Friday, December 31, 2010

Kembalikan maruah bola sepak negara

Kebanyakan jalan utama lengang, manakala kedai-kedai makan dan restoran pula dipenuhi segenap lapisan masyarakat seawal pukul 7 malam lagi.

Yang di rumah pula kalau selalunya solat Maghrib di hujung senja, tetapi malam tadi ramai yang solat Maghrib awal. Semuanya gara-gara ingin menyaksikan perlawanan akhir pusingan kedua antara Malaysia dan Indonesia!

Jutaan rakyat Malaysia malam tadi terus tercongok di depan televisyen menyaksikan kebangkitan Malaysia bergelar raja bole sepak Asia Tenggara setelah sekian lama digenangi episod hitam menduduki tempat tercorot dalam senarai kedudukan persekutuan bola sepak antarabangsa (FIFA).

Siaran secara langsung tersebut, jelas menyaksikan bagaimana pasukan anak muda negara berhempas pulas bermain bermati-matian menangkis serangan menggila yang penuh dengan semangat dari pasukan bola sepak Indonesia.

Walaupun tewas di gelangang lawan tetapi rakyat Malaysia berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan negara sehinggakan ada yang menitiskan air mata tatkala menyaksikan gawang pasukan negara bocor dua kali!

Namun pasukan negara menang dari segi agregat, justeru itu jutaan syabas dan tahniah tentunya ialah kepada anak-anak muda Malaysia yang turun dengan begitu besemangat sekali menjunjung bersama maruah negara yang sering dipijak-pijak oleh segolongan rakyat Indonesia yang mereng!.

Pelbagai provokasi dan ugutan terhadap pasukan bola sepak negara dilaporkan berlaku tetapi tidak sedikitpun mengugat semangat juang pasukan negara demi untuk mengembalikan maruah sukan bola sepak negara.

Paling diingati dan akan terpahat di ingatan seluruh rakyat Malaysia tentulah idealisme jurulatih bolasepak negara, K. Rajagobal dalam mencatur pasukan kebangsaan yang mantap walaupun sebelum ini dibayangi oleh siri kecederaan beberapa pemain utama negara!

Di bawah didikan K. Rajagobal, dengan pencapaian negara sebagai juara bola sepak Sukan Sea XXV selepas 20 tahun pada 17 Disember 2009 yang lalu dan menobatkan Malaysia sebagai juara Piala AFF Suzuki 2010, menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk unggul sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara, tidak salah rasanya jika K. Rajagobal dianugerahkan gelaran Datuk bagi mengenang jasa beliau itu!

NORHISYAM MOHAMAD

Pemuda UMNO Kuala Kedah

No comments:

Post a Comment