana terpilih oleh-Nya memasuki Kaabah sedangkan tidak semua penduduk Arab mendapat peluang itu.
Keadaan yang agak gawat ketika itu, katanya, memaksa pihak berkuasa Makkah membuat pagar manusia bagi memberi laluan kepada rombongan Perdana Menteri.
Rosme berkata, beliau sebelum itu pernah singgah di Makkah bagi menyahut lambaian Kaabah bersama pemimpin negara yang lain tetapi tidak pernah berpeluang memasukinya.
Selain itu, katanya, ramai tidak tahu Dr Mahathir sebenarnya mampu mendaratkan pesawat dengan baik dan itu pernah dilakukannya beberapa kali.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berbuat demikian dengan ditemani juruterbang berpengalaman dan terlatih yang berada di sebelahnya.
Beliau berkata, tugasnya cukup mudah sepanjang mengikuti penerbangan bersama Dr Mahathir kerana beliau adalah seorang yang berdisiplin tinggi dan menghargai masa.
"Bagi hidangan pertama sebaik memulakan penerbangan, beliau lazimnya akan mengeluarkan bekalan yang dibawanya iaitu daging dinding, daging yang dihiris halus dan ditambah serbuk lada.
"Kemudian, barulah kami menyediakan hidangan seterusnya selepas masa makan ditetapkan beliau. Kami juga memaklumkan kepada isterinya, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengenai menu hidangan," katanya sambil menambah ada sebuah kamar dalam pesawat itu yang dilengkapi dapur untuk memanaskan hidangan.
Jika penerbangan mengambil masa lama, katanya, Dr Mahathir lebih suka duduk berseorangan dan tidak mahu diganggu sambil tangan mencatat sesuatu pada buku nota kecil. Beliau juga tidak mahu diganggu dengan bunyi muzik atau pemain visual dalam pesawat kerana mahukan keadaan yang senyap dan tenang.
Rosme berkata, Dr Mahathir juga pernah memasuki kokpit (kamar juruterbang) ketika penerbangan dalam negara dan bertanya juruterbang masa sampai ke destinasi dan keadaan cuaca ketika itu. Juruterbang juga akan menceritakan mengenai peralatan dalam kokpit.
Berdasarkan pengalamannya bersama Perdana Menteri Rosme berkata, beliau secara peribadi menghormati dan menyanjung tinggi keperibadian Dr Mahathir.
Justeru, katanya, cerita negatif yang diada-adakan menyentuh peribadi Dr Mahathir di luar negara disifatkannya sebagai karut semata-mata dan tidak lain hanya bertujuan menjejaskan kewibawaannya sebagai pemimpin ulung negara.
No comments:
Post a Comment